Navigation Bar

Friday, November 19, 2010

ZOOM MALAYSIA : PULAU LANGKAWI

Berkunjung ke Pulau Langkawi bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Boleh dikatakan hampir setiap tahun saya akan berkunjung ke pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri ini untuk menyertai pelbagai program yang dianjurkan oleh jabatan saya. Namun, pengalaman yang dilalui kali ini agak berbeza kerana saya berpeluang menggunakan kedua-kedua pengangkutan utama ke Pulau Langkawi iaitu melalui jalan air dan jalan udara. Berikut merupakan info yang saya perolehi sepanjang kunjungan saya ke Pulau Langkawi pada minggu lalu.

SEJARAH

Terdapat beberapa versi mengenai asal-usul nama Langkawi iaitu :
  1. Nama Langkawi wujud daripada kombinasi dua perkataan Melayu iaitu "lang" iaitu singkatan Burung Helang dan "kawi" yang merujuk kepada batu kawi. Pulau Langkawi dikatakan pernah menjadi tempat tinggal sekumpulan burung helang berbadan perang kemerah-merahan dan berkepala putih yang dikenali penduduk tempatan sebagai Burung Helang Kawi.
  2. Menurut buku The Legends Of Langkawi yang ditulis oleh Tun Mohamed Zahir, Langkawi hasil daripada gabungan dua perkataan Sanskrit iaitu "Langka" yang bermaksud keindahan dan "Wi" yang bermaksud tidak terkira.
KEDUDUKAN GEOGRAFI

Pulau Langkawi merupakan salah satu daerah di dalam Negeri Kedah Darul Aman. Pulau ini yang berkeluasan 47,848 meter persegi merupakan pulau terbesar dikalangan 99 gugusan buah pulau disekelilingnya. Pulau Langkawi terletak di utara Selat Melaka dan di selatan Laut Andaman. Terdapat lima buah mukim di Pulau Langkawi iaitu Mukim Kuah, Mukim Padang Matsirat, Mukim Bohor, Mukim Ulu Melaka dan Mukim Kedawang. Pulau Langkawi telah diberi status bebas cukai pada tahun 1987 dan kini dikenali sebagai Langkawi Geopark sejak 01 Jun 2007 merangkumi tiga Taman Georimba iaitu Machincang Cambrian Geoforest Park seluas 4,274 hektar, Kilim Karst Geoforest Park seluas 2,415 hektar dan Pulau Dayang Bunting Geoforest Park seluas 3,850 hektar.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan perangkaan yang dijalankan pada tahun 2004, Pulau Langkawi dihuni oleh 85,336 orang penduduk. Majoriti penduduk adalah terdiri daripada Kaum Melayu.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI
Langkawi Jetty Point

Langkawi Jetty Point merupakan pintu masuk melalui jalan air ke Pulau Langkawi. Langkawi Jetty Point adalah jeti utama untuk semua feri penumpang berlabuh dimana ia menghubungkan Pulau Langkawi dengan Kuala Perlis, Kuala Kedah, Pulau Pinang dan Satun, Thailand. Terdapat beberapa lokasi menarik yang lain di sekitar Langkawi Jetty Point seperti Dataran Lang dan Taman Lagenda yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki dari sini.

Dataran Lang

Dataran Lang menempatkan sebuah tugu helang berketinggian 12 meter sebagai simbol kewujudan nama Langkawi. Dataran ini lazimnya menjadi lokasi utama pelancong untuk bergambar sebagai kenang-kenangan di Pulau Langkawi.

Taman Lagenda

Taman Lagenda menghimpunkan 17 monumen daripada cerita-cerita dongeng yang pernah mewarnai Pulau Langkawi sebagai Pulau Lagenda seperti Dayang Bunting, Mat Chinchang dan Mat Raya, Belanga Pecah, Air Hangat dan sebagainya. Secara tidak langsung, pelancong akan lebih mudah memahami cerita-cerita tersebut dengan melihat penerangan pada setiap monumen yang dibina.

Kuah

Membeli-belah di Kuah semestinya ada dalam senarai aktiviti para pelancong yang datang ke Pulau Langkawi. Para pelancong pastinya akan rambang mata untuk memilih pelbagai barangan yang dijual seperti produk berasaskan coklat, pinggan-mangkuk dan sebagainya. Harga barangan yang dijual disini sememangnya lebih murah daripada biasa bawa duit seguni pun akan habis namun saya dapati harganya semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Kota Mahsuri

Tidak lengkap kunjungan ke Pulau Langkawi jika tidak singgah di Kota Mahsuri. Kota Mahsuri merupakan sebuah kompleks sejarah yang dibina di perkampungan yang dipercayai pernah menjadi tempat tinggal Mahsuri satu ketika dahulu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di kompleks ini adalah menziarahi Makam Mahsuri, melihat barangan artifak di Muzium Mahsuri, merasai kedinginan air Telaga Mahsuri dan menonton persembahan kebudayaan di Panggung Mek Mulung.

Nusantara Maju Enterprise

Dalam perjalanan ke Pantai Cenang, saya sempat singgah sebentar ke Nusantara Maju Enterprise. Nusantara Maju Enterprise merupakan salah sebuah pusat perusahaan dan jualan produk berasaskan herba seperti bam dan minyak gamat. Disamping dapat melihat sendiri proses pembuatan, produk disini juga boleh dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding di Kuah.

Pantai Cenang

Pantai Cenang merupakan salah satu pantai yang terkenal di Pulau Langkawi. Melihat panorama matahari terbenam di sini agak mengasyikan saya. Berdasarkan keindahan pantainya, tidak hairanlah mengapa Pantai Cenang menjadi salah satu destinasi penginapan yang sering dipilih oleh para pelancong. Selain Pantai Cenang, variasi pantai lain yang terkenal di Pulau Langkawi adalah Pantai Tengah, Pantai Kok, Pantai Pasir Tengkorak, Pantai Pasir Hitam dan Pantai Tanjung Rhu.

Pulau-Pulau di sekitar Pulau Langkawi

Sepanjang beberapa kali kunjungan saya ke Pulau Langkawi, saya belum pernah sampai ke pulau-pulau di sekitar Pulau Langkawi lalu di atas pun jadilah. Namun, saya masih rasa kagum dengan keindahannya yang sukar diungkap dengan kata-kata. Kepada pelancong yang mempunyai masa yang panjang, bolehlah memilih pakej melawat ke pulau-pulau sekitar Pulau Langkawi (Island Hopping) yang disediakan agen pelancongan. Antara pulau-pulau yang terkenal untuk aktiviti ini adalah seperti Pulau Beras Basah, Pulau Singa Besar, Pulau Dayang Bunting dan Pulau Payar.


Kunjungan ke Pulau Langkawi pasti menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Pulau Langkawi yang kini dikenali dengan gelaran "Langkawi Permata Kedah" sememangnya masih menyimpan rangkaian keindahan alam semulajadi berusia jutaan tahun yang masih terpelihara terutama di ketiga-tiga Taman Georimbanya. Usaha berterusan untuk membangunkan Pulau Langkawi sebagai Bandaraya Pelancongan perlulah dikekalkan seiring dengan nama Pulau Langkawi yang telah terkenal di mata dunia. Untuk maklumat lanjut berkenaan Pulau Langkawi, bolehlah melayari portal Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) disini.

Tuesday, November 16, 2010

AYAH DAN IBU...


LAGU : AYAH DAN IBU
ARTIS : SUDIRMAN

Ayah dan ibu
Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Ahai

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ahai
Ayah dan ibu
Ayah dan ibulah mesti dihormati

Ayah dan ibu
Ayah dan ibu
Wali, wali keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai

Pakailah tunjuk ajar dan nasihat
Ahai
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat



Pengorbanan ayah dan ibu sesungguhnya tidak mampu untuk kita balas meskipun segunung harta yang dapat kita sediakan untuk mereka. Sejak daripada dalam kandungan hinggalah kita dawasa, ayah dan ibu tidak pernah mengeluh kecuali ayah dan ibu jenis ini untuk membesarkan kita. Biarpun perit, ayah dan ibu tetap cuba memenuhi segala impian anak-anaknya.

Namun malangnya, dicelah-celah masyarakat kita masih ada ayah dan ibu yang ditinggalkan anak-anak setelah mengecap kejayaan seperti anak ini. Amat malanglah bagi anak-anak sebegini kerana pastinya kehidupan tidak dapat dijalani dengan tenang tanpa adanya restu ayah dan ibu.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok, ambillah peluang untuk pulang menjenguk ayah dan ibu. Usahlah biarkan mereka ternanti-nanti kepulangan anak-anak di muka pintu dengan penuh harapan. Biarpun masih ada secebis dendam di dalam hati, buanglah perasaan itu sejauh-jauhnya dan gantikannya dengan perasaan syukur yang membahagiakan. Jadikan hari mulia ini sebagai titik-tolak untuk perubahan ke arah yang lebih positif. Saya yakin keikhlasan untuk menyatukan kembali jambatan silaturahim akan mendapat balasan sewajarnya daripada Allah.

Kepada insan yang bergelar ayah dan ibu, terima kasih di atas PENGORBANAN kalian yang terlalu besar. Sesungguhnya tidak terdaya kami anak-anakmu untuk menyebut satu-persatu budi yang telah dicurahkan. Hanya Allah yang mampu membalas jasa-jasa kalian...


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1423H
Related Posts with Thumbnails