Taman Kinabalu (Kinabalu Park)
Saya berkesempatan sekali lagi berkunjung ke Taman Kinabalu (Kinabalu Park) yang terkenal dengan keagungan Gunung Kinabalunya. Suasana pagi di sini sedikit berbeza daripada kunjungan ke sana tiga tahun lalu kerana suhunya tidaklah sesejuk dahulu walaupun kabus masih tebal seperti biasa. Walaupun kunjungan kali ini saya kurang bernasib baik kerana sepanjang beberapa jam di sana, saya berkesempatan menatap keindahan Gunung Kinabalu sekejap sahaja kerana gunung diliputi kabus tebal hari ini. Pada saya, ia tidak mematahkan semangat untuk bersiar-siar di Taman Kinabalu memandangkan saya pernah melihat gunung ini tanpa kabus sebelum ini. Malahan, saya berkesempatan memandu ke Pondok Timpohon untuk melihat para pendaki memulakan perjalanan menakluki Gunung Kinabalu dari sini.
Kundasang War Memorial
Memandangkan masa masih awal, saya mengambil kesempatan untuk singgah di Kundasang War Memorial yang saya hanya sempat bergambar di luar pintu gerbangnya sebelum ini. Hasil tinjauan saya mendapati, memorial ini hanyalah berfungsi sebagai tugu peringatan kepada 2,428 orang tentera British dan Australia yang telah terkorban ketika Perang Dunia Kedua. Tiada apa yang menarik di dalam memorial ini bagi saya kecuali sekeping papan tanda berbunyi "Jangan pijak saya, nanti saya mati" yang sememangnya menjadi ikon untuk dijadikan kenang-kenangan oleh para pelancong. Disamping hanya senarai nama kesemua tentera yang terbabit dipaparkan, terdapat beberapa buah taman mini seperti "Australian Garden", "English Garden" dan "Borneo Garden" yang ditanam pokok mengikut tema negara dibina bagi menyerikan suasana di dalam memorial ini.
Desa Cattle Dairy Farm, Mesilau
Kepada pelancong yang ingin merasai suasana persis ladang ternakan lembu di New Zealand, bolehlah berkunjung ke Desa Cattle Dairy Farm. Ladang lembu terbesar di Sabah ini terletak tidak jauh daripada Kundasang Memorial War. Namun, jalan menuju ke sini agak mengelirukan kerana perlu melalui kawasan kampung yang berbukit dan tiada banyak papan tanda. Sewaktu lawatan saya ke sini, pihak Desa Cattle Dairy Farm masih dalam proses membina bangunan-bangunan baru. Jalan menuju ke sini juga masih belum bertar sepenuhnya. Saya difahamkan ada aktiviti memerah susu lembu pada waktu petang. Memandangkan ketika saya sampai di sana adalah waktu pagi, saya hanya berkesempatan melihat bagaimana susu segar diproses dan tentunya dapat melihat sendiri bagaimana lembu-lembu di sini diternak secara lepas bebas. Saya turut tidak melepaskan peluang untuk mencuba susu segar dengan pelbagai variasi perisa dan dijual dengan harga yang berpatutan.
Tanjung Simpang Mengayau (The Tip Of Borneo)
Selepas selesai makan tengahari dan Solat Zohor, saya bertolak dari Kundasang menuju ke Kudat untuk melengkapkan misi perjalanan saya ke Sabah kali ini iaitu menjejakkan kaki ke Tanjung Simpang Mengayau (The Tip Of Borneo). Perjalanan sekitar dua jam melalui pekan-pekan kecil seperti Kota Belud dan Kota Marudu tidaklah membosankan kerana di sepanjang jalan saya dihidangkan pemandangan sawah padi yang cukup indah. Tambahan pula, ketika ini adalah musim untuk menuai padi. Jadi, saya tertarik dengan kreativiti penduduk tempatan membuat alat daripada tali dan plastik bewarna-warni untuk menghalau burung-burung daripada memakan padi. Turut menarik perhatian saya adalah deretan kedai menjual jagung bakar ketika berada di Kota Marudu. Apa yang unik adalah jagung ini dibakar bersama kulitnya sekali dan hanya dikopek apabila hendak dimakan. Jadi isi jagung tidaklah hangus seperti yang ada di semenajung.
Setelah kenyang menikmati jagung bakar, saya meneruskan perjalanan ke Tanjung Simpang Mengayau. Ternyata, perjalanan ke sini bukan semudah yang disangka kerana walaupun ada papan tanda di setiap simpang menuju ke sana, para pelancong perlu melalui beberapa jalan yang tidak bertar, sebaliknya diperbuat daripada batu kerikil. Namun, segala kepenatan hilang sebaik sahaja berjaya menjejakkan kaki ke Tanjung Simpang Mengayau (The Tip Of Borneo) ini. Apa yang menarik di sini adalah Tanjung Simpang Mengayau ini adalah pertembungan Laut China Selatan dan Laut Sulu. Jadi ombaknya agak besar tetapi menarik kerana boleh melihat ombak daripada dua arah yang berbeza. Saya tidak melepaskan peluang mengabadikan gambar kenangan bersama sebuah replika globe separa bulat yang menandakan saya telah berada di penghujung utara Borneo. Satu lagi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah melihat matahari terbenam yang sungguh indah dan mendamaikan. Sebelum pulang ke Kota Kinabalu, saya sempat singgah di pesisir Pantai Kalampunian berhampiran Tanjung Simpang Mengayau ini untuk membeli karangan yang dijual sebagai oleh penduduk setempat.
Jesselton Point
Jesselton Point merupakan jeti utama untuk para pelancong yang ingin menaiki feri ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman (Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Sulug, Pulau Manukan dan Pulau Mamutik), Labuan, Brunei dan Pulau-Pulau di sekitar perairan Negeri Sabah. Terdapat banyak operator pelancongan yang beroperasi di sini dan harga yang ditawarkan hampir sama. Dismaping itu, terdapat juga peniaga kraftangan dan makanan beroperasi di sini. Ruang parkir di sini tidak menjadi masalah kerana terdapat sebanyak 160 ruang parkir berbayar dengan kadar RM 1.00 sejam (6.00 pagi hingga 5.30 petang), RM 2.00 sekali masuk (5.30 petang - 6.00 pagi) dan RM 10.00 (semalaman) . Walaupun kadarnya mungkin agak mahal terutama jika ingin memarkir dalam jangkamasa yang lama untuk ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman, namun pada saya ia amat memudahkan terutama untuk pelancong yang datang bersama orang tua atau kanak-kanak. Ini adalah kerana ia terletak bersebelahan dengan Jesselton Point sahaja. Tambahan pula, para pelancong tidak perlu risau kenderaan disaman pihak berkuasa sekiranya diparkir secara tidak sah di bahu-bahu jalan. Untuk maklumat lanjut, bolehlah layari laman wab Jesselton Point di sini.
Taman Laut Tunku Abdul Rahman
Menebus kekecewaan tidak sempat melawat ke sini pada trip yang lalu, saya mengambil peluang untuk mengunjungi Taman Laut Tunku Abdul Rahman pada trip kali ini. Terdapat lima buah gugusan pulau yang boleh dikunjungi iaitu Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Sulug, Pulau Manukan dan Pulau Mamutik. Harga pakej bagi setiap pulau adalah sebanyak RM 23.00 tidak termasuk yuran tarminal sebanyak RM 7.00 dan yuran pemuliharaan pulau sebanyak RM 3.00. Lawatan ke pulau kedua dan seterusnya akan dikenakan tambahan sebanyak RM 10.00 bagi setiap pulau. Peralatan snorkeling juga boleh disewa dengan kadar yang berpatutan. Memandangkan saya tidak mempunyai masa yang panjang, saya hanya berkesempatan mengunjungi Pulau Mamutik dan Pulau Manukan. Pada pendapat saya, adalah amat berbaloi untuk datang ke sini kerana permandangan yang dihidangkan cukup indah. Pengalaman melihat ikan-ikan berenang bebas di dalam air sejernih kristal juga tiada nilainya jika dibandingkan dengan nilai yang dibayar. Berdasarkan hemad saya, suasana di Pulau Manukan agak sibuk memandangkan kemudahan yang disediakan lebih lengkap. Namun, saya secara peribadi lebih menggemari suasana di Pulau Mamutik yang lebih tenang dengan suasana kehidupan bawah laut yang ternyata tidak mengecewakan.
Pelantar Pemandangan Bukit Bendera (Signal Hill Observatory Tower)
Sebelum berlepas pulang ke Pulau Pinang, saya singgah sebentar di Pelantar Pemandangan Bukit Bendera (Signal Hill Observatory Tower). Pelantar ini merupakan lokasi tertinggi di Kota Kinabalu. Para pelancong boleh menikmati pemandangan Bandaraya Kota Kinabalu boleh dilihat dengan jelas di sini. Saya hanya berada di sini kira-kira 15 minit untuk merakamkan gambar sebagai kenangan.
Perjalanan tiga hari dua malam di Kota Kinabalu terasa pantas berlalu. Saya berpuas hati kerana misi saya untuk ke Tanjung Simpang Mengayau dan beberapa lokasi yang tidak sempat dilawati semasa trip sebelum ini telah berjaya dilaksanakan kali ini. Apa yang pasti, saya berhajat untuk mengunjungi lagi Negeri Sabah Di Bawah Bayu ini pada masa hadapan dengan misi lawatan yang lain pula.
2 comments:
chantekk sabah kan bahh ,,. ehhHee
Semestinya wak... hehe...
Post a Comment