Navigation Bar

Monday, March 28, 2011

SAYA BETUL ...


Sudah menjadi lumrah, manusia sentiasa menginginkan kemenangan dalam hidupnya. Kebolehannya mengatasi kemampuan orang lain sememangnya menjadi sesuatu yang ingin dibanggakan. Dalam menjalani kehidupan seharian, ada dikalangan kita yang sentiasa mahu orang lain mengikut kemahuannya tanpa mempedulikan samaada pendapatnya benar atau salah. Apa yang lebih dikesalkan, walaupun perbalahan yang terjadi hanya melibatkan isu yang remeh, kesan yang berlaku adalah berpanjangan seperti enggan bertegur sapa diantara satu sama lain. Malah, ada dikalangan kita sanggup memutuskan tali persaudaraan dan ikatan kasih-sayang sediaada demi mempertahankan rasa ego yang semakin membuak-buak.

Pada saya, sekiranya masih ada ruang untuk membetulkan tanggapan "saya sentiasa betul" dan "orang lain adalah salah" ia wajarlah dimanfaatkan sebaiknya. Kita telah dikurniakan akal fikiran dan mampu membuat pilihan yang terbaik. Sebenarnya, tidak salah menerima pendapat orang lain sekiranya pendapat tersebut boleh digunapakai demi kebaikan kita bersama. Usahlah malu memperbetulkan kesilapan yang sedikit kerana kesilapan yang sedikit jika tidak diperbetulkan akan mengundang impak yang lebih besar. Apa yang penting, perjuangan mempertahankan hak biarlah kena pada tempatnya.

Justeru, sukalah saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan sekalian bahawa bukan semua yang kita anggap betul adalah perkara yang benar. Amatlah mulia jika kita mengalah terlebih dahulu sekiranya kita menyedari kesalahan isu yang diperdebatkan adalah berada dipihak kita. Jalan yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah melalui perbincangan dan saling bermaaf-maafan. Tiada guna kita terus bertegang leher semata-mata hanya ingin menegakkan benang yang basah kerana kebenaran pasti terbukti jua suatu masa nanti.

Nota kaki : Sumber gambar daripada Google

Thursday, March 10, 2011

AURAT : TUNTUTAN AGAMA ATAU BUDAYA ?


Peredaran zaman menjadikan segelintir daripada kita sentiasa mendambakan trend berpakaian dengan cara terkini. Rasa segan-silu untuk memakai pakaian yang menjolok mata seakan pudar, sebaliknya rasa bangga pula timbul sekiranya dapat meniru pakaian artis dari barat. Lebih malang lagi, kita seolah-olah buat-buat sudah lupa adab berpakaian yang bersesuaian dengan norma agama dan budaya di negara kita. Namun, apa yang saya ingin bicarakan hari ini adalah cara berpakaian sebilangan daripada kita yang lebih memenuhi tuntutan budaya setempat daripada memenuhi tuntutan agama.

Dewasa kini, fenomena bertudung kian menjadi budaya yang semakin diikuti. Permintaan yang tinggi menjadikan pelbagai jenis tudung dengan variasi jenis, fabrik dan warna dihasilkan di pasaran. Mengambilkira sudut positif, fenomena ini sememangnya membawa kebaikan kepada kita kerana secara tidak langsung menggalakkan muslimah muslim terutamanya untuk menutup aurat. Mengambilkira daripada satu sudut lagi pula, fenomena ini dikuatiri hanya sekadar persinggahan dan tidak kekal lama. Perkara inilah yang merisaukan saya kerana jika dilihat hari ini, ramai dikalangan kaum wanita memakai tudung, tetapi dalam masa yang sama berpakaian ketat, memakai baju t lengan pendek dan pelbagai lagi gaya yang bertentangan dengan syariat agama Islam.

Saya tidaklah berniat untuk menuding jari kepada kaum wanita sahaja kerana ada juga dikalangan kaum lelaki yang tidak menjaga auratnya. Saya lebih menekankan kepada kaum wanita kerana auratnya terdiri daripada seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan, berbanding aurat lelaki yang hanya meliputi antara pusat dengan lutut. Walaupun lebih mudah, kaum lelaki tidak seharusnya mengambil ringan perkara ini kerana tuntutan agama tidak boleh dipermainkan. Sebagai contoh, ramai dikalangan kaum lelaki berpakaian lengkap ketika bersukan, tetapi masih mendedahkan kawasan lutut kerana hanya memakai seluar pendek. Tidak kurang yang menginginkan gaya santai dengan memakai seluar pendek ketika keluar bersiar-siar. Walaupun secara logiknya tiada apa yang perlu dimalukan kerana mereka berpakaian di tempat awam. mereka perlu menyedari mereka masih terikat kepada tatacara berpakaian yang dianjurkan oleh agama Islam.

Agama Islam sebenarnya tidak melarang memakai pakaian beraneka fesyen asalkan pakaian itu menutup aurat, tidak terlalu nipis, tidak nampak susuk badan, tidak melambangkan identiti agama lain, tidak menyerupai jantina bertentangan dan bukanlah pakaian yang keterlaluan. Kaum wanita sebenarnya tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menutup aurat kerana di pasaran, terdapat beraneka pakaian yang lebih sopan dipakai termasuklah penutup lengan yang boleh dipadankan dengan kemeja t lengan pendek. Bagi kaum lelaki pula, alangkah lebih baik sekiranya dapat memakai seluar panjang ketika beriadah, ataupun sekurang-kurangnya memakai penutup lutut jika masih selesa menggunakan seluar pendek. Pilihan untuk menutup aurat adalah terletak kepada kemahuan kita. Jadi, tepuk amai-amai dada, tanyalah iman.

Secara tuntasnya, saya merasakan pemahaman yang mendalam mengenai tuntutan agama adalah perlu kerana kita tidak boleh mengambil mudah perkara-perkara yang telah diperintahkan kepada kita. Kita tidak sewajarnya hanya menurut situasi budaya setempat sahaja kerana tidak semua yang orang lakukan itu betul, dan tidak semua yang orang lakukan itu salah. Sekiranya ada perkara yang disangsikan, bolehlah merujuk perkara terbabit kepada orang yang pakar dalam bidang berkenaan. Semoga ilmu yang dipelajari itu dapat dimanfaatkan untuk pengetahuan kita bersama.

Nota kaki : Sumber gambar daripada Google.

Wednesday, March 2, 2011

KETAHUILAH OLEHMU...

Dalam mengharungi kehidupan seharian, ramai diantara kita yang tidak menghargai apa yang sediaada dimiliki. Nafsu yang bergelora dalam jiwa menjadikan kita sering alpa untuk bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan. Walaupun sudah menjadi fitrah manusia sentiasa menginginkan yang terbaik, usahlah terlupa kepada orang-orang yang kurang bernasib baik. Berikut merupakan rencah kehidupan yang diharap dapat menjadi renungan kita bersama :

Disaat perut kita sudah tiada ruang...

Masih ada yang mengemis di jalanan...

Disaat kita bosan memakai kasut yang sama seharian...

Masih ada yang tidak punya pilihan...

Disaat kita tertekan dengan bebanan kerja tidak berkesudahan...

Masih ada yang punya lebih banyak bebanan kerja berpanjangan...

Disaat kita gembira memiliki gajet mengikut peredaran zaman

Masih ada yang tidak mampu memilih permainan...

Disaat kita lena dibuai mimpi indah semalaman...

Masih ada yang tidur bertemankan tanah gersang...

Disaat kita menangisi pemergian orang tersayang...

Masih ada yang lupa kepada ibu-bapa di kampung halaman...


Ketahuilah olehmu bahawa kehidupan ini bukan selamanya indah. Hargailah apa yang kita ada hari ini kerana belum tentu apa yang dimiliki hari ini bakal kita miliki lagi esok. Kita harus faham semua ini adalah pinjaman yang boleh ditarik bali pada bila-bila masa. Sentiasalah bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan...

Ketahuilah olehmu bahawa kehidupan ini seketika cuma. Tidak salah rasanya membantu mereka yang bekeperluan jika kita mampu. Ambilah peluang menambah amal dengan berbakti kepada mereka yang memerlukan...

Ketahuilah olehmu bahawa kehidupan perlu dilalui dengan cekal dan tabah. Usahlah mengeluh terhadap ketentuan yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama berusahalah untuk memperbaiki diri kerana kita semua adalah insan yang tidak sempurna...


Nota kaki : Sumber gambar adalah daripada Google
Related Posts with Thumbnails