Navigation Bar

Thursday, March 10, 2011

AURAT : TUNTUTAN AGAMA ATAU BUDAYA ?


Peredaran zaman menjadikan segelintir daripada kita sentiasa mendambakan trend berpakaian dengan cara terkini. Rasa segan-silu untuk memakai pakaian yang menjolok mata seakan pudar, sebaliknya rasa bangga pula timbul sekiranya dapat meniru pakaian artis dari barat. Lebih malang lagi, kita seolah-olah buat-buat sudah lupa adab berpakaian yang bersesuaian dengan norma agama dan budaya di negara kita. Namun, apa yang saya ingin bicarakan hari ini adalah cara berpakaian sebilangan daripada kita yang lebih memenuhi tuntutan budaya setempat daripada memenuhi tuntutan agama.

Dewasa kini, fenomena bertudung kian menjadi budaya yang semakin diikuti. Permintaan yang tinggi menjadikan pelbagai jenis tudung dengan variasi jenis, fabrik dan warna dihasilkan di pasaran. Mengambilkira sudut positif, fenomena ini sememangnya membawa kebaikan kepada kita kerana secara tidak langsung menggalakkan muslimah muslim terutamanya untuk menutup aurat. Mengambilkira daripada satu sudut lagi pula, fenomena ini dikuatiri hanya sekadar persinggahan dan tidak kekal lama. Perkara inilah yang merisaukan saya kerana jika dilihat hari ini, ramai dikalangan kaum wanita memakai tudung, tetapi dalam masa yang sama berpakaian ketat, memakai baju t lengan pendek dan pelbagai lagi gaya yang bertentangan dengan syariat agama Islam.

Saya tidaklah berniat untuk menuding jari kepada kaum wanita sahaja kerana ada juga dikalangan kaum lelaki yang tidak menjaga auratnya. Saya lebih menekankan kepada kaum wanita kerana auratnya terdiri daripada seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan, berbanding aurat lelaki yang hanya meliputi antara pusat dengan lutut. Walaupun lebih mudah, kaum lelaki tidak seharusnya mengambil ringan perkara ini kerana tuntutan agama tidak boleh dipermainkan. Sebagai contoh, ramai dikalangan kaum lelaki berpakaian lengkap ketika bersukan, tetapi masih mendedahkan kawasan lutut kerana hanya memakai seluar pendek. Tidak kurang yang menginginkan gaya santai dengan memakai seluar pendek ketika keluar bersiar-siar. Walaupun secara logiknya tiada apa yang perlu dimalukan kerana mereka berpakaian di tempat awam. mereka perlu menyedari mereka masih terikat kepada tatacara berpakaian yang dianjurkan oleh agama Islam.

Agama Islam sebenarnya tidak melarang memakai pakaian beraneka fesyen asalkan pakaian itu menutup aurat, tidak terlalu nipis, tidak nampak susuk badan, tidak melambangkan identiti agama lain, tidak menyerupai jantina bertentangan dan bukanlah pakaian yang keterlaluan. Kaum wanita sebenarnya tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menutup aurat kerana di pasaran, terdapat beraneka pakaian yang lebih sopan dipakai termasuklah penutup lengan yang boleh dipadankan dengan kemeja t lengan pendek. Bagi kaum lelaki pula, alangkah lebih baik sekiranya dapat memakai seluar panjang ketika beriadah, ataupun sekurang-kurangnya memakai penutup lutut jika masih selesa menggunakan seluar pendek. Pilihan untuk menutup aurat adalah terletak kepada kemahuan kita. Jadi, tepuk amai-amai dada, tanyalah iman.

Secara tuntasnya, saya merasakan pemahaman yang mendalam mengenai tuntutan agama adalah perlu kerana kita tidak boleh mengambil mudah perkara-perkara yang telah diperintahkan kepada kita. Kita tidak sewajarnya hanya menurut situasi budaya setempat sahaja kerana tidak semua yang orang lakukan itu betul, dan tidak semua yang orang lakukan itu salah. Sekiranya ada perkara yang disangsikan, bolehlah merujuk perkara terbabit kepada orang yang pakar dalam bidang berkenaan. Semoga ilmu yang dipelajari itu dapat dimanfaatkan untuk pengetahuan kita bersama.

Nota kaki : Sumber gambar daripada Google.

No comments:

Related Posts with Thumbnails