Navigation Bar

Wednesday, January 13, 2010

AKUKAH TANGGANG?

Geram, kecewa, sedih... Itulah perasaan saya yang bercampur-baur apabila membaca tajuk utama Harian Metro hari ini "Buang ayah tepi jalan". Ish, adakah ibu-bapa kita ini barang nak dibuang-buang, adakah mereka anak patung tidak bernyawa untuk kita lempar waktu kita tak memerlukannya lagi dan apakah ini balasan kita terhadap mereka di atas pengorbanan yang mereka telah lakukan?. Satu-persatu persoalan muncul mengenangkan perbuatan anak-anak sekarang yang semakin hilang pertimbangan waras.

Ibu-bapa bukanlah mengharapkan kekayaan daripada kita, sebaliknya mereka hanya mengharapkan secebis kasih-sayang anak-anak. Sesungguhnya kebahagian anak-anak adalah penawar kepada penderitaan mereka membesarkan kita. Ambil masa untuk merenung siapakah yang melahirkan kita ke dunia ini, siapakah yang mencari rezeki untuk disuap ke mulut kita ketika kita lapar, siapakah yang sanggup berlapar ketika makanan yang ada hanya sedikit, siapakah yang memujuk kita ketika kita sedih, siapakah yang menghantar ke sekolah supaya kita berjaya, siapakah yang bersama kita ketika susah dan senang, dan siapakah yang mengorbankan seluruh jiwa raga demi kebajikan anak-anak?. Jawapannya mudah dan kita semua telah tahu, merekalah ibu-bapa kesayangan kita. Terlalu banyak jasa mereka untuk disenaraikan satu-persatu. Sesungguhnya tiada galang-gantinya pengorbanan mereka.

Sebanyak manapun kasih-sayang kita kepada orang lain, usahlah diabaikan kebajikan orang yang telah membesarkan kita. Sesungguhnya tidak berupaya untuk kita membalas pengorbanan mereka. Tidak masuk akal sebegitu mudah “tanggang moden” masa kini membuang ibu-bapa apabila mereka tidak lagi diperlukan. Adakah adil untuk mereka diperlakukan begitu sebagai membalas jasa yang telah mereka taburkan?.

Umur kita bukanlah statik. Kita juga bukannya akan muda selama-lamanya. Walaupun kita tidak mampu meramal kehidupan kita pada masa hadapan, namun janganlah dilupa hukum alam “ baik dibalas baik” dan “jahat dibalas jahat”. Tidak mustahil anak kita akan melakukan perkara yang sama kepada kita apabila kita tua nanti. Yang lebih perlu dihalusi, apakah kita sanggup menerima azab pedih di hari Akhirat kelak kerana perbuatan tidak bertanggungjawab kita di dunia ini?. Bersediakah kita?.

Sebagai manusia biasa, kita sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Namun, kita sebenarnya masih belum terlambat untuk menyesali setiap perbuatan buruk kita. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita memohon keampunan daripada Allah. Pohonlah kemaafan kepada ibu dan bapa kita sentiasa dan tidak perlu menunggu hari raya sahaja. Seburuk manapun ibu dan bapa kita, hakikat yang perlu diterima adalah darah yang mengalir dalam badan kita adalah berasal dari mereka juga.Sementara hayat mereka masih ada, rebutlah peluang tersebut dengan sebaik mungkin. Sekali kita sudah terlepas peluang itu, tak mungkin ia akan kembali lagi. Walaupun kita menangis air mata darah sekalipun, pasti sudah tidak berguna lagi. Pernahkah kita berfikir betapa bertuahnya kita kerana masih mampu memeluk ibu dan bapa kita berbanding anak-anak yang lain yang telah kehilangan ibu-bapa mereka?.
Renungkanlah…

Nota Kaki : Gambar di atas adalah sekadar hiasan semata-mata. Dipetik daripada muka depan Harian Metro 13/01/2010.

Sunday, January 3, 2010

NOSTALGIA...

Hari ini sesi persekolahan sesi 2010 telah bermula di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bagi saya yang telah lama meninggalkan alam persekolahan, melihat keletah adik-adik yang baru melangkah ke sekolah pada hari pertama, pastinya mengimbau kenangan yang tak akan terpadam daripada ingatan. Setiap daripada kita mempunyai pengalaman menempuhi zaman persekolahan yang berbeza. Namun, pengalaman itulah yang mengajar kita erti kehidupan. Walaupun zaman tersebut telah berlalu dan masing-masing mempunyai haluan sendiri, apa yang pasti saya masih terkenang saat-saat terindah menempuhi zaman persekolahan.

SK Teloi Tua 1993-1999

SMK Seri Enggang 2000-2004

SMK Sik 2005-2006


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru-guru di SK Teloi Tua, SMK Seri Enggang dan SMK Sik kerana tidak jemu-jemu mengajar anak bangsamu supaya celik ilmu. Kepada kawan-kawan yang pernah menjadi rakan persekolahan saya, terima kasih juga kepada kalian kerana sudi melakar kenangan dalam nostalgia zaman persekolahanku...
Related Posts with Thumbnails