Navigation Bar

Tuesday, January 4, 2011

SEHARI DALAM TEMBOK BATU


Apabila disebut perkataan "penjara", ramai daripada kita yang menafsirkan tempat tersebut sebagai tempat hukuman bagi penjenayah yang telah melakukan kesalahan. Namun sebenarnya, fungsi penjara adalah lebih luas daripada itu kerana institusi ini juga berperanan untuk menahan serta memulihkan mereka yang telah didapati bersalah. Majoriti daripada kita hanya mampu melihat tembok penjara apabila melaluinya. Justeru, peluang untuk melawat dan melihat sendiri suasana dalam tembok batu tidak saya lepaskan.

Memandangkan penjara merupakan kawasan larangan kepada orang awam, permohonan untuk membuat lawatan adalah di atas pertimbangan Ketua Pengarah Penjara Malaysia. Sebelum dibenarkan masuk, para pelawat perlu melalui beberapa prosedur keselamatan seperti pemeriksaan badan dan diwajibkan menyimpan barangan peribadi di tempat yang disediakan. Antara barangan yang tidak dibenarkan masuk adalah senjata api, peralatan tajam dari besi dan lain-lain, dadah, jarum suntikan, kondom, wang, majalah lucah, arak, samsu, rokok, tembakau, pemetik api, telefon bimbit, kamera video dan kamera. Bagi pelawat orang awam yang terdiri daripada ahli keluarga banduan pula, pihak penjara telah menyediakan sebuah bilik khas yang menempatkan telefon dan cermin kaca untuk membolehkan mereka berjumpa banduan.

Sebagai sebuah tempat tahanan, penjara berperanan memulihkan para banduan supaya tidak lagi terjebak dalam kancah jenayah selepas dibebaskan kelak. Menurut maklumat yang saya perolehi, para banduan disini mempunyai rutin harian yang telah ditetapkan. Setiap daripada mereka diwajibkan mengikuti aktiviti yang diatur oleh pihak pentadbiran penjara. Bagi banduan yang tidak menguasai kemahiran 3M (menulis, membaca dan mengira), Jabatan Penjara ada menyediakan guru-guru terlatih untuk mengajar mereka kemahiran tersebut. Malah, para banduan juga boleh mengambil peperiksaan awam seperti orang diluar walaupun tinggal di dalam penjara.

Secara umumnya, kehidupan masa silam para banduan yang tidak bertunjangkan ajaran agama menjadi faktor pendorong untuk terlibat dalam kegiatan jenayah. Justeru, ajaran agama adalah dititik-beratkan kepada para banduan. Selain kelas Fardhu Ain, kelas Al-Quran dan solat berjemaah, para banduan juga boleh mendalami ilmu agama melalui guru agama yang telah dilantik. Selain itu, para banduan juga boleh mengikuti kelas pertukangan rotan, kayu, besi, pemprosesan makanan, jahitan dan sebagainya di penjara. Sekurang-kurangnya, kelas ini memberi bimbingan dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber rezeki selepas dibebaskan.

Tidak dinafikan, persepsi buruk masyarakat terhadap banduan sedikit-sebanyak memberi tekanan kepada mereka. Justeru, perkhidmatan kaunseling individu dan berkelompok turut disediakan untuk mengurangkan tekanan yang bakal dihadapi supaya mereka tidak rasa tersisih daripada masyarakat. Bagi banduan yang sakit pula, sebuah klinik telah disediakan untuk merawat mereka sehingga sembuh.

Namun saya merasakan, walau sebaik mana layanan dan kemudahan yang diberikan di dalam penjara, kehidupan di luar yang bebas adalah satu nikmat yang amat perlu dihargai. Pengalaman sehari saya berada di dalam penjara amat menginsafkan saya supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana untuk melalui kehidupan yang dikelilingi tembok batu jika lebih daripada jangkamasa itu. Ingatlah, jenayah membawa padah!. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah melayari portal Jabatan Penjara Malaysia disini.

Nota kaki : Sumber gambar adalah daripada Google.

2 comments:

Ku Tak Sempurna said...

terpenjara dlm diri sendiri pun dah tak larat (cewah.. )

.
.

tak sanggup.

harap2 mereka yg pernah menghuni tembok batu tu dpt pengajaran dan berubah

far_red said...

Cik KTS,

Tahniah kerana meninggalkan komen pertama untuk tahun 2011..

Masyarakat sememangnya meletakkan harapan kepada banduan supaya mereka berubah. Namun mahu berubah atau tidak masih terletak atas kemahuan mereka sendiri..

Related Posts with Thumbnails