Navigation Bar

Friday, October 12, 2012

MENANGKIS TAMAK DENGAN QANAAH



Qanaah daripada segi bahasa bermaksud berasa cukup serta puas dengan setiap sesuatu yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T dan tunduk serta akur dengan kurniaan-Nya. Manakala, daripada segi istilah pula, qanaah boleh didefinisikan mengikut pendapat seperti berikut :
  1. Muhammad Ali Al-Tirmizi : Qanaah ialah jiwa yang rela terhadap pemberian rezeki yang telah ditentukan-Nya
  2. Bishr Al-Hafi : Qanaah ibarat raja yang tidak akan bertakhta kecuali di hati orang Mukmin
  3. Abu Abdillah Bin Khafif : Qanaah adalah perbuatan meninggalkan angan-angan terhadap sesuatu yang tidak ada dan berasa cukup dengan sesuatu yang ada
  4. Abu Sulaiman Al-Darani : Qanaah kerana rela dengan kedudukannya adalah sama dengan warak kerana zuhud.  Qanaah ialah permulaan rela, sedangkan warak itu sendiri ialah zuhud
  5. Muhammad Al-Kattani : Sesiapa yang menjual ketamakan dirinya dengan difat qanaah, maka dia akan memperoleh kemuliaan dan harga diri
  6. Abu Bakar Al-Maraghi : Orang yang sihat akalnya ialah orang yang mengatur urusan dunia dengan sikap qanaah serta mempercepatkan tugas dalam mengatur urusan agama dengan ilmu dan ijtihad
Sebahagian ahli tasawuf berkata "qanaah ialah perasaan sentiasa tenang dalam semua keadaan." Sebahagian ulama ditanya 'siapa orang yang paling qanaah?". Mereka menjawab "orang yang selalu memberikan pertolongan meskipun kekayaannya sedikit". Inilah beberapa definisi qanaah daripada pelbagai pendapat yang telah dinyatakan oleh sebahagian ulama dan ahli sufi. Secara kesimpulannya, dapat difahami bahawa qanaah ialah sifat berasa cukup dan puas dengan kurniaan Ilahi walaupun manusia mengatakan sedikit secara zahirnya.

Qanaah ialah maqam yang tinggi meliputi hati, lisan dan anggota badan. Padanya terdapat sifat sabar, reda dan dibuktikan dengan amalan. Oleh sebab itu, Allah mengangkat kemuliaan para hamba-Nya dengan mengurniakan rasa qanaah dalam kalangan hamba-Nya yang terpilih. Menurut Imam Al-Qushairi dalam Al-Risalah Al-Qushairiyyah, "Dalam Kitab Zabur, diungkapkan bahawa orang yang qanaah ialah orang yang kaya meskipun serba kelaparan. Bahkan menurut satu pendapat, Allah S.W.T meletakkan lima anugerah dalam lima tempat iaitu pertama kemuliaan dalam taat, kedua kehinaan dalam maksiat, ketiga kehebatan dalam melaksanakan solat malam, keempat kebijaksanaan dalam hati yang kosong (daripada keduniaan) dan kelima kekayaan dalam sifat qanaah".

Secara kesimpulannya, sifat qanaah mesti disemai dalam diri dalam apa jua keadaan. Sifat ini secara tidak langsung akan menzahirkan bukti rasa syukur kita sebagai hamba Allah S.W.T yang lemah. Tiada guna terus mempertahankan sikap tamak andai tiada langsung faedah yang diperolehi di kemudian hari. Justeru, saya mengajak rakan pembaca sekelian untuk munasabah diri masing-masing di tahap manakah kita, qanaah atau tamak?


Dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Solusi isu 43

Thursday, October 11, 2012

LAMAN NURANI : KACA

 
Hati ibarat kaca
Pada zahirnya nampak kukuh dan utuh
Namun hakikatnya apabila sekali terhempas ke lantai
Pastinya akan pecah berderai
Walaupun cuba dicantum kembali
Kesan retaknya tidak akan hilang...


Wednesday, October 10, 2012

10 PERKARA PENGHAPUS DOSA


Manusia dan dosa tidak mungkin dipisahkan, apatah lagi kita umat akhir zaman yang tidak maksum. Jika tersalah langkah, tentunya dosa akan dicatatkan dalam buku amalan oleh Malaikat Atid yang sentiasa setia di sisi. Walaupun ramai di kalangan kita sering menangguhkan masa untuk bertaubat, namun sebenarnya tidak salah kita menyegerakannya kerana pintu taubat sentiasa terbuka selagi ajal belum bertemu. Menurut Ibn Taimiyyah, terdapat 10 penghapus dosa berdasarkan penelitiannya daripada Al-Quran dan Sunnah iaitu :

1. Istighfar (memohon ampun)

2. Taubat

3. Mengerjakan amalan kebajikan yang menghapuskan dosa sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud "Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat" (Surah Hud 11 : 114)

4. Pelbagai musibah yang menimpa diri manusia yang lemah

5. Doa orang soleh yang diperuntukkan bagi yang bersangkutan

6. Penderitaan sakit yang tidak terperi saat sakaratulmaut menjemput ke Alam Barzakh

7. Azab kubur

8. Ketakutan yang amat sangat ketika menghadap Allah S.W.T pada Hari Kiamat kelak

9. Syafaat Rasulullah S.A.W, para wali Allah dan syafaat orang soleh

10. Rahmat daripada Allah

Jadi peringatan kepada diri saya dan rakan-rakan sekalian, rebutlah peluang memohon keampunan daripada Allah S.W.T selagi roh dan jasad masih bersatu. Tiada sesiapa di antara kita yang mengetahui bilakah kita akan pulang bertemu-Nya. Jadi, setiap detik yang dilalui perlu digunakan sebaiknya supaya tidak menyesal di kemudian hari.


Info dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Solusi isu 24
Related Posts with Thumbnails