Navigation Bar

Tuesday, June 8, 2010

ZOOM MALAYSIA : KELANTAN

Hmm.. belum hilang kepenatan pulang daripada Royal Belum seperti entri saya sebelum ini, saya sekali lagi menjelajah Jalan Raya Timur-Barat menuju destinasi lebih jauh hingga ke Negeri Kelantan Darul Naim. Jika diikutkan badan yang letih, saya mungkin telah mengubah fikiran. Namun bila mengenangkan rancangan menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat saya yang sudah lama dirancang, saya gagahkan juga diri untuk meneroka keunikan negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Negeri Kelantan.

SEJARAH

Nama Kelantan dikatakan pencemaran daripada perkataan pokok Gelam Hutan atau nama saintifiknya Melaleuca Leucadendron. Nama Kelantan juga dikaitkan dengan perkataan "kilatan". Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi penemuan arkeologi menunjukkan kesan penempatan manusia di Zaman Prasejarah. Kelantan awal mempunyai hubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Sekitar tahun 1411, Raja Kumar iaitu raja Kelantan ketika itu membebaskan negeri itu daripada Siam dan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Shah setelah memeluk Islam. Kelantan kemudiannya menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke 15.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Kelantan yang berkeluasan 14,922 kilometer persegi terletak di timur laut Semenanjung Malaysia. Kelantan bersempadan dengan Negara Thailand di utara, Negeri Terengganu di timur, Negeri Pahang di selatan dan Negeri Perak di barat. Kelantan dibahagikan kepada 10 daerah jajahan iaitu Jajahan Kota Bharu, Jajahan Pasir Mas, Jajahan Tumpat, Jajahan Pasir Puteh, Jajahan Bachok, Jajahan Kuala Krai, Jajahan Machang, Jajahan Tanah Merah, Jajahan Jeli dan Jajahan Gua Musang.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan bancian pada tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar iaitu sebanyak 95 %, diikuti kaum Cina 3.8 %, kaum India 0.3 % dan kaum-kaum lain 0.9 %.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Bank Pitis, Istana Jahar dan Istana Balai Besar

Kesemua lokasi ini berada dalam satu kawasan dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sahaja dari Pasar Besar Siti Khatijah dan Bazar Buluh Kubu. Terdapat beberapa lagi buah muzium di kawasan ini yang memberi peluang kepada pelancong untuk melihat sendiri koleksi peninggalan yang bersejarah.


Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Rantau Panjang dan Pasar Besar Siti Khatijah

Sudah terlanjur ke Kelantan, semestinya agenda membeli-belah ada dalam senarai aktiviti di Kelantan. Bagi yang ingin mencari buah tangan untuk orang tersayang, bolehlah mendapatkan pelbagai barangan seperti budu, keropok lekor, batik dan sebagainya disini. Kepada yang pandai tawar-menawar pastinya boleh mendapat harga yang lebih berbaloi. Daripada ketiga-tiga lokasi ini, saya lebih menggemari Wakaf Che Yeh kerana konsep pasar malamnya yang lebih santai dan barangan yang dijual lebih murah.

Bukit Bunga

Bukit Bunga adalah satu lagi destinasi membeli-belah yang boleh dikunjungi sekiranya belum puas berbelanja di Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Rantau Panjang dan Pasar Besar Siti Khadijah. Barangan yang ditawarkan di sini kebanyakkannya adalah sama sahaja dengan tempat-tempat yang lain. Bukit Bunga sesuai disinggah oleh para pelancong yang ingin menghabiskan duit membeli cenderahati terakhir sebelum pulang ke destinasi masing-masing.


Pantai Cahaya Bulan

Tidak lengkap kunjungan ke Kelantan jika tidak berkunjung ke pantai-pantainya. Saya memilih untuk menghabiskan waktu petang dengan bersantai di Pantai Cahaya Bulan. Sesekali menghirup udara pantai yang menghadap Laut China Selatan sambil menikmati sata amatlah mengasyikan.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Mencari makanan yang unik, murah dan sedap di Kelantan amatlah mudah. Sebut sahaja variasi makanan yang diingini, pasti ada di sini. Pada hemat saya, makanan di sini rasanya agak manis dan banyak dipengaruhi dengan masakan Thailand. Ketika sampai di Pasar Besar Tanah Merah, saya sempat mencuba nasi kerabu dan ayam percik. Sedap, itu sahaja perkataan yang boleh menggambarkannya kelazatannya sedap sampai lupa nak ambil gambar. Selain nasi kerabu dan ayam percik, Kelantan juga terkenal dengan beraneka kuih-muih yang beraneka warna. Berikut merupakan beberapa menu yang saya cuba sepanjang berada di Kota Bharu.

Sate ikan dan cendol

Sate ikan di sini dicicah dengan menggunakan dua jenis sos iaitu sos manis dan sos pedas. Jika inginkan kelainan, bolehlah mencuba campuran kedua-dua jenis sos untuk membangkitkan lagi rasanya. Pengalaman mencuba cendol versi Kelantan yang mengandungi agar-agar bagi saya merupakan satu pengalaman baru kerana saya tidak pernah mencubanya sebelum ini

Nasi Sup Ayam Bakar

Sebelum pulang ke Pulau Pinang, saya berkesempatan mencuba nasi ayam versi Kelantan yang dinamakan Nasi Sup Ayam Bakar. Walapun hidangannya ringkas iaitu nasi putih, ayam tandoori dan sup kosong tetapi rasanya amat sedap. Kepada yang ingin mencuba bolehlah mengunjungi kedai ini di alamat Jalan Seri Cemerlang 8/27, Kota Bharu, Kelantan.


Pengalaman berkunjung ke Kelantan selama dua hari satu malam sebenarnya masih belum cukup untuk saya. Banyak lagi warisan, budaya dan peninggalan sejarah yang tidak sempat saya terokai. Jika ada rezeki dapatlah kiranya saya bertandang ke sini lagi. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Negeri Kelantan, bolehlah melayari Portal Kerajaan Negeri Kelantan di sini.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar sisipan

Selamat pengantin baru diucapkan kepada pasangan Mohd Jazli Bin Mat Nor dan Nur Adina Bt Ahmadi. Semoga perkahwinan yang dibina kekal hingga akhir hayat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails