Navigation Bar

Monday, March 22, 2010

ZOOM MALAYSIA : PERLIS

Perjalanan tanpa dirancang, itulah yang menggambarkan perjalanan saya ke Perlis Indra Kayangan. Rancangan asal saya hanyalah untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat saya di Jitra. Namun memandangkan jarak yang sudah dekat, saya meneruskan perjalanan ke Perlis untuk melihat sendiri keistimewaan negeri yang terkanal dengan Mempelam Harumanis ini. Berikut merupakan info berkenaan Negeri Perlis :

SEJARAH

Berdasarkan sejarah, Perlis merupakan negeri di bawah naungan Negeri Kedah. Terdapat beberapa andaian yang mengaitkan asal-usul nama Negeri Perlis iaitu :
  1. Nama Perlis berasal daripada perkataan Siam iaitu "Phrau Loi" yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipendekkan dan dipelatkan oleh Orang Melayu menjadi "Pereleh" atau Perlis
  2. Sumber kedua menyatakan nama Perlis berasal daripada perkataan "peroleh" yang bermaksud kurnia daripada Sultan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis
  3. Sumber ketiga pula menyebut Perlis mendapat nama bersempena seorang tokoh ulama yang terkenal di Nusantara iaitu Tok Perlis
  4. Sumber yang keempat mengatakan nama Negeri Perlis berasal daripada perkataan "perlus". Kebanyakkan tanah di Perlis merupakan tanah sawah yang akan merekah pada musim kemarau dan menyebabkan sesiapa yang melaluinya akan terperlus. Daripada perkataan perlus itulah lahirnya nama Perlis
  5. Nama Negeri Perlis diperolehi daripada sejenis pokok iaitu Pokok Perlis. Pokok ini dahulunya banyak tumbuh di negeri tersebut, terutama di kawasan pinggir sungai. Kini, pokok ini telah pupus.
KEDUDUKAN GEOGRAFI

Perlis merupakan negeri yang terkecil di Malaysia dengan keluasan 810 kilometer persegi. Negeri Perlis bersempadan dengan Negara Thailand di utara dan berjiran dengan Negeri Kedah di Selatan. Terdapat enam jajahan di Perlis iaitu Arau, Kaki Bukit, Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat.

POPULASI PENDUDUK

Populasi penduduk Negeri Perlis pada tahun 2010 ialah seramai 217,480 orang, iaitu 78 % Kaum Melayu, 17 % Kaum Cina, 1.8 % Kaum India, dan bakinya terdiri daripada lain-lain kaum.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Ladang Tebu Chuping

Saya melalui Ladang Tebu Chuping ketika dalam perjalanan ke Padang Besar. Ladang Tebu Chuping berkeluasan 22,000 hektar dan merupakan ladang tebu yang terbesar di Malaysia. Walaupun ada kawasan ladang yang telah digantikan dengan tanaman getah, kawasan penanaman tebu daripada jalan kelihatan masih menghijau saujana mata memandang.

Padang Besar

Padang Besar terletak 37 kilometer dari bandar Kangar. Padang Besar bersempadan dengan Negara Thailand dan merupakan salah satu pintu keluar-masuk utama ke negara jiran. Kebanyakkan barangan yang dijual di Bazar Padang Besar diimport daripada Negara Thailand. Saya berkesempatan mencuba tomyam di salah sebuah restoran di sini. Rasa tomyam di sini agak pedas dan dipengaruhi masakan Thailand.

Tasik Timah Tasoh

Tasik Timah Tasoh merupakan salah satu daripada tujuh Pesona Perlis. Tasik ini merupakan empangan yang dibina untuk menampung keperluan air mentah di Negeri Perlis. Tasik ini juga dijadikan tempat pemeliharaan ikan air tawar yang digunakan untuk membuat pekasam. Empangan Timah Tasoh mula dibina pada tahun 1987 dan mula beroperasi pada tahun 1992.


Walaupun hanya sempat melawat beberapa lokasi menarik di Perlis, saya masih berpuas hati memandangkan saya datang ke Perlis secara tidak dirancang. Tambahan pula, saya mempunyai masa yang agak terhad untuk berada di sini kerana perlu menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat saya di Jitra, Kedah. Namun, saya berharap akan dapat datang lagi ke sini sekiranya masih ada peluang pada masa hadapan. Untuk maklumat lanjut berkenaan Negeri Perlis, bolehlah melayari Portal Kerajaan Negeri Perlis di sini.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar Sisipan

Selamat Pengantin Baru buat pasangan Ahmad Nizomuddin Bin Ahmad Sodri dan Nazirah Binti Othman. Semoga perkahwinan yang dibina akan kekal hingga ke akhir hayat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails