Navigation Bar

Monday, February 14, 2011

ANTARA DUA...


Hari ini 14 Februari, tarikh yang sering kita agung-agungkan untuk memperingati kekasih. Segelintir masyarakat telah lama mengaturkan janji temu pada hari ini untuk merayakan hari kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine's Day samaada di restoran, hotel dan sebagainya. Premis perniagaan yang menjual bunga ros, coklat, patung beruang dan lain-lain hadiah pula semakin berlumba-lumba mengadakan jualan besar-besaran, walaupun pada hakikatnya harga yang dijual melambung berlipat kali ganda. Manakala esok 15 Februari bersamaan 12 Rabiulawal pula merupakan sambutan Hari Maulidur Rasul sempena keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Pada pandangan saya, majoriti daripada kita terutama golongan muda lebih membicarakan sambutan hari kekasih berbanding sambutan Maulidur Rasul walaupun sudah jelas sambutan hari kekasih merupakan amalan agama lain. Justeru, saya rasa terpanggil untuk mengajak pembaca sekalian untuk memahami perbandingan disebalik sambutan hari kekasih dan sambutan Maulidur Rasul.

Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah diceritakan mengenai asal-usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 Masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St Valentine dengan menganggap beliau seorang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganutnya. Antara sejarah lain menyebut, Hari Valentine diambil daripada nama paderi Saint Valentine atas kesungguhannya mempertahankan hak tentera pada zaman pemerintahan Claudius II untuk berkahwin. Ini kerana, semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom, beliau menghalang tentera-tentera Rom berkahwin kerana pada pendapat beliau, mereka akan lebih kuat dan tabah untuk berperang jika masih bujang. Namun secara senyap, Saint Valentine melakukan upacara pernikahan dan ini mendatangkan kemarahan Claudius II. Akibatnyam paderi itu dihukum gantung pada 14 Februari 269 Masihi. Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis pula menganggap 14 Februari sebagai "hari burung mencari pasangan mereka". Pada kurun ke-14 dan ke-15, mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada hari tersebut. Masing-masing akan mengucapkan "Selamat Hari Valentine" sesama hari mereka. Ada juga mitos yang menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis "from your valentine" kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Sejarah hidup Nabi Muhammad S.A.W pula bermula dengan kelahiran baginda pada hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 April 570 Masihi. Baginda merupakan permata hati kepada pasangan Abdullah Bin Abdul Mutalib dan Aminah Binti Wahab. Nabi Muhammad S.A.W yang berketurunan Quraisy telah lahir dalam keadaan yatim kerana bapanya telah meninggal sewaktu baginda berada dalam kandungan lagi. Sewaktu kecil, baginda mempunyai dua orang ibu susuan iaitu Suwaibah Al Islamiah dan Halimatus Saadiah. Baginda telah dipelihara oleh ibunya ketika berusia lima tahun dan kemudiannya dipelihara oleh datuknya ketika berusia enam tahun. Setelah datuk baginda meninggal dunia, baginda telah dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Nabi Muhammad S.A.W telah berkahwin dengan Saidatina Khadijah ketika berusia 25 tahun dan telah dikurniakan tujuh orang anak. Baginda telah diangkat menjadi rasul terakhir ketika berusia 40 tahun dan diwahyukan dengan kitab Al-Quran. Nabi Muhammad S.A.W telah wafat di Madinah ketika berusia 63 tahun dan disemadikan disana. Sambutan Maulidur Rasul yang lazimnya disambut dinegara kita merupakan salah satu cara untuk mengingati perjuangan baginda dalam mengembangkan syiar agama Islam. Perjuangan Nabi Muhammad S.A.W ini sewajarnya dihargai dengan cara mengamalkan sunnah baginda dan berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran.

Secara konklusinya, hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan sememangnya memerlukan rasa hormat-menghormati diantara satu sama lain. Diantara dua sambutan perayaan ini, kita sepatutnya lebih mengutamakan sambutan yang ada kena-mengena dengan agama kita berbanding melebih-lebihkan sambutan yang jelas menjadi amalan agama lain. Usahlah kita terus tertipu dengan godaan dunia kerana kehidupan di alam fana ini adalah seketika cuma.

Nota kaki : Info dipetik dan diubahsuai daripada sisipan Rehal, Sinar Harian 11 Februari 2011.

No comments:

Related Posts with Thumbnails