Majoriti daripada kita tidak mahu hidup yang penuh dengan masalah, tekanan dan perkara-perkara yang menyebabkan kita rasa sedih. Jika disoal, pastinya ramai yang mengimpikan kehidupan yang tenang dan jauh daripada dugaan. Namun tahukah kita, manusia sentiasa dihujani dengan ujian yang sebenarnya boleh ditangani dengan baik?. Setiap dugaan yang datang perlu kita tempuhi dengan kesungguhan dan kesabaran, bukannya cuba lari daripada ujian yang menimpa kerana itu bermakna kita cuba menambah masalah lain. Antara tip yang boleh kita lakukan ketika berhadapan dengan ujian dan dugaan ialah seperti berikut :
1. GPS IMAN - MELIHAT DUGAAN YANG MENIMPA DENGAN MATA HATI
Lihatlah sesuatu perkara daripada sudut positif melalui iman. Sesungguhnya, kepahitan yang dialami di dunia ini adalah kemanisan di akhirat nanti. Dugaan yang menimpa ialah jambatan kepada kita memperoleh kejayaan pada masa hadapan. Oleh sebab itu, usahlah berfikiran negatif dan menganggap Allah itu tidak adil. Sebaliknya, anggaplah dugaan tersebut sebagai pemangkin untuk kita terus melangkah ke hadapan. Pada masa yang sama, sentiasalah mengingati Allah kerana dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang. Selain itu juga zikrullah akan menghindarkan diri daripada tipu daya syaitan yang tidak berputus asa untuk menyesatkan kita. Ingat, imanlah yang membentuk perisai diri kita dan ia juga membimbing kita ke arah kebaikan.
2. MENGUATKAN KEYAKINAN DIRI
Apabila seseorang diduga dengan seustu yang berat, hatinya akan mula goyah dan keyakinan dirinya mula terhakis. Ingatlah bahawa tujuan Allah menduga kita untuk menguji ketabahan diri dan kerelaan hati seseorang, bukannya menyiksa manusia. Apabila ditimpa musibah kita perlu meyakini perkara-perkara berikut :
- Setiap ujian dan dugaan yang datang adalah lumrah kehidupan manusia
- Seseungguhnya dunia ini tempat ujian dan dugaan, bukannya tempat untuk bersenang-lenang
- Setiap dugaan yang datang adalah ketentuan Allah S.W.T untuk menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya
- Sekiranya kita diuji dengan dugaan yang dirasakan berat, ada lagi orang yang menerima dugaan yang lebih hebat
- Allah akan memberi ganjaran yang besar sekiranya kita menerima dugaan hidup dengan redha dan sabar
- Dugaan yang diberikan bertujuan menjadikan diri kita lebih kuat dan tabah
- Dugaan berat yang ditimpakan kepada kita ialah tanda Allah memilih kita untuk diberikan kebaikan
- Dugaan yang menimpa kita bersifat sementara. Ia akan selesai sekiranya kita menanganinya dengan baik
Kejahilan salah satu punca seseorang memilih jalan hitam bagi menyelesaikan masalah yang menimpanya. Oleh sebab itu, ubat untuk merawat kejahilan ialah ilmu. Namun, ilmu yang diperoleh melalui bacaan sahaja tidak memadai kerana manusia melihat sesuatu perkara melalui cara yang berlainan. Bimbingan guru atau orang alim penting bagi memastikan kita memahami Islam dengan betul. Selain itu, apabila berhadapan dengan sesuatu dugaan, ilmulah yang akan mendorong kita melakukan sesuatu perkara secara rasional, bukannya mengikut hawa nafsu semata-mata. Melalui ilmu juga, seseorang itu akan dapat membezakan antara perbuatan baik dengan buruk. Dalam erti kata lain, ilmu adalah penyuluh diri yang menyedarkan seseorang bahawa dugaan yang menimpanya daripada Allah. Dugaan menimoa seseorang untuk melihat kemuliaan dan kehinaannya. Oleh sebab itu, seseorang yang berilmu dan beriman akan berhadap dengan dugaan yang diberikan kepadanya dengan cara yang betul dan positif.
4. BUKAN DITANGISI, TETAPI DIATASI
Ramai yang berduka apabila menerima dugaan daripada Allah S.W.T. Namun, harus kita ingat bahawa tangisan tidak dapat membebaskan kita daripada dugaan atau masalah, sebaliknya menambah lagi derita yang sedang kita hadapi. Ingatlah, apabila kita menangis di atas dugaan yang menimpa, syaitan akan bersorak dan segera menggoda untuk menyesatkan kita. Oleh sebab itu, redhalah setiap ujian yang Allah berikan dab rebahkan diri untuk berdoa memohon kekuatan daripada-Nya.
Secara kesimpulannya, sedarlah bahawa setiap ujian yang ditimpakan ke atas diri kita mempunyai hikmahnya yang tersembunyi. Adalah mustahil untuk kita hidup dengan tanpa ada sedikit pun masalah. Justeru, redhalah setiap ujian tersebut dan anggaplah ia sebagai penjana pahala yang akan membantu di akhirat kelak.
Info dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Solusi Isu 47
No comments:
Post a Comment