Navigation Bar

Thursday, January 13, 2011

AKULAH JUARA...

Kehidupan di alam rahim bukanlah kehidupan yang asing kerana kita semua pernah melalui alam tersebut. Proses ini telah jelas dinyatakan dalam Surah Al Mukminun ayat 14 yang bermaksud :

"Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka maha sucilah Allah, pencipta yang paling baik"

Daripada perspektif sains pula, proses kejadian ini telah dihuraikan melalui kajian-kajian yang telah dijalankan. Pada entri kali ini, saya rasa tertarik untuk berkongsi proses penciptaan manusia daripada saat pertemuan sperma bapa dengan telur ibu, hinggalah ke minggu ke-36 kehamilan untuk renungan kita bersama :

DUA JAM SELEPAS PERSETUBUHAN

Pertemuan telur ibu dengan sperma bapa menyaksikan kejayaan satu-satunya sperma yang dapat sampai ke ovum dan menekan dinding luarnya selepas berjuang bersama sekurang-kurangnya 20,000 sperma. Sperma tersebut perlu menembusi sehingga bahagian dalam sanctum - iaitu bahagian dalam sel ovum. Apabila kepala sperma berjaya memasuki ovum, ekornya serta bahagian tengahnya bergerak penuh bertenaga. Sperma bekerja seperti sebuah gerudi, dimana kepalanya berpusing mengikut pergerakan ekornya. Sebaik keseluruhan kepala sperma memasuki seluruh dinding ovum, ia akan menekan ke membran sel dalaman. Sebaik satu-satunya sperma berjaya menembusi dinding sel telur, isyarat kimia dari membran dalam ovum ke dinding menunjukan ia menjadi kebal terhadap sperma lain. Ekor sperma akan terpisah daripada kepalanya bila sperma sudah berada dalam kulit sel ovum.

MINGGU KE-4

Janin kini dipanggil embrio - membesar di dalam rahim dengan sebesar saiz kuaci kecil. Ia terbahagi kepada tiga lapisan yang akan membentuk organ-organ dan tisu-tisu. Di bahagian bawah kedua belah kepala akan terbentuk dua lipatan tisu yang bakal menjadi sepasang telinga. Tiub saraf - dimana otak, tulang belakang dan sum-sum tulang belakang dan saraf akan terbentuk serta membesar di lapisan atas. Jantung dan sistem peredaran darah mula muncul di lapisan tengah. Lapisan ketiga pula mula membentuk paru -paru, usus dan sistem awal urin. Sementara itu, versi awal plasenta, iaitu vali chorionic atau tali pusat, yang berfungsi menyalurkan makanan dan oksigen kepada bayi sudah mula bekerja.

MINGGU KE-5

Jantung embrio sudah mula berdegup dan mengepam darah. Jantung terbahagi kepada dua ruang. Jantung embrio terbahagi kepada ruang kanan dan kiri, dan mula berdegup kira-kira 150 kali seminit, iaitu kira-kira dua kali ganda kadar denyutan jantung orang dewasa. Saiz embrio adalah sekitar satu perempat inci / setengah sentimeter panjang dan lebih mirip anak berudu daripada manusia. Organ utama, termasuk buah pinggang dan hati mulai membesar. Tiub saraf, yang menghubungkan otak dan tulang belakang, akan tertutup minggu ini. Tunas atas dan bawah embrio mulai tumbuh - ini akan membentuk lengan dan kaki bayi. Usus pula sedang berkembang. Di bawah pembukaan ini akan membentuk mulut bayi, lipatan kecil di mana leher dan rahang bawah mula terbentuk.

MINGGU KE-6

Berakhirnya minggu ini, saiz bayi seperti saiz kacang. Satu tanda hitam dan bentuk kepala yang besar dimana pembentukan awal mata dan lubang hidung wujud. Kemunculan telinga juga mula kelihatan disamping lengan dan kaki mula menunjukan tunasnya. Tangan dan kaki berbentuk seperti duyung dan jari-jemari mula terbentuk.

MINGGU KE-7

Bayi masih bergelar embrio kerana ia masih kekal memiliki ekor yang kecil, yang akan hilang dalam masa beberapa minggu. Pembentukan jantung dan otak semakin rumit, kelopak mata mula terbentuk. Hujung hidung juga sudah muncul dan lengan mula membengkok sedikit.

MINGGU KE-8

Ekor yang kecil sudah menghilang daripada embrio dan ia sudah rasmi dikenali sebagai fetus. Ia adalah peringkat kritikal dimana organ-organ bayi mula terbentuk. Bayi sudah mulai bergerak walaupun ibu tidak dapat merasainya.

MINGGU KE-9

Berat bayi berada di bawah 10 gram. Semua bahagian tubuh telah ada termasuk tangan, kaki, mata, alat kelamin dan organ lain walaupun mereka belum terbentuk sepenuhnya.

MINGGU KE-10

Bayi akan bersaiz lebih dari dua kali ganda dalam tiga minggu mendatang. Dia sudah mula menelan dan menendang, dan semua organ utama telah terbentuk sepenuhnya. Organ seks luar mula kelihatan dan dalam beberapa minggu ia dapat menunjukan jantina sebenar bayi tersebut.

MINGGU KE-11


Bayi sudah terbentuk sepenuhnya dengan saiznya sebesar ibu jari. Jejari tangan dan kakinya sudah terpisah dan sesetengah tulang mula menjadi kuat.

MINGGU KE-12

Wajah bayi sudah berubah. Mata dan telinga hampir berada di posisi yang betul. Usus bayi mula bergerak ke dalam kaviti abdominal.

MINGGU KE-13

Rahim menjadi semakin membesar dan seluruh dunia mengetahui yang seseorang wanita itu sedang hamil, tetapi bayi masih terlalu kecil iaitu kira-kira sebesar separuh pisang.

MINGGU KE-14

Minggu ini bayi mula tumbuh rambut di kepala, kening dan seluruh badannya. Ia dipanggil lanugo, dimana biasanya hilang sebelum lahir. Sesetengah otot mula bertugas. Bayi sudah boleh menggenggam, melirikan mata, berkerut, menyeringai dan menghisap ibu jarinya.

MINGGU KE-15

Bayi masih kecil dan boleh muat dalam tapak tangan orang dewasa. Bayi mula sensitif pada cahaya dan mengalami sedu, tetapi ibu tidak boleh mendengarnya kerana sistemnya dipenuhi oleh cecair berbanding udara.

MINGGU KE-16

Saiz bayi menjadi sebesar buah pir minggu ini. Pengedaran darah dan saluran air kencing mula berfungsi. Bayi mungkin sudah bermain dengan tali pusatnya.

MINGGU KE-17

Mata bayi sudah melihat ke hadapan, telinga sudah berada di posisi yang betul dan tulang rawan yang bakal menjadi rangka sudah mula keras menjadi tulang.

MINGGU KE-18

Bayi mencecah 15 cm daripada kepala ke kakinya. Dia sudah mula merasa dan mendengar. Apa yang didengarinya ialah degup jantung ibu dan aliran dalam sistem pencernaan ibu dan tidak lama lagi dia akan mengesan bunyi di luar rahim dan mengenal pasti suara ibunya.

MINGGU KE-19

Ini adalah masa genting pembentukan deria bayi dimana ia mengambil tempat di beberapa kawasan otak. Jika bayi anda perempuan, dia sudah mempunyai enam juta telur dalam ovarinya dan menyusut kepada sejuta sebaik dilahirkan.

MINGGU KE-20

Bayi sudah mengalami peningkatan berat badan dan bertukar menjadi sesuatu yang licin kerana diselaputi bahan putih berlemak dipanggil vernix caseosa untuk melindungi kulit ketika berada dalam cecair ketuban.

MINGGU KE-21

Bayi kini berukuran 27 cm. Kelopak mata dan keningnya sudah sempurna, kuku jarinya pula menutupi hujung jarinya.

MINGGU KE-22

Bibir bayi semakin jelas kelihatan, matanya sudah terbentuk biarpun iris masih kurang pigmen. Pankreas yang penting untuk pengeluaran hormon juga sudah terbentuk dan tanda gigi pertama sudah kelihatan di barisan gusinya.

MINGGU KE-23

Bayi berukuran kira-kira 29 cm. Saluran darah dalam paru-paru sudah bersedia untuk pernafasan dan dia boleh menelan secara teratur.

MINGGU KE-24

Bayi membesar dengan berterusan, berat kira-kira 99 gram / 22 auns. Kulitnya sangat nipis dan lembut. Badannya semakin membesar dan mengambil ruang yang banyak dalam rahim. Pada minggu ke-24 hingga minggu ke-28 kehamilan, sarung air ketuban mengandungi cecair sebanyak 750 ml yang membolehkan bayi bergerak secara bebas.

MINGGU KE-25

Bayi sudah mula membuat beberapa pergerakkan pernafasan walaupun tiada udara lagi dalam paru-parunya. Deria rasanya terbentuk dengan pantas. Imbasan otak terhadap bayi menunjukkan dia memberi tindakbalas pada sentuhan dan jika anda menyalakan cahaya pada perutnya, bayi akan memusing kepalanya, dimana pengkaji mengatakan saraf optik sudah berfungsi.

MINGGU KE-26

Bayi kini berukuran kira-kira 36 cm / 15 inci panjang. Bayi semakin bertindakbalas pada bunyi.

MINGGU KE-27

Minggu ke-27 merupakan peringkat terakhir kehamilan iaitu trimester ketiga. Bayi semakin membesar dan terus memenuhi ruang dalam rahim. Dia sudah boleh membuka dan menutup mata, tidur dan bangun pada waktu yang sama dan boleh menghisap jari dan ibu jari.

MINGGU KE-28

Matanya akan terbuka dan kepalanya akan berpaling jika cahaya diarahkan kepadanya. Saat ini berinteraksi dengan bayi dalam rahim samaada membaca atau menyanyi adalah digalakkan.

MINGGU KE-29

Bayi terus membesar dengan pantas dimana kepalanya semakin panjang. Jika bayi tersebut merupakan bayi lelaki, testikelnya beralih daripada lokasi berhampiran buah pinggang melalui pangkal paha. Jika bayi perempuan pula, klitorisnya masih menonjol kerana labianya masih belum menutupi.

MINGGU KE-30

Bermula minggu ini, berat badan bayi meningkat sangat cepat. Paru-paru dan saluran penghadaman semakin matang. Dia mungkin boleh membuka dan menutup mata untuk seketika, jadi dia boleh melihat bahagian dalam rahim ibu.

MINGGU KE-31

Pergerakan bayi mungkin berubah, dia mungkin kurang kerap bergerak kerana kekurangan ruang dalam rahim yang semakin terhad.

MINGGU KE-32

Jika bayi lelaki, testikelnya mungkin sudah bergerak ke dalam kantung buah zakarnya.

MINGGU KE-33

Pada penghujung minggu ini, ukuran bayi mencecah 43.7 cm / 17.2 inci daripada kepala ke kaki. Kepalanya mungkin sudah menghala ke bawah dalam rahim. Tulang tempurung kepala / tengkoraknya masih mudah dilenturkan dan masih belum sempurna bersambung, menjadikannya mudah keluar dari saluran peranakan.

MINGGU K E-34

Paru-paru bayi sudah sempurna terbentuk dan sebarang masalah pernafasan mudah dirawat.

MINGGU KE-35

Bayi semakin besar dan sangat sendat dalam rahim hingga dia tidak dapat banyak bergerak.

MINGGU KE-36

Kehamilan ibu sudah cukup bulan, bermakna bayi yang dinantikan boleh lahir pada bila-bila masa.


Penciptaan manusia adalah sebaik-sebaik kejadian. Secara peribadi, saya berasa amat kagum dengan proses penciptaan ini yang amat sempurna membuktikan keesaan Allah yang mampu menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Namun dalam memahami proses kejadian manusia ini, pernahkah kita terfikir kita semua sebenarnya adalah juara?. Daripada beribu-ribu saudara kita yang berenang bersama-sama di dalam rahim, kitalah yang paling kuat dan bertuah kerana terpilih untuk menggalas amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Persoalan yang tinggal sekarang, setakat mana amanah itu kita telah laksanakan?. Saya tinggalkan persoalan tersebut untuk renungan kita bersama.

Nota kaki : Info dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Pa&Ma bulan Januari 2011.

Tuesday, January 4, 2011

SEHARI DALAM TEMBOK BATU


Apabila disebut perkataan "penjara", ramai daripada kita yang menafsirkan tempat tersebut sebagai tempat hukuman bagi penjenayah yang telah melakukan kesalahan. Namun sebenarnya, fungsi penjara adalah lebih luas daripada itu kerana institusi ini juga berperanan untuk menahan serta memulihkan mereka yang telah didapati bersalah. Majoriti daripada kita hanya mampu melihat tembok penjara apabila melaluinya. Justeru, peluang untuk melawat dan melihat sendiri suasana dalam tembok batu tidak saya lepaskan.

Memandangkan penjara merupakan kawasan larangan kepada orang awam, permohonan untuk membuat lawatan adalah di atas pertimbangan Ketua Pengarah Penjara Malaysia. Sebelum dibenarkan masuk, para pelawat perlu melalui beberapa prosedur keselamatan seperti pemeriksaan badan dan diwajibkan menyimpan barangan peribadi di tempat yang disediakan. Antara barangan yang tidak dibenarkan masuk adalah senjata api, peralatan tajam dari besi dan lain-lain, dadah, jarum suntikan, kondom, wang, majalah lucah, arak, samsu, rokok, tembakau, pemetik api, telefon bimbit, kamera video dan kamera. Bagi pelawat orang awam yang terdiri daripada ahli keluarga banduan pula, pihak penjara telah menyediakan sebuah bilik khas yang menempatkan telefon dan cermin kaca untuk membolehkan mereka berjumpa banduan.

Sebagai sebuah tempat tahanan, penjara berperanan memulihkan para banduan supaya tidak lagi terjebak dalam kancah jenayah selepas dibebaskan kelak. Menurut maklumat yang saya perolehi, para banduan disini mempunyai rutin harian yang telah ditetapkan. Setiap daripada mereka diwajibkan mengikuti aktiviti yang diatur oleh pihak pentadbiran penjara. Bagi banduan yang tidak menguasai kemahiran 3M (menulis, membaca dan mengira), Jabatan Penjara ada menyediakan guru-guru terlatih untuk mengajar mereka kemahiran tersebut. Malah, para banduan juga boleh mengambil peperiksaan awam seperti orang diluar walaupun tinggal di dalam penjara.

Secara umumnya, kehidupan masa silam para banduan yang tidak bertunjangkan ajaran agama menjadi faktor pendorong untuk terlibat dalam kegiatan jenayah. Justeru, ajaran agama adalah dititik-beratkan kepada para banduan. Selain kelas Fardhu Ain, kelas Al-Quran dan solat berjemaah, para banduan juga boleh mendalami ilmu agama melalui guru agama yang telah dilantik. Selain itu, para banduan juga boleh mengikuti kelas pertukangan rotan, kayu, besi, pemprosesan makanan, jahitan dan sebagainya di penjara. Sekurang-kurangnya, kelas ini memberi bimbingan dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber rezeki selepas dibebaskan.

Tidak dinafikan, persepsi buruk masyarakat terhadap banduan sedikit-sebanyak memberi tekanan kepada mereka. Justeru, perkhidmatan kaunseling individu dan berkelompok turut disediakan untuk mengurangkan tekanan yang bakal dihadapi supaya mereka tidak rasa tersisih daripada masyarakat. Bagi banduan yang sakit pula, sebuah klinik telah disediakan untuk merawat mereka sehingga sembuh.

Namun saya merasakan, walau sebaik mana layanan dan kemudahan yang diberikan di dalam penjara, kehidupan di luar yang bebas adalah satu nikmat yang amat perlu dihargai. Pengalaman sehari saya berada di dalam penjara amat menginsafkan saya supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana untuk melalui kehidupan yang dikelilingi tembok batu jika lebih daripada jangkamasa itu. Ingatlah, jenayah membawa padah!. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah melayari portal Jabatan Penjara Malaysia disini.

Nota kaki : Sumber gambar adalah daripada Google.
Related Posts with Thumbnails