Navigation Bar

Wednesday, May 25, 2011

ZOOM MALAYSIA : NEGERI SEMBILAN

Pada minggu lalu, saya telah berkunjung ke Negeri Sembilan Darul Khusus. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Port Dickson agak meletihkan kerana saya bertolak pada lewat malam dan hanya sampai di sana keesokkan harinya. Namun begitu, saya tetap teruja untuk melawat Negeri Adat Pepatih memandangkan ini merupakan kunjungan kali pertama saya ke sini. Setibanya di bandar Seremban, saya terkasima seketika apabila melihat senibina bangunan seperti hotel, plaza tol dan sebagainya yang masih mengekalkan ciri-ciri Minangkabau. Secara peribadi, saya berasa kagum dengan suasana ini yang dianggap sungguh unik dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Berikut merupakan info yang saya perolehi berkenaan Negeri Sembilan :

SEJARAH

Negeri Sembilan dikaitkan dengan perkataan Nagari yang dibawa oleh orang Minangkabau dan kemudiaannya diubahsuai apabila mereka berhijrah ke sini. Negeri Sembilan pada asalnya terdiri daripada sembilan buah negeri yang telah digabungkan pada tahun 1898 iaitu Sungai Ujong, Rembau, Johol, Jelebu, Naning, Segamat, Ulu Pahang, Jelai dan Kelang. Namun, perjanjian demi perjanjian yang telah dilakukan menyebabkan ada sebahagian kawasan telah bertukar tangan kepada pihak pentadbiran Negeri Melaka, Johor, Pahang dan Selangor.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Negeri sembilan yang berkeluasan 6,645 kilometer persegi terletak bersempadan dengan Negeri Selangor di utara, Pahang di sebelah timur dan Melaka serta Johor di sebelah selatan. Negeri Sembilan terdiri daripada sembilan daerah iaitu Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau.

POPULASI PENDUDUK

Mengikut bancian penduduk yang telah dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk di Negeri Sembilan pada tahun 2010 seramai 1,005,486 orang.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Pantai Teluk Kemang

Port Dickson sememangnya terkenal dengan keindahan pantai-pantainya. Salah satu pantai yang menjadi tumpuan para pelancong adalah Pantai Teluk Kemang. Pantai Teluk Kemang berkeluasan 1.6 kilometer, iaitu bermula dari Kemang Indah hingga Baitul Hilal. Nama Teluk Kemang berasal daripada Pokok Kemang yang telah dijumpai oleh lima orang bersaudara iaitu Niat (Penghulu), Bahir dan anak-anaknya Limat, Neemat dan Abd Samad di sebuah kawasan teluk. Memandangkan kawasan tersebut belum mempunyai nama, mereka bersepakat menamakan kawasan ini sebagai Teluk Kemang. Selain Pantai Teluk Kemang, pantai-pantai lain yang biasa dikunjungi adalah Tanjung Biru, Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Cermin dan Pantai Purnama.

Kota dan Muzium Lukut

Kota Lukut telah dibina oleh Raja Jumaat Bin Raja Jaafar, iaitu menantu Sultan Muhammad (Sultan Selangor ketiga) di puncak Bukit Gajah Mati atau Bukit Raja. Kota Lukut dibina pada tahun 1847 bertujuan untuk melindungi kepentingan perdagangan bijih timah pada masa itu. Kota ini berukuran 607 kaki panjang, 505 kaki lebar dan mempunyai parit sedalam 15 kaki yang mengelilingi kota. Pada masa ini, beberapa kesan peninggalan kota masih dilihat dengan jelas. Sebuah muzium juga telah dibina di kaki bukit untuk menyebarkan maklumat dan bukti sejarah mengenai Lukut khususnya.

Pasar Borong Nilai 3

Pasar Borong Nilai 3 merupakan pasar borong yang terbesar di Malaysia. Terdapat lebih daripada 400 unit kedai yang berada di sini yang menjual pelbagai produk seperti pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Semasa berada di sini, saya terasa seperti berada di Pakistan mendapati kebanyakkan peniaga adalah terdiri daripada orang Pakistan. Pada pandangan saya, harga barangan di pasar borong ini murah sedikit berbanding harga di tempat lain dan jika pandai tawar-menawar, harga yang diperolehi pastinya lebih berbaloi.

Kompleks Taman Seni Budaya (Muzium Negeri Sembilan)

Seperti kebanyakkan muzium negeri yang lain, Kompleks Taman Seni Budaya (Muzium Negeri Sembilan) juga berperanan mengimbas kembali sejarah kegemilangan Negeri Sembilan serta tokoh-tokohnya dalam peristiwa sejarah negara untuk tatapan generasi seterusnya. Terdapat tiga buah binaan utama dalam kawasan kompleks ini iaitu Teratak Pepatih, Istana Ampang Tinggi dan Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Ketika lawatan saya di sini, saya berkesempatan melawat Pameran Kebudayaan Megalitik yang sedang berlangsung. Pada saya kebudayaan ini adalah unik kerana tidak terdapat di tempat saya. Secara tidak langsung, pameran ini telah memberi maklumat yang lebih mendalam berkenaan kebudayaan Masyarakat Minangkabau.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Benteng Malam

Jika berkesempatan ke bandar Port Dickson. Benteng Malam ini berada di Jalan Raja Aman Shah dan berhadapan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Port Dickson. Kawasan ini dinamakan Benteng Malam kerana hanya beroperasi pada waktu malam sahaja. Terdapat deretan beberapa gerai yang berniaga di sini, tetapi saya memilih untuk mencuba tauhu bakar dan otak-otak ketika berada di sana. Pada pendapat saya, makanan di sini sedap dan banyak pilihan. Jadi adalah menjadi satu kerugian jika tidak singgah di sini ketika berada di Port Dickson.

Nasi Beringin

Jika dilihat dengan mata kasar, rupa Nasi Beringin ini tiada bezanya dengan Nasi Dagang yang terkenal di Terengganu kerana beras putih dimasak bersama pulut hitam. Jika Nasi Dagang dimakan bersama kari ikan, Nasi Beringin pula dimakan bersama lauk-pauk biasa. Berdasarkan rasanya, Nasi Beringin juga hampir sama dengan Nasi Dagang. Saya tidak pasti adakah kedua-dua hidangan ini hanya berbeza pada nama atau sebaliknya.




Kunjungan saya ke Negeri Sembilan selama tiga hari dua malam telah mencoretkan satu lagi pengalaman baru dalam hidup saya. Mungkin jangkamasa tersebut terlalu singkat untuk saya melawat ke seluruh Negeri Sembilan. Walaupun hanya sempat melawat ke bandar Seremban dan Port Dickson, saya tetap gembira membawa cebisan kenangan ke Pulau Pinang

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Sub-entri

Ketika melawat Kota dan Muzium Lukut, saya tertarik dengan lapan rangkap pebilangan adat yang menjadi tunjang kepada undang-undang Adat Pepatih :

Alam beraja
Luak berpenghulu
Suku bertuan
Anak buah berbuapak

Pusaka undang
Berkhalifah
Berterombo berlembaga
Bersabda di balai

Walaupun ringkas, tetapi maksud yang ingin disampaikan amat padat dan mendalam.

Monday, May 16, 2011

GURU O GURU...

GURU O GURU
(Usman Awang, 1979)

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pembeli paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sesebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin beerti tugasnya kepada negara
Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat cikgu kekal terpahat
menjadi kenangan ke akhir hayat
Related Posts with Thumbnails