Navigation Bar

Sunday, July 31, 2011

ZOOM MALAYSIA : SARAWAK

Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke tanah Borneo dan destinasi pilihan saya adalah Sarawak Bumi Kenyalang. Walaupun rancangan untuk melawat ke Sarawak tidak berjalan lancar seperti yang dirancang, saya tetap tekad untuk meneruskan perjalanan memandangkan segala persiapan telah dilakukan lebih awal. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai negeri Sarawak :

SEJARAH

Menurut sejarah, Sarawak pernah berada di bawah naungan Kesultanan Brunei pada awal abad ke-19. Terdapat beberapa andaian yang mengaitkan asal-usul Negeri Sarawak iaitu :
  1. Nama Sarawak diambil daripada nama sejenis galian yang dikenali sebagai Serawak, iaitu sejenis batu galian yang mengandungi belerang dan antimoni. Ini bertepatan sekali dengan sejarah Sarawak yang kaya dengan antimoni.
  2. Nama Sarawak turut dikaitkan dengan nama Batang Sarawak atau Sungai Sarawak yang meliputi kawasan yang digelar sebagai "Sarawak Prosper" mengajur dari Pedalaman Kuching di Bau hingga ke Samarahan.
KEDUDUKAN GEOGRAFI

Negeri Sarawak terletak di wilayah barat Pulau Borneo dan 70 peratus muka buminya masih diliputi hutan hujan tropika. Negeri yang berkeluasan 124,449.51 kilometer persegi ini merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Negeri yang juga dikenali sebagai bumi kenyalang ini dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan di sebelah barat, bersempadan dengan Negeri Sabah di timur laut, Negara Brunei di utara dan Kalimantan, Indonesia di sebelah timur. Negeri Sarawak mempunyai 11 bahagian keseluruhannya merangkumi Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Serikei, Kapit, Kota Samarahan, Bintulu, Mukah dan Betong.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan statistik yang dijalankan pada tahun 2005, jumlah penduduk Negeri Sarawak adalah seramai 2.07 juta orang. Terdapat 27 entik asli yang terdapat di Sarawak iaitu Iban, Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Penan, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Berawan, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Baketan, Ukit, Sihan, Tagal, Tabun, Saban, Lisum dan Longkiput.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI
Sri Aman

Lawatan ke Sri Aman sebenarnya tiada dalam perancangan saya. Namun setelah menerima jemputan daripada rakan saya, saya mengambil keputusan untuk ke sana. Secara kebetulan, Pesta Benak Sri Aman 2011 sedang berlangsung di Sri Aman ketika itu dan pastinya peluang tersebut tidak patut dilepaskan. Walaupun hasrat asal untuk mengunjung Rainforest World Music Festival di Kampung Budaya Sarawak tidak tercapai, lawatan ke sini setidak-tidaknya telah berjaya mengubati kedukaan itu. Benak atau air pasang besar terjadi daripada fenomena pasang surut air di Sungai Batang Lupar. Ketika Pesta Benak berlangsung, ketinggian ombak benak yang terjadi boleh mencecah ketinggian hingga enam meter. Secara tidak langsung, pesta ini telah menarik peluncur daripada seluruh dunia untuk menunjukan kemahiran meluncur masing-masing.

Kubu Lily, Betong

Terletak kira-kira empat jam perjalanan dari Kuching, Betong juga mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antara lokasi yang sempat dilawati ketika berada di sini adalah Kubu Lily. Kubu Lily telah dibina pada tahun 1885 dan berfungsi sebagai kubu pertahanan semasa penentangan Pahlawan Iban bernama Rentap terhadap Rajah Brooke. Selain daripada Kubu Lily, antara kubu-kubu lain yang terdapat di Sarawak adalah Kubu Alice di Sri Aman (1864), Kota Margherita di Kuching (1879), Kubu Sylvia di Kapit (1897) dan Kubu Lama Limbang di Limbang (1897).

Bandaraya Kuching

Bandaraya Kuching merupakan ibu negeri Sarawak. Bandaraya Kuching ditadbir oleh dua pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Dewan Bandaraya Kuching Selatan (DBKS). Terdapat banyak lokasi menarik yang boleh dilawati di Bandaraya Kuching seperti Tugu Kucing, Kuching Waterfront, Main Bazaar, Taman Orkid DBKU dan sebagainya. Namun, pengalaman menaiki perahu tambang menyeberangi Sungai Sarawak adalah pengalaman yang paling mengujakan semasa saya berada di sini.

Main Bazaar

Sebut sahaja Main Bazaar, pastinya yang terlintas di fikiran adalah deretan kedai yang menjual pelbagai cenderamata untuk dibawa pulang. Sebut sahaja apa produk Sarawak yang dimahukan samaada makanan ringan, tekstil, perhiasan rumah, mutiara, Gambir Sarawak dan sebagainya, pastinya boleh didapati disini. Main Bazaar adalah lokasi yang paling ideal untuk pelancong yang ingin membeli cenderamata memandangkan lokasinya mudah dikunjungi. Pada pendapat saya, harga produk yang dijual di Main Bazaar adalah paling rendah jika dibandingkan dengan lokasi lain seperti Serikin dan Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok). Harga produk juga masih boleh dirunding dengan para peniaga di sini. Sebagai contoh, ada peniaga di sini yang menjual kek lapis cap ayam dengan harga serendah RM 45.00 untuk lima biji kek lapis. Namun, kepada pelancong yang ingin membeli kek lapis yang telah terkenal seperti Kek Lapis Mira dan Kek Lapis Dayang Salhah perlulah menyeberangi Sungai Sarawak ke Kampung Gersik.

Mira Cake House & Kek Lapis Dayang Salhah

Mira Cake House dan Kek Lapis Dayang Salhah adalah antara pengeluar kek lapis yang paling dikenali di Sarawak. Kedua-dua buah kedai terletak di Kampung Gersik, iaitu di seberang Sungai Sarawak. Terdapat dua cara untuk sampai di Kampung Gersik iaitu menggunakan jalan darat iaitu melalui jalan raya atau jalan air dengan menaiki perahu tambang dengan kos RM 0.50 sehala. Saya sendiri telah mencuba kedua-dua jalan untuk makan kek lapis percuma untuk sampai ke sini dan ternyata menggunakan perahu tambang lebih mudah dan dekat. Pelancong pastinya akan rambang mata melihat beraneka jenis kek lapis yang dijual di sini. Selain daripada boleh menikmati kek lapis yang dijual, para pelancong juga boleh melihat sendiri kaedah pembuatan kek lapis ini. Sekiranya menginginkan kelainan pula, para pelancong boleh memilih untuk membeli kek lapis di beberapa buah lagi kedai yang beroperasi di kampung ini.

Taman Orkid DBKU

Taman Orkid DBKU telah dirasmikan pada 5 Mac 2010 oleh Ketua Menteri Sarawak, Y.A.B Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud. Taman orkid yang berkeluasan 15.4 ekar ini terletak bersebelahan Astana, iaitu kediaman rasmi Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak. Taman Orkid DBKU mula dibina pada bulan November 2007 dan siap sepenuhnya pada bulan Mei 2009. Taman Orkid DBKU menghimpunkan koleksi 40,000 orkid daripada jenis hybrid Epiphytic (gantung) dan Terrestrial (tanah), sekaligus menjadi lokasi tumpuan pelancong yang meminati bidang hortikultur dan botanikal.

Serikin

Serikin terletak di sempadan Malaysia - Kalimantan, Indonesia dan hanya dibuka pada hari Sabtu serta Ahad sahaja. Suasana di pasar minggu ini persis suasana di Wang Kelian, Perlis atau Rantau Panjang, Kelantan kerana majoriti peniaga di sini adalah terdiri daripada warganegara asing. Berdasarkan pemerhatian saya, hampir 95 peratus peniaga di sini berasal dari Indonesia. Produk yang dijual juga kebanyakkan diimport daripada Indonesia terutamanya pakaian dan perhiasan rumah. Pada mulanya, saya menjangkakan harga barangan di sini dijual lebih murah tetapi ternyata sangkaan saya meleset kerana harganya hampir sama atau lebih mahal daripada Bandaraya Kuching.

Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok)

Saya hampir tersesat ketika mencari Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok) ini kerana menyangka kedua-dua pasar ini adalah berbeza. Seperti pasar-pasar yang lain, pasar ini juga menjual makanan basah dan kering seperti udang kara, rumpai laut, sayur-sayuran, buah-buahan serta lain-lain. Apa yang menjadikan pasar ini unik adalah terdapat ramai peniaga Ikan Terubuk Masin di sini. Harga ikan yang dijual adalah bergantung kepada saiz ikan yang dipilih. Semakin besar saiz ikan, maka semakin mahal harganya. Berdasarkan pemerhatian saya, harga yang ditawarkan oleh peniaga di sini adalah sama antara satu sama lain dan kadangkala dijual lebih murah daripada harga yang dipamerkan. Ikan Terubuk Masin yang dijual juga akan dibungkus di dalam kotak bagi memudahkan para pelancong membawanya menaiki pesawat.

Kampung Budaya Sarawak

Terletak di kaki Gunung Santubong, Kampung Budaya Sarawak antara lokasi yang menjadi target saya ketika berkunjung ke Kuching. Terletak dalam kawasan seluas 17 ekar, Kampung Budaya Sarawak menghimpunkan tujuh buah rumah tradisional yang mewakili etnik-etnik asli utama di Sarawak iaitu Rumah Panjang Bidayuh, Rumah Panjang Iban, Rumah Penan, Rumah Orang Ulu, Rumah Tinggi Melanau, Rumah Tradisional Melayu dan Rumah Cina. Tanpa perlu bersusah-payah menjelajah ke seluruh Negeri Sarawak, para pelancong boleh mengenali dengan mendalam dan mencuba aktiviti harian etnik asli di setiap rumah yang dilawati dalam masa sekitar satu jam setengah sahaja. Namun pada pendapat saya, persembahan kebudayaan pada jam 11.30 pagi dan 4.00 petang setiap hari tidak harus dilepaskan dan pasti membuat para pelancong terpegun dengan ketangkasan aksi para penari. Walaupun tiket masuk ke sini berharga RM 60.00 seorang untuk dewasa lebih mahal daripada tiket penerbangan pergi-balik saya, namun pada saya pengalaman berada disini amat berbaloi terutama ketika melihat persembahan kebudayaan yang dipentaskan. Memandangkan saya datang ke sini secara bersendirian, kos yang dikeluarkan adalah minima berbanding para pelancong yang datang bersama keluarga. Jadi tepuk dada. tanyalah poket.

Gambar A : Muzium Sejarah Semulajadi
Gambar B : Muzium Seni

Gambar C : Muzium Sarawak

Gambar D : Muzium Islam Sarawak


Muzium Sejarah Semulajadi, Muzium Seni, Muzium Sarawak dan Muzium Islam Sarawak berada dalam kawasan yang sama dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sahaja. Setiap muzium mempunyai mempunyai koleksi artifak yang berbeza dan masing-masing mempunyai keistimewaannya tersendiri. Selain daripada muzium-muzium ini, terdapat beberapa lagi buah muzium di sekitar Kuching yang boleh dilawati seperti Muzium Tekstil, Muzium Sejarah Cina, Kubu Margherita dan Muzium Kucing.

Muzium Kucing

Muzium Kucing Cik KTS terletak di dalam bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Bukit Siol, Petrajaya. Muzium ini yang telah ditubuhkan pada tahun 1993 ini merupakan satu-satunya muzium seumpamanya di dunia. Muzium ini menghimpunkan koleksi kucing daripada serata dunia, termasuklah lukisan, porselin, arca, setem dan sebagainya. Selain itu, maklumat berkaitan hubungkait kucing dalam kehidupan manusia juga diperincikan dengan jelas di muzium ini.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Mi Kolok

Mi Kolok adalah menjadi antara menu yang mesti dicuba jika berkunjung ke Sarawak. Saya difahamkan, terdapat dua jenis Mi Kolok iaitu Mi Kolok Ayam dan Mi Kolok Daging yang dimasak secara berkuah (sup) atau digoreng. Saya dapati, bentuk dan rasa Mi Kolok ini hampir sama dengan mi segera yang biasa dijual di Semenanjung Malaysia. Apa yang membezakannya cuma Mi Kolok dimakan bersama sambal istimewa disamping ayam atau daging dihidangkan di atas mi. Kepada para pelancong yang ingin mencuba rasa Mi Kolok ini, bolehlah ke Pak Amit Cafe yang terletak di Jalan Astana.

Laksa Sarawak

Satu lagi hidangan yang sempat saya cuba semasa berada di Pak Amit Cafe adalah Laksa Sarawak. Sebagai seorang penggemar laksa, saya mengakui rasa laksa di sini mempunyai keunikannya tersendiri. Bentuk laksa yang digunakan adalah seperti bihun dan kuahnya pula mempunyai rasa seperti kuah kari. Selain itu, Laksa Sarawak turut dihidangkan bersama sambal yang boleh ditambah jika ingin mendapatkan rasa lebih pedas.

Gambar A : Tebaloi
Gambar B : Kuih Cincin

Gambar C : Kuih Sepit Lemantak


Tebaloi, Kuih Cincin dan Kuih Sepit Lemantak adalah antara snek yang digemari oleh penduduk tempatan Sarawak. Selain sesuai dijadikan makanan ringan, kuih-muih ini juga boleh dijadikan ole-ole untuk dibawa pulang kepada keluarga. Para pelancong yang ingin mendapatkan ketiga-tiga kuih ini bolehlah membelinya di Agrobazaar Kedai Rakyat yang berada belakang Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok) atau di sekitar Main Bazaar.

Gambar A : Manok Pangsuh
Gambar B : Sayur Midin


Dalam perjalanan ke Serikin, saya singgah untuk makan tengahari di Siti Corner, Bau, Sarawak. Antara hidangan tradisional Sarawak yang saya cuba di kedai ini adalah Manok Pangsuh dan Sayur Midin. Manok Pangsuh adalah ayam yang dimasak bersama beberapa bahan lain seperti serai, halia dan sebagainya di dalam buluh, sama seperti cara lemang dimasak. Manakala, Sayur Midin pula mempunyai bentuk yang serupa dengan Sayur Pucuk Paku di Semenanjung Malaysia. Sayur Midin biasanya digoreng belacan dan sesuai dimakan bersama nasi putih.

Nasi Aruk Sarawak

Sebelum balik ke Pulau Pinang, saya sempat mencuba Nasi Aruk Sarawak yang dijual di Grill Mama Recipe. Nasi Aruk Sarawak adalah sejenis nasi goreng yang dihidangkan bersama Ikan Terubuk Masin dan Buah Kedondong. Berdasarkan namanya, saya pasti nasi ini hanya terdapat di Sarawak. Justeru, kunjungan ke Sarawak pastinya tidak lengkap jika tidak mencuba keenakan rasa Nasi Aruk ini.



Perjalanan saya ke Sarawak selama lima hari empat malam berakhir di sini sahaja. Saya amat bersyukur kerana sepanjang berada di Sarawak, saya berpeluang menimba banyak pengalaman dan pengetahuan baru mengenai kehidupan masyarakat setempat. Pada pandangan saya, Sarawak adalah sebuah negeri yang mempunyai budaya yang unik dan penduduknya juga tidak lokek menghulurkan bantuan sekiranya memerlukan. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Abang Mohd Borhan dan Encik Amirul Shazlie yang banyak membantu sepanjang percutian saya di Sarawak.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar Sisipan

Semasa memandu di sekitar Bandaraya Kuching, antara keunikan yang terdapat di sini adalah terdapat begitu banyak bulatan yang perlu dilalui sebelum sampai ke satu-satu destinasi. Bulatan yang terdapat di sini juga menggunakan nama yang panjang dan memerlukan masa yang sedikit panjang untuk membaca keseluruhannya.

Thursday, July 28, 2011

LU LANGSI, LU MATI...

Sumber gambar : Harian Metro 28 Julai 2011

Kata pepatah "buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat". Mungkin itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang telah didenda RM 400.00 selepas didapati bersalah menzalimi tiga ekor kucing di Petaling Jaya, Selangor. Semoga dengan hukuman yang telah dijatuhkan akan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kezaliman terhadap haiwan terutama kucing tanpa sebab yang munasabah...

Nota kaki : Sayangi dan lindungilah haiwan kerana mereka adalah pelengkap kitaran ekosistem bumi kita. Betul tak Cik KTS?

Related Posts with Thumbnails