Thursday, April 4, 2013
RACUN DAN PENAWAR PADA LALAT...
Apa reaksi kita apabila air teh atau kopi yang dibancuh, tiba-tiba lalat jatuh ke dalamnya?. Biasanya kita akan buang semua air tersebut kerana menganggap lalat itu kotor dan membawa pelbagai penyakit. Persoalannya, adakah ia tindakan yang paling tepat?. Pada 1400 tahun dahulu, Rasulullah S.A.W telah menunjukkan cara terbaik apabila berhadapan dengan situasi di atas. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim bermaksud "Apabila lalat hinggap di dalam bekas minuman seseorang, benamkan ia. Sesungguhnya pada sebelah sayap lalat itu ada penyakit dan pada sayap lain terdapat ubat dan penawar".
Daripada Sa'id Bin Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud "Pada sebelah sayap lalat itu racun, manakala pada sebelah sayap lain adalah ubat. Jika ia terjatuh ke dalam makanan, benamkan ia untuk mengeluarkan racun serta ubat dan penawar (ke dalam makanan)".(Sunan Ibn Majah). Menurut Ibn Qayyim Al-Jawziyyah, hadis ini membicarakan dua perkara iaitu permasalahan fiqah dan permasalah perubatan. Dalil di atas jelas membuktikan bahawa apabila seekor lalat mati di dalam air atau makanan, maka ia tidak najis. Itu adalah pendapat majoriti ulama. Tidak ada seorang pun ulama salaf yang menolak perkara ini. Ini berdasarkan suruhan Rasulullah S.A.W untuk membenamkan lalat ke dalam makanan atau air. Hukum ini bukan sahaja bagi makanan atau makanan yang dihinggapi lalat, bahkan semua haiwan yang tidak mengalirkan darah seperti lebah, kumbang, labah-labah dan seumpamanya. Sebagaimana yang diketahui, najis adalah daripada tubuh haiwan yang mengalir darah. Sudah tentulah perkara ini tidak berlaku bagi binatang yang tidak mengalir darah dalam tubuhnya, maka ia tidak najis.
Tidak dinafikan lalat adalah serangga yang paling berbahaya kerana menjadi agen penyakit seperti demam kepialu, cirit-birit, taun dan banyak lagi. Apabila lalat terjatuh ke dalam air, ia akan mengeluarkan racun yang menyebabkan air tersebut mengandungi kuman yang berbahaya kepada manusia. Namun, apabila lalat tersebut ditenggelamkan seluruhnya, maka sayap yang mengeluarkan penawar akan mematikan bakteria yang ada dalam air tersebut. Ibn Qayyim Al-Jawziyyah menyatakan "Lalat memiliki racun yang merupakan senjata baginya. Gigitan lalat menyebabkan bengkak dan rasa gatal. Lalu, Nabi menyuruh agar racun yang dikeluarkan lalat ditangani dengan senjata yang Allah ciptakan pada sebelah sayap yang lain. Caranya dengan menenggelamkan lalat yang masuk dalam minuman atau makanan agar racun itu dapat dihapuskan dengan penawar yang menghilangkan bahayanya". Formula perubatan ini tidak mampu diselami oleh ramai pakar perubatan moden. Inilah mukjizat Nabi S.A.W!. Ramai pakar perubatan mengakui bahawa jika tempat gigitan kumbang atau kala jengking digosok dengan lalat akan mendatangkan manfaat dan melegakan kesakitan. Perkara ini berlaku kerana penawar yang terdapat pada lalat.
Malangnya, ada sebahagian manusia cuba mempertikaikan dan memperolok-olokkan hadis di atas. Ada yang mengatakan "Bagaimana racun dan penawar boleh terdapat pada sayap lalat?. Bagaimana pula lalat begitu pandai membezakan sayap yang beracun dan mendahulukannya?". Beberapa ulama menjawab, antaranya Ibn Jawzi "Perkataan yang disebutkan itu tidak pelik kerana lebah mengeluarkan madu dari bahagian atas dan bawah". Ada ulama lain yang menjawab "Allah memberi ilham kepada lebah untuk membuat sarang yang sangat menakjubkan serta mengeluarkan madu. Dia juga mengilhamkan semut agar mencari makanan ruji dan disimpan untuk keperluan hidupnya. Dialah juga yang menciptakan lalat dan mengajar agar mendahulukan sayap beracun terlebih dahulu, kemudian sayap yang berpenawar. Semua ini adalah kehendak Allah untuk menguji hamba-Nya supaya timbul rasa Ta'abbudiyyah (beribadah kepada Allah). Setiap segala sesuatu terdapat pengajaran dan hikmah. Tidak ada orang yang dapat memahaminya kecuali orang yang berakal". Bagaimana perkara ini diketahui Nabi Muhammad S.A.W sedangkan ketika itu belum ada lagi teknologi canggih untuk mengungkapkan?. Ya, ia merupakan wahyu daripada Allah. Baginda tidak bercakap berdasarkan hawa nafsu. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Najm ayat 3 dan 4 yang bermaksud "Dan dia tidak bercakap mengikut hawa nafsu, melainkan apa-apa yang diwahyukan oleh Pemberi wahyu (Allah)".
Nota kaki : Info dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Solusi Isu 54
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment