Navigation Bar

Sunday, November 27, 2011

SATU CITA DUA RASA...

Setelah 365 hari dihitung, hari ini 27 November 2011 bersamaan 01 Muharam 1433 H tiba jua. Terasa seakan detik terlalu pantas berlalu meninggalkan kita. Namun itu bukanlah satu alasan untuk menutup kelemahan kita mentadbir masa 24 jam yang telah dikurniakan dengan baik. Apa yang pasti, masa yang telah berlalu tidak dapat dikembalikan lagi. Justeru, melihat destinasi masa depan dengan jelas adalah lebih bernilai daripada menyesali apa yang telah berlaku. Tarikh 01 Muharam 1433 H juga amat bermakna kepada saya kerana hari ini genaplah dua tahun usia blog ini. Walaupun kekangan kerjaya dan kehidupan banyak mempengaruhi prestasi blog ini, sebanyak 23 entri telah berjaya dihasilkan seperti di bawah :

01. SETAHUN SUDAH BERLALU
02. KEMALANGAN BAS : SAMPAI BILA?
03. ZOOM MALAYSIA : MERSING
04. SEHARI DALAM TEMBOK BATU

05. AKULAH JUARA...
06. ANTARA DUA...
07. ZOOM MALAYSIA : SIK
08. KETAHUILAH OLEHMU...
09. AURAT : TUNTUTAN AGAMA ATAU BUDAYA?
10. SAYA BETUL...
11. AKU TERIMA NIKAHNYA...
12. GURU O GURU...
13. ZOOM MALAYSIA : NEGERI SEMBILAN
14. ZOOM MALAYSIA : KOTA BHARU
15. AYAH...
16. DIA BIDADARI SYURGA...
17. LU LANGSI, LU MATI...
18. ZOOM MALAYSIA : SARAWAK
19. ARAK : IBU SEGALA KEJAHATAN

20. SALAM AIDILFITRI...
21. ANAK SAPA LA NI?
22. ZOOM MALAYSIA : SABAH
23. TINGGAL TANDA TANYA...

Alhamdulillah, salah satu entri saya pada tahun ini iaitu AKULAH JUARA telah dipilih oleh pemilik blog Komensen sebagai entri yang disukai oleh beliau. Berikut merupakan pingat ilusi yang telah disampaikan kepada saya :

Terima kasih sekali lagi di atas penghargaan ini. Sebagai seorang blogger yang baru menceburkan diri dalam arena blog, saya amat menghargai pemilihan ini.


Sempena tahun baru ini, bersamalah kita menzahirkan semua azam yang telah dirancang tetapi tidak dilaksanakan supaya menjadi insan yang lebih baik. Semoga dengan penghijrahan ke arah yang lebih baik ini, kita semua akan beroleh rahmat dan kasih-sayang berganda daripadaNya...

SALAM MAAL HIJRAH 1433 H

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Sub-entri


Seperti yang dijanjikan tiga hari yang lalu, pada hari ini secara rasminya saya menjenamakan semula nama blog ini daripada Berjalan... Melihat... Mentafsir... kepada Rasanubari. Impian saya untuk memiliki kepala blog (header) sendiri juga telah berjaya direalisasikan hari ini. Harapan saya dengan penjenamaan semula nama blog ini, lebih ramai pengunjung akan singgah dan mendapat input-input yang berguna daripada hasil penulisan saya.

Friday, November 25, 2011

TINGGAL TANDA TANYA...

Sesuatu akan muncul di blog ini tiga hari lagi.
Nantikan kehadirannya...

Friday, November 11, 2011

ZOOM MALAYSIA : SABAH

Bercuti ke Negeri Sabah adalah percutian yang paling lama dirancang. Mana tidaknya, tempahan tiket kapal terbang dan hotel telah saya buat setahun sebelum saya berkunjung ke sini. Perasaan teruja sememangnya tidak dapat disembunyikan lagi, apatah lagi impian untuk melawat dua buah negeri utama di Pulau Borneo iaitu Sabah dan Sarawak pada tahun ini semakin dapat ditunaikan. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Negeri Sabah :

SEJARAH

Asal-usul nama Sabah berasal daripada nama Pisang Saba yang dipanggil Sabbah, Sappah atau Jaba di kalangan masyarakat Bajau. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang Pantai Barat Sabah sebagai sumber makanan. Sabah Pernah dikenali sebagai Borneo Utara ketika Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mengambil alih pentadbiran Negeri Sabah pada tahun 1881. Nama Sabah kembali digunakan setelah negeri ini menyertai Malaysia pada tahun 1963.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Negeri Sabah terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia. Negeri Sabah yang berkeluasan 72,500 kilometer persegi ini bersempadan dengan Negeri Sarawak di barat daya, Laut Cina Selatan di barat, Laut Sulu di timur laut dan Laut Celebes serta Kalimantan, Indonesia di sebelah selatan. Negeri yang dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu ini mempunyai enam buah daerah pentadbiran iaitu Bahagian Kudat, Bahagian Pantai Barat Utara, Bahagian Pantai Barat Selatan, Bahagian Pedalaman, Bahagian Sandakan dan Bahagian Tawau.

POPULASI PENDUDUK

Mengikut bancian penduduk yang telah dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk di Negeri Sabah pada tahun 2010 ialah seramai 3,120,040 orang. Satu pertiga daripada jumlah penduduk negeri ini adalah terdiri daripada etnik Kadazandusun. Etnik-etnik lain yang terdapat di Sabah adalah Murut, Paitan, Bajau, Bonggi, Iranun, Ida'an, Brunei dan Cina.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Taman Kinabalu (Kinabalu Park)

Melawat Taman Kinabalu (Kinabalu Park) merupakan tujuan utama saya berkunjung ke Sabah. Taman Kinabalu meliputi kawasan seluas 754 kilometer persegi dan berada 1,563 meter (5000 kaki) dari paras laut. Taman yang mula dibuka sebagai Taman Negeri pada tahun 1964 ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia yang pertama di Malaysia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada bulan Disember 2000. Taman Kinabalu terletak kira-kira 88 kilometer dari Kota Kinabalu dan mengambil masa sekitar dua jam untuk sampai disini. Jalan menuju ke Taman Kinabalu tidaklah sesukar yang dicanang, kecuali sesekali akan bertemu dengan salji kabus di pertengahan jalan. Di sepanjang perjalanan, para pelancong pastinya tidak akan jemu melihat kehijauan hutan hujan tropika di sebalik gunung-ganang yang terbentang luas. Tarikan utama yang berada di taman ini tentulah keindahan flora, fauna dan pastinya Gunung Kinabalu yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Gunung yang tertinggi di Asia Tenggara ini berketinggian 4,095.2 meter (13,435 kaki) dari aras laut dan boleh dilihat dengan jelas pada waktu pagi sekiranya cuaca carah. Berdasarkan pengalaman saya, waktu yang terbaik untuk melihat gunung ini adalah dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 pagi kerana Gunung Kinabalu akan diselimuti kabus tebal selepas waktu itu. Apa yang kekal hanyalah kedinginan udara segar lebih sejuk daripada Cameron Highlands yang pastinya akan mencengkam hingga ke tulang.

Kundasang War Memorial

Kundasang War Memorial terletak di Pekan Kundasang, iaitu kira-kira enam kilometer daripada Taman Kinabalu (Kinabalu Park). Memorial ini dibina sebagai mengingati 2,428 orang Tentera Australia dan Brtish yang meninggal dunia dalam Perang Dunia Kedua. Saya hanya bergambar di pintu masuk memorial ini kerana perlu segera balik ke Kota Kinabalu memandangkan hari sudah lewat petang dan berisiko untuk memandu dalam keadaan kabus tebal apabila hari semakin gelap.

Pekan Kundasang & Pekan Nabalu

Jika ingin membeli sayur-sayuran segar, saya cadangkan untuk berkunjung ke Pekan Kundasang. Terdapat beberapa deretan kedai kayu berhampiran Kundasang War Memorial yang menawarkan pelbagai pilihan sayur-sayuran untuk dipilih, persis suasana di Kea Farm, Cameron Highlands. Pekan Nabalu pula terletak di pertengahan jalan antara Tamparuli dan Taman Kinabalu. Jika deretan kedai di Pekan Kundasang menjual pelbagai jenis sayur-sayuran, deretan kedai di Pekan Nabalu pula terkenal dengan aneka produk kraftangannya seperti rantai kunci, perhiasan rumah, beg dan sebagainya. Pemerhatian saya mendapati, harga kraftangan di sini jauh lebih murah daripada harga barangan yang sama jika dibeli di Kota Kinabalu. Sekiranya pandai tawar-menawar, harga yang diperolehi pastinya lebih berbaloi dan memberi lebih nilai kepada wang para pelancong.

Menara Tun Mustapha (Bangunan Yayasan Sabah)

Menara Tun Mustapha atau juga dikenali sebagai Bangunan Yayasan Sabah telah siap dibina pada tahun 1977 dan mempunyai 30 tingkat keseluruhannya. Bangunan berketinggian 122 meter (400 kaki) dari aras laut ini merupakan bangunan yang tertinggi di Negeri Sabah. Saya difahamkan ada sebuah galeri di dalam menara ini yang dinamakan sebagai Galeri Tun Mustapha, sebagai mengenang jasa Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Bin Datu Harun, gabenor pertama negeri Sabah. Namun, saya tidak berkesempatan melawat ke dalam galeri ini kerana waktu lawatan telah tamat ketika saya tiba di sini.

0 KM Kota Kinabalu

Terletak di perkarangan bangunan Lembaga Pelancongan Sabah, Jalan Gaya, 0 KM Kota Kinabalu merupakan tarikan pelancongan terbaru di Kota Kinabalu. 0 KM Kota Kinabalu merupakan lokasi khusus untuk mengukur jarak ke sesuatu destinasi di Kota Kinabalu. Mengikut sejarah, bangunan Lembaga Pelancongan Sabah pernah dijadikan Pejabat Pos Jesselton ketika pendudukan British dan jarak perjalanan posmen adalah mula diukur dari sana. Pelancaran rasmi 0 KM Kota Kinabalu ini telah disempurnakan oleh Y.A.B Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah pada 16 Mac 2011, iaitu bersamaan dengan tarikh pembukaan Pejabat Pos Jesselton pada 16 Mac 1918.

Perdana Park

Selain 0 KM Kota Kinabalu, Perdana Park juga merupakan tarikan pelancongan terbaru lain yang berada di Kota Kinabalu. Perdana Park telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 28 Januari 2011. Saya difahamkan, taman rekreasi berkeluasan 18 ekar ini merupakan kawasan dwifungsi dimana pada waktu siang digunakan untuk beriadah manakala pada waktu malam digunakan sebagai tempat pertunjukan pancutan air berirama. Terdapat empat sesi pertunjukkan dengan durasi 10 minit setiap persembahan iaitu pada jam 7.00 malam, 7.30 malam, 8.00 malam dan 8.30 malam. Sekiranya ada masa yang panjang, bolehlah melihat keempat-empat persembahan kerana bayaran parkir yang dikenakan adalah cuma RM 0.50 sejam dan ternyata berbaloi dengan persembahan air pancut berirama yang mengagumkan.

Muzium Sabah & Kampung Warisan

Sepertimana muzium-muzium yang lain, Muzium Sabah juga mempamerkan artifak-artifak bersejarah dan galeri-galeri kebudayaan masyarakat setempat. Saya hanya sempat melawat ke beberapa galeri kerana sewaktu lawatan ke sana, muzium ini masih dalam proses pengubahsuaian. Saya mengambil keputusan untuk melawat ke Kampung Warisan yang terletak dalam kawasan Muzium Sabah. Kampung Warisan ini adalah persis Kampung Budaya Sarawak yang pernah saya lawati sebelum ini kerana kedua-duanya mempamerkan rumah tradisional etnik asli setempat. Terdapat tujuh buah rumah tradisional etnik asli Sabah di Kampung Warisan iaitu Rumah Bajau Kota Belud, Rumah Bisaya, Rumah Brunei, Rumah Cina, Rumah Iranun, Rumah Dusun Lotud dan Rumah Suluk. Berdasarkan pemerhatian saya, suasana di sini ternyata berbeza dengan Kampung Budaya Sarawak kerana hanya tiada sesiapa datang menyambut kedatangan pelancong di setiap rumah kecuali Rumah Iranun yang mempunyai penjual barangan cenderamata. Hal ini berkemungkinan terjadi kerana kadar tiket yang dikenakan untuk masuk ke Muzium Sabah dan Kampung Warisan cuma RM 2.00 seorang, jauh lebih murah berbanding tiket masuk ke Kampung Budaya Sarawak. Namun begitu, itu bukanlah satu masalah besar kerana setiap rumah diletakkan papan maklumat yang menerangkan kehidupan setiap etnik yang berada di Sabah.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu adalah masjid yang terbesar di Kota Kinabalu. Masjid ini mampu menampung 12,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Kedudukan masjid yang dibina di atas tasik buatan manusia menjadikannya kelihatan seolah-olah terapung di atas air. Senibina unik yang ada pada masjid ini menjadikannya salah satu masjid yang cantik di Negeri Sabah, khasnya dan di Malaysia, amnya.

Taman Laut Tunku Abdul Rahman

Taman Laut Tunku Abdul Rahman terletak di perairan Laut Cina Selatan dan mempunyai keluasan keseluruhan 4,929 hektar. Taman laut ini menghimpunkan gugusan lima buah pulau iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan Pulau Sulug. Terdapat dua lokasi untuk menaiki bot ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman iaitu di Jesselton Point yang dikendalikan oleh agen-agen pelancongan dan jeti di belakang Pasar Besar Kota Kinabalu yang dikendalikan oleh penduduk tempatan. Saya tidak berpeluang mengunjungi pulau-pulau tersebut kerana masa untuk bersiar-siar di Kota Kinabalu amat terhad. Namun, saya pasti akan kembali lagi ke sini sekiranya mengunjungi Sabah sekali lagi pada masa hadapan.

Pasar Malam Sinsuran & Pasar Malam Kampung Air

Dibuka pada setiap hari, Pasar Malam Sinsuran dan Pasar Malam Kampung Air adalah lokasi yang wajib dikunjungi jika datang ke Kota Kinabalu. Terdapat tiga bahagian perniagaan berbeza di Pasar Malam Sinsuran. Bahagian hasil laut basah dan sayur-sayuran segar serta makanan laut yang telah siap dimasak terletak di sebelah Pasar Kraftangan manakala bahagian yang menjual barangan cenderahati terletak berhampiran Hotel Le Meridien Kota Kinabalu. Jika ingin mencuba makanan laut yang segar bolehlah singgah di pasar malam ini kerana ada deretan kedai menjual variasi makanan laut disini. Namun begitu, para pelancong sebaiknya bertanya dahulu harga makanan yang dijual untuk menghalang peniaga di pasar malam ini mengenakan harga tidak masuk akal melebihi tahap kemampuan. Terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari Pasar Malam Sinsuran, para pelancong akan tiba di Pasar Malam Kampung Air. Berbeza dengan Pasar Malam Sinsuran, di sini hanya terdapat perniagaan menjual barangan cenderahati terutama mutiara yang dijual dengan harga lebih murah berbanding harga di Pasar Kraftangan. Pilihan produk berasaskan mutiara juga lebih banyak di sini dan harganya masih boleh dirunding.

Pasar Kraftangan & Pasar Ikan Masin

Pasar Kraftangan yang juga dikenali sebagai Pasar Filipina adalah antara lokasi membeli-belah yang terkenal di Kota Kinabalu. Terdapat pelbagai barangan kraftangan seperti baju T, rantai kunci, perhiasan rumah, mutiara dan sebagainya dijual disini. Pemerhatian saya mendapati, harga barangan yang dijual disini agak mahal, mungkin kerana pasar ini sering menjadi tumpuan pelancong yang datang ke Kota Kinabalu. Selain itu, terdapat beberapa orang dipercayai warganegara asing menawarkan gajet elektronik terutama telefon bimbit curi kepada orang awam yang melalui kawasan tersebut. Terletak bersebelahan dengan Pasar Kraftangan ini adalah Pasar Ikan Masin. Sesuai dengan namanya, Pasar Ikan Masin menjual pelbagai produk hasil laut yang telah dikeringkan seperti ikan masin, udang kering dan rumpai laut kering. Harga produk yang dijual rata-ratanya hampir sama antara peniaga-peniaga disini, tetapi pastinya lebih berbaloi jika pandai tawar-menawar. Selain Pasar Kraftangan dan Pasar Ikan Masin, terdapat beberapa lagi buah pasar yang terletak sebaris dengan pasar-pasar ini seperti Pasar Buah-Buahan dan Pasar Besar Kota Kinabalu.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Gambar A : Kuih Lidah
Gambar B : Tebaloi

Gambar C : Kacang Sembunyit

Gambar D : Emping Blinjo


Kuih Lidah, Tebaloi, Kacang Sembunyit dan Emping Blinjo adalah antara snek yang boleh didapati dengan mudah dan lebih murah di Pasar Buah-Buahan, Jalan Tun Fuad Stephens. Ada sebahagian daripada makanan ringan ini boleh ditemui di tempat-tempat yang lain. Kuih Lidah umpamanya dikenali di Semenanjung sebagai Kuih Kapal Terbang atau Kuih Tiram manakala tebaloi yang popular di Sarawak dijual di negeri ini dengan bentuk yang berbeza.

Gambar E : Kuih Kakara
Gambar F : Kuih Cincin
Gambar G : Kuih Amplang
Gambar H : Jeruk Tuhau


Kuih Kakara, Kuih Cincin, Kuih Amplang dan Jeruk Tuhau juga antara makanan tradisional Sabah yang sesuai dibeli sebagai ole-ole kepada keluarga dan kawan-kawan. Kuih Kakara, Kuih Cincin dan Kuih Amplang biasanya dijadikan makanan ringan pada waktu senggang, manakala Jeruk Tuhau pula biasanya akan dimakan bersama nasi.




Kata pepatah "jauh perjalanan. luas pemandangan". Hakikat itulah yang telah saya alami sepanjang tiga hari dua malam berada di bumi Negeri Di Bawah Bayu ini. Alhamdulillah, misi utama saya berkunjung ke Sabah untuk melawat Taman Kinabalu (Kinabalu Park) dan melihat sendiri Gunung Kinabalu telah direalisasikan. Secara peribadi, saya belum puas berada di sini memandangkan banyak lagi tempat menarik yang tidak sempat dilawati. Namun, saya masih bersyukur kerana pengalaman yang diperolehi tidak boleh dibeli di mana-mana. Apa yang pasti, kenangan yang telah tercipta pastinya akan dikenang sepanjang hayat.
Related Posts with Thumbnails