Navigation Bar

Monday, February 21, 2011

ZOOM MALAYSIA : SIK

Kata pepatah "hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri". Saya secara peribadi amat bersetuju dengan pepatah tersebut kerana walaupun sudah empat tahun saya berhijrah ke Pulau Pinang, kedamaian berada di kampung sendiri sentiasa dirindui. Secara umumnya, daerah Sik dahulunya hanya dikenali sebagai daerah yang mempunyai ramai penduduk miskin dan kedudukannya yang jauh di pedalaman negeri Kedah. Namun kini, pembangunan yang semakin pesat di daerah ini menjadikan Sik semakin masyhur di bibir masyarakat. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Sik :

SEJARAH

Perkataan "Sik" berasal daripada perkataan "Syed" atau "Sheikh". Perkataan "Syed" atau "Syeikh" jika disebut dalam longat petani Kelantan, ia berbunyi "Sik" iaitu bunyi sebutan diantara Sik dan Saik. Mengikut sejarah, penempatan pertama di daerah Sik dipercayai dibuka oleh mubaligh-mubaligh Arab yang berhenti dan singgah dengan perahu di Lubuk Tok Keramat, Sungai Chepir, berdekatan dengan Stesen Minyak Shell Sik sekarang. Mereka telah mendirikan perkhemahan di sebuah padang yang dikenali sebagai Padang Tok Sheikh. Tapak ini kemudian berkembang menjadi sebuah penempatan dan pondok yang dipercayai pertama di daerah Sik dan di negeri Kedah sendiri. Padang Tok Sheikh kemudiannya dibangunkan menjadi Masjid Pekan Sik dan Kompleks Pejabat Agama Daerah Sik seperti yang ada sekarang.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Daerah Sik terletak di sebelah timur negeri Kedah. Daerah Sik merupakan daerah yang terbesar dalam negeri Kedah merangkumi 166,793.67 hektar atau 17.35 peratus daripada keluasan negeri Kedah. Terdapat empat mukim di daerah Sik iaitu Mukim Sik, Mukim Jeneri, Mukim Sok dan Mukim Teloi. Daerah Sik bersempadan dengan negara Thailand di bahagian timur laut dan utara. Daerah Sik juga terletak bersebelahan dengan daerah Baling di bahagian selatan, daerah Kuala Muda di bahagian barat daya, daerah Pendang di bahagian barat dan daerah Padang Terap di bahagian barat laut.

POPULASI PENDUDUK

Bilangan penduduk di seluruh daerah Sik pada tahun 2007 adalah seramai 74,420 orang penduduk yang merangkumi 93.1 peratus orang Melayu, 5.3 peratus orang Siam, 1.5 peratus orang Cina dan 0.1 peratus bangsa-bangsa lain. Mukim Sik/Teloi mempunyai jumlah penduduk teramai iaitu 47,890 orang, diikuti oleh penduduk Mukim Jeneri iaitu seramai 16,410 orang dan penduduk di Mukim Sok iaitu seramai 10,120 orang.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Ladang Anggur Tasik Beris

Ladang Anggur Tasik Beris merupakan lokasi tarikan pelancong terkini di daerah Sik. Berlatarbelakangkan permandangan Tasik Beris, ladang anggur seluas 34 ekar ini mempunyai empat jenis varieti anggur iaitu Black Opal, Black Grape, White Malaga dan Loose Pelite. Untuk maklumat lanjut berkenaan ladang ini, bolehlah melayari portal Ladang Anggur Tasik Beris disini.

Empangan Muda dan Empangan Beris

Empangan Muda dan Empangan Beris merupakan dua buah empangan yang berperanan membekalkan bekalan air mentah untuk kegunaan domestik dan pertanian di daerah Sik serta kawasan sekitarnya. Empangan muda mula dibina pada tahun 1969 dan boleh memuatkan 160 juta meter padu air mentah. Manakala, Empangan Beris yang mula dibina pada tahun 2000 dan siap empat tahun kemudian pula mampu memuatkan 122.4 juta meter padu air mentah. Kewujudan kedua-dua buah empangan ini secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah tasik yang sesuai digunakan untuk aktiviti rekreasi, ternakan ikan dalam sangkar dan sebagainya.

Pekan Selasa

Pekan Selasa merupakan pasar minggu yang amat popular dikalangan masyarakat di daerah Sik. Pasar minggu ini hanya dibuka pada hari Selasa setiap minggu dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Disini, masyarakat tempatan dan pelancong boleh mendapatkan produk hasil kampung seperti ulam-ulaman, buah-buahan, kopi kampung, madu lebah, pakaian, barangan dapur dan sebagainya dengan harga yang murah.

Gerai Industri Kecil Dan Sederhana

Disepanjang jalan utama daripada Parit Panjang, Baling ke Batu Lima, Sik, terdapat beberapa gerai Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) yang menjual produk IKS seperti jeruk, bantal kekabu, barangan berasaskan mengkuang dan sebagainya. Ketika musim buah-buahan pula, terdapat beberapa tambahan gerai yang menjual buah-buahan tempatan yang segar di sepanjang jalan tersebut.

Hutan Lipur Lata Mengkuang

Keindahan alam semulajadi Hutan Lipur Lata Mengkuang menjadikannya salah satu destinasi rekreasi di daerah Sik. Hutan lipur ini terletak di dalam Hutan Simpan Rimba Teloi dan berada kira-kira 11 kilometer daripada Pekan Sik. Aliran air Sungai Chepir yang jernih dan dingin merentasi hutan lipur ini menjadikannya sesuai dijadikan lokasi perkelahan bersama keluarga.

Ulu Muda Eco Park

Ulu Muda Eco Park terletak di dalam Hutan Simpan Ulu Muda merangkumi kawasan seluas 120,000 hektar, iaitu hampir satu pertiga daripada keluasan keseluruhan hutan negeri Kedah. Ulu Muda Eco Park kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang masih belum terusik, menjadikannya syurga untuk pencinta alam semulajadi. Di sini, terdapat beberapa lokasi sira yang menjadi sumber nutrien kepada haiwan yang tinggal disini, persis kepada sira yang pernah saya lawati ketika berada di Taman Negeri Royal Belum. Untuk melihat rupa sira tersebut bolehlah klik disini.

Rimba Rekreasi Perangin Sik (Rimba Takwa)

Rimba Rekreasi Perangin Sik atau kini dikenali sebagai Rimba Takwa mula dibuka pada tahun 1967 oleh Yang Teramat Mulia Tunku Fariddudin Haji dan merupakan antara hutan lipur yang terawal dibuka di negeri Kedah. Rimba rekreasi ini pernah melakar sejarahnya sendiri kerana pernah menjadi lokasi perkhemahan Jambori Pengakap Peringkat Antarabangsa pada tahun 2002. Satu ketika dahulu, keindahan rimba rekreasi ini pernah menjadi sebutan ramai kerana keindahannya. Namun buat masa sekarang , rimba rekreasi ini masih ditutup buat sementara waktu berikutan penularan penyakit Leptospirosis.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Gulai Rias Pisang

Gulai Rias Pisang lazimnya dijadikan menu wajib ketika kenduri-kendara diadakan di daerah Sik. Rias pisang merupakan batang yang paling lembut dalam batang pisang dan kemahiran adalah diperlukan untuk mengambilnya. Rias pisang daripada jenis Pisang Emas dan Pisang Awak adalah menjadi pilihan utama untuk dicampur ke dalam gulai daging kerana rasanya yang lebih lazat. Bagi pelancong yang ingin mencubanya, Gulai Rias Pisang mudah didapati di bazar-bazar Ramadhan di sekitar daerah ini pada bulan Ramadhan.

Air Lawa

Satu lagi menu istimewa di daerah Sik adalah air lawa. Namanya yang unik menjadikan ramai dikalangan masyarakat luar tidak mengetahui ke
wujudan hidangan istimewa ini. Air lawa merupakan sejenis bahan pencicah yang dihasilkan melalui campuran beberapa bahan seperti bawang kecil, cili padi, kerisik, serai, limau, garam dan beras goreng yang dikisar halus. Air lawa kebiasaannya dimakan bersama daging rebus atau dijadikan perencah kerabu.

Gerai Lemang Majlis Daerah Sik

Gerai Lemang Majlis Daerah Sik merupakan tempat jualan berpusat peniaga lemang di daerah Sik. Gerai lemang ini terletak di Kampung Charok Pelanduk, iaitu di pertengahan jalan antara Gurun dan Sik. Para pelancong boleh mendapatkan lemang yang masih panas di sini dengan harga yang berpatutan.

Ishak Koay Teow Thing

Jika sudah berkunjung ke daerah Sik, jangan lupa menikmati keenakkan rasa koay teow thing di Ishak Koay Teow Thing. Koay Teow Thing disini mempunyai rasa yang berbeza dengan tempat-tempat lain kerana sambalnya adalah dimasak menggunakan resepi rahsia pemilik kedai. Kepada pelancong yang ingin mencuba koay teow thing disini, bolehlah berkunjung ke Ishak Koay Teow Thing yang terletak di hadapan Stesen Bas Sik.



Misi untuk menjadikan Sik sebagai daerah eko-pelancongan dan industri asas tani bukanlah mudah, tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Berbekalkan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara dan keunikkan citra budaya masyarakatnya, saya percaya daerah Sik mampu menjadi ikon pelancongan negara dengan caranya yang tersendiri. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai daerah Sik, bolehlah melayari portal Majlis Daerah Sik disini.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Budi Disemai, Kasih Bertaut

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik blog Komensen kerana sudi memilih entri saya bertajuk "AKULAH JUARA..." sebagai salah satu entri yang digemari oleh beliau. Saya rasa amat berbesar hati dan diharap penghargaan ini akan menjadi pembakar semangat kepada saya untuk menghasilkan lebih banyak entri yang berkualiti pada masa hadapan.

Monday, February 14, 2011

ANTARA DUA...


Hari ini 14 Februari, tarikh yang sering kita agung-agungkan untuk memperingati kekasih. Segelintir masyarakat telah lama mengaturkan janji temu pada hari ini untuk merayakan hari kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine's Day samaada di restoran, hotel dan sebagainya. Premis perniagaan yang menjual bunga ros, coklat, patung beruang dan lain-lain hadiah pula semakin berlumba-lumba mengadakan jualan besar-besaran, walaupun pada hakikatnya harga yang dijual melambung berlipat kali ganda. Manakala esok 15 Februari bersamaan 12 Rabiulawal pula merupakan sambutan Hari Maulidur Rasul sempena keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Pada pandangan saya, majoriti daripada kita terutama golongan muda lebih membicarakan sambutan hari kekasih berbanding sambutan Maulidur Rasul walaupun sudah jelas sambutan hari kekasih merupakan amalan agama lain. Justeru, saya rasa terpanggil untuk mengajak pembaca sekalian untuk memahami perbandingan disebalik sambutan hari kekasih dan sambutan Maulidur Rasul.

Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah diceritakan mengenai asal-usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 Masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St Valentine dengan menganggap beliau seorang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganutnya. Antara sejarah lain menyebut, Hari Valentine diambil daripada nama paderi Saint Valentine atas kesungguhannya mempertahankan hak tentera pada zaman pemerintahan Claudius II untuk berkahwin. Ini kerana, semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom, beliau menghalang tentera-tentera Rom berkahwin kerana pada pendapat beliau, mereka akan lebih kuat dan tabah untuk berperang jika masih bujang. Namun secara senyap, Saint Valentine melakukan upacara pernikahan dan ini mendatangkan kemarahan Claudius II. Akibatnyam paderi itu dihukum gantung pada 14 Februari 269 Masihi. Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis pula menganggap 14 Februari sebagai "hari burung mencari pasangan mereka". Pada kurun ke-14 dan ke-15, mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada hari tersebut. Masing-masing akan mengucapkan "Selamat Hari Valentine" sesama hari mereka. Ada juga mitos yang menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis "from your valentine" kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Sejarah hidup Nabi Muhammad S.A.W pula bermula dengan kelahiran baginda pada hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 April 570 Masihi. Baginda merupakan permata hati kepada pasangan Abdullah Bin Abdul Mutalib dan Aminah Binti Wahab. Nabi Muhammad S.A.W yang berketurunan Quraisy telah lahir dalam keadaan yatim kerana bapanya telah meninggal sewaktu baginda berada dalam kandungan lagi. Sewaktu kecil, baginda mempunyai dua orang ibu susuan iaitu Suwaibah Al Islamiah dan Halimatus Saadiah. Baginda telah dipelihara oleh ibunya ketika berusia lima tahun dan kemudiannya dipelihara oleh datuknya ketika berusia enam tahun. Setelah datuk baginda meninggal dunia, baginda telah dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Nabi Muhammad S.A.W telah berkahwin dengan Saidatina Khadijah ketika berusia 25 tahun dan telah dikurniakan tujuh orang anak. Baginda telah diangkat menjadi rasul terakhir ketika berusia 40 tahun dan diwahyukan dengan kitab Al-Quran. Nabi Muhammad S.A.W telah wafat di Madinah ketika berusia 63 tahun dan disemadikan disana. Sambutan Maulidur Rasul yang lazimnya disambut dinegara kita merupakan salah satu cara untuk mengingati perjuangan baginda dalam mengembangkan syiar agama Islam. Perjuangan Nabi Muhammad S.A.W ini sewajarnya dihargai dengan cara mengamalkan sunnah baginda dan berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran.

Secara konklusinya, hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan sememangnya memerlukan rasa hormat-menghormati diantara satu sama lain. Diantara dua sambutan perayaan ini, kita sepatutnya lebih mengutamakan sambutan yang ada kena-mengena dengan agama kita berbanding melebih-lebihkan sambutan yang jelas menjadi amalan agama lain. Usahlah kita terus tertipu dengan godaan dunia kerana kehidupan di alam fana ini adalah seketika cuma.

Nota kaki : Info dipetik dan diubahsuai daripada sisipan Rehal, Sinar Harian 11 Februari 2011.
Related Posts with Thumbnails