Jika disebut Bukit Bendera, feri, jeruk buah pala dan KOMTAR, semestinya yang sinonim dengan ikon-ikon tersebut adalah Pulau Pinang. Mengikut perkiraan, tahun ini merupakan tahun keenam saya bekerja di Pulau Pinang. Walaupun kadangkala hati terlintas untuk berkhidmat di tempat sendiri, namun kepuasan menabur bakti di rantau orang sukar untuk dilafazkan. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Pulau Pinang :
SEJARAH
Penempatan Islam sebenarnya telah dibuka lebih awal daripada Francis Light yang dikatakan membuka negeri ini pada tahun 1786. Pulau Pinang telah diserah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris oleh Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa sebagai gantian pelindungan pihak British daripada Siam dan Burma. Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Prince Of Wales bagi menghormati Raja Muda Britain. Manakala, penempatan di Tanjung Penaigre yang dikenali sebagai George Town pula diambil sempena nama Raja George III.
KEDUDUKAN GEOGRAFI
Gambar a : Pulau Pinang di Sebelah Seberang Perai
Gambar b : Jambatan Pulau Pinang
Gambar c : Pulau Jerejak
Gambar d : Pulau Pinang di sebelah bahagian pulau
Pulau Pinang yang mempunyai keluasan keseluruhan 1053 kilometer persegi terbahagi kepada dua bahagian iaitu Seberang Perai dan bahagian pulau. Seberang Perai yang berkeluasan 760 kilometer persegi terdiri daripada tiga buah daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. Manakala, bahagian pulau yang berkeluasan 293 kilometer persegi terdiri daripada daerah Timur Laut dan Barat Daya. Pulau Pinang bersempadan dengan Negeri Kedah di utara dan timur serta Negeri Perak di selatan.
POPULASI PENDUDUK
Berdasarkan perangkaan yang telah dijalankan pada tahun 2006, jumlah penduduk Pulau Pinang adalah seramai 1,492,600 orang. Kaum Cina merangkumi jumlah penduduk terbesar iaitu seramai 635,500 orang (42.5 %), diikuti Kaum Melayu seramai 612,300 orang (41 %) dan Kaum India seramai 148,000 orang (9 %). Manakala, Bumiputera Bukan Melayu mencatatkan jumlah penduduk seramai 5,600 orang (0.38 %) dan Bukan Warganegara adalah seramai 91,200 orang (6.1 %).
ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI
George Town
George Town mempunyai koleksi terbesar bangunan-bangunan dari kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Disini masih terdapat penempatan bersejarah yang terus bernafas dan hidup. Mereka ini umpama jendela penuh pesona kepada pengunjung yang ingin melihat kembali zaman silam George Town yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia. Pertembungan eksotik antara yang lama dan baru ini telah mewujudkan satu keunikan yang menarik untuk dihayati.
Bukit Bendera
Bukit Bendera yang berketinggian 833 meter dari paras laut juga dikenali sebagai Bukit Strawberi kerana buah strawberi pernah ditanam disini. Terdapat tiga cara untuk sampai ke puncak Bukit Bendera iaitu menggunakan kenderaan pacuan empat roda, mendaki bukit atau menggunakan keretapi bukit. Jalan menuju ke puncak bukit ini telah mula dibina pada tahun 1790 manakala perkhidmatan keretapi bukit telah diperkenalkan pada tahun 1924. Namun kebiasaannya, para pelancong akan menggunakan keretapi bukit kerana lebih mudah dan selesa. Walaupun tambang pergi-balik keretapi bukit yang dikenakan kini adalah dua kali lebih mahal daripada tambang sebelumnya, jangkamasa untuk sampai ke puncak cuma mengambil masa kurang 10 minit dan gerabaknya dilengkapi sistem penghawa dingin. Sebaik tiba di puncak, kedinginan udara sememangnya dapat dirasai dan jika bernasib baik, para pelancong dapat melihat panorama keseluruhan Pulau Pinang dengan jelas.
Taman Botani
Taman Botani yang juga dikenali sebagai Taman Air Terjun telah dibina pada tahun 1884 daripada tapak sebuah tapak kuari granit lama. Taman Botani merupakan taman rekreasi yang dijadikan tempat riadah di kalangan para pelancong dan penduduk tempatan. Antara tumbuhan yang menjadi ikon kepada Taman Botani adalah Pokok Pukul Lima dan Pokok Buah Meriam.
Rumah P.Ramlee
Rumah P.Ramlee merupakan tempat lahir Allahyarham P.Ramlee. Rumah ini telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa dan bapa saudaranya. Rumah ini pernah dibaik pulih oleh bapa saudaranya semasa zaman pendudukan Jepun dan dibaik pulih sekali lagi pada tahun 1948. Rumah ini kemudiannya dibaik pulih untuk kali ketiga dan diambil alih oleh Arkib Negara Malaysia pada tahun 1991. Terdapat dua bahagian ruang pemeran yang utama disini iaitu Rumah Kelahiran P.Ramlee dan Galeri P.Ramlee. Ruang pameran di Rumah Kelahiran P.Ramlee lebih menekankan sejarah kehidupan P.Ramlee manakala Galeri P.Ramlee pula memaparkan kegiatan seni beliau.
Masjid Jamek Batu Uban
Nama Batu Uban tercatat dalam sejarah sebagai Oban, Ooban, dan Batoo Oban yang mengambil sempena sebuah batu besar yang menyerupai kepala manusia yang penuh beruban dan terletak di tengah laut di antara masjid dengan Pulau Jerejak. Tapak Masjid Batu Uban dahulunya merupakan bekas tapak surau yang telah dibina oleh Tuan Haji Mohammed Salleh atau dikenali sebagai Nakhoda Intan Ibnu Al-Marhum Nam Tunku Patis Batang, yang juga membuka penempatan awal di Kampung Batu Uban pada tahun 1734. Bahagian asal masjid ini yang masih kekal ialah empat batang tiang seri berbentuk segi empat di tengah masjid dan puncak kubah masjid. Selain itu, tempat mengambil wuduk dan perigi masjid yang masih digunakan adalah binaan asal.
Masjid Kapitan Keling
Pembinaan Masjid Kapitan Keling telah diasas pada tahun November 1801 oleh ketua kaum India Muslim (Kapitan Keling) bernama Cauder Mydin Merican bagi menggantikan masjid yang dibina oleh tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris . Pada asalnya, masjid ini dibina daripada kayu di atas sebidang tanah berkeluasan 18 ekar. Selepas kematian Cauder Mydin Merican pada tahun 1834, tanah itu tidak lagi diiktiraf sebagai sebahagian daripada pemberian asal dan keluasan masjid telah berkurang kepada 8 ekar sahaja dengan pembinaan jalan serta kediaman di sekelilingnya. Masjid ini telah melalui enam kali ubahsuai dan masjid yang ada sekarang telah dibina pada tahun 1916 dengan bercirikan senibina Islam serta Moghul.
Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh
Berdasarkan fakta sejarah, Tengku Syed Hussain Al-Aidid, seorang kerabat diraja Acheh dari Sumatera membuka sebuah perkambungan di Lebuh Acheh pada tahun 1792 dan kemudiannya membina Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh pada tahun 1808. Reka bentuk masjid ini telah diilhamkan mengikut campuran senibina Moorish dan China. Satu ketika dahulu, kawasan masjid ini pernah menjadi lokasi bakal-bakal jemaah haji berkumpul setiap kali musim haji.
Masjid Terapung Tanjung Bungah
Sejarah asal Masjid Terapung Tanjung Bungah bermula apabila tapak surau sediada yang telah dibina pada tahun 1967 ditebusguna sebagai tapak masjid ini. Masjid Terapung Tanjung Bungah telah dirasmikan pada 16 Mac 2007 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi. Masjid yang berkeluasan 1295 meter persegi dan mempunyai dua tingkat ini boleh memuatkan 1500 jemaah pada satu-satu masa. Pembinaanya yang menelan kos RM 15 juta memaparkan campuran senibina Timur Tengah dengan sebuah menara masjid setinggi tujuh tingkat. Masjid Terapung Tanjung Bungah lazim menjadi tempat persinggahan para pelancong untuk beribadat dan berehat memandangkan lokasinya yang berada di tepi jalan utama menuju ke Pantai Batu Feringghi.
Muzium Islam Pulau Pinang (Syed Al-Attas Mansion)
Bangunan Muzium Islam Pulau Pinang asalnya merupakan kediaman Syed Al-Attas, seorang rakyat Acheh yang berketurunan Arab. Rumah ini telah dibina pada tahun 1860 kediaman ini mencerminkan corak hidup terbaik keluarga Islam di Pulau Pinang ketika itu. Sekitar tahun 1930-An, rumah ini pernah digunakan sebagai tempat simpanan barang buruk oleh pengumpul barang buruk Chettiar India. Pada tahun 1993, rumah ini telah dipulihkan untuk memberi maklumat berkaitan sejarah komuniti Islam di Pulau Pinang kepada masyarakat umum.
Muzium Negeri Pulau Pinang
Muzium Negeri Pulau Pinang mula dibuka kepada umum pada 14 April 1945. Muzium ini menghimpunkan sejarah kumpulan etnik yang ada di Pulau Pinang serta warisan budaya masyarakat mereka. Muzium ini memperagakan pameran yang dijelmakan dalam bentuk artifak, ilustrasi, gambar, model dan sebagainya.
Lorong Kulit
Jika para pelancong ingin mencari barang-barang antik, mungkin Lorong Kulit atau dikenali penduduk tempatan sebagai Rope Walk adalah destinasi yang perlu dikunjungi. Lorong Kulit terletak di sebelah Stadium Bandaraya dan dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Selain barang-barang antik, terdapat pelbagai lagi barangan yang dijual di sini termasuklah produk terpakai daripada tong sampah, buah-buahan, aksesori telefon bimbit dan sebagainya. Harga barangan yang ditawarkan kadangkala agak tinggi terutama kepada pelancong, tetapi harga tersebut masih boleh dikurangkan jika pandai tawar-menawar.
Pasar Chowrasta
Pasar Chowrasta mula dibina pada tahun 1890 dan pernah mengalami dua kali pengubahsuaian pada tahun 1920 dan 1981, Nama pasar ini berasal daripada perkataan Hindi "Chowk" yang bermaksud Pasar Jalanan. Pasar Chowrasta terletak diantara empat persimpangan jalan iaitu Jalan Penang, Jalan Chowrasta, Jalan Kuala Kangsar dan Lebuh Tamil. Pasar ini sememangnya popular kepada pelancong yang ingin mencari buku-buku terpakai dan jeruk. Majoriti peniaga di pasar ini adalah kaum Cina. Namun, para pelancong boleh mendapatkan jeruk yang dijual kaum Melayu di Kedai Jeruk Madu Pak Ali atau Jeruk Nasir yang terletak bersebelahan pasar ini.
KOMTAR Walk
Komtar Walk merupakan laluan sepanjang 155 meter di hadapan Jalan Dr Lim Chwee Leong yang menempatkan beberapa buah restoran dan Pasaraya Pacific. Komtar Walk mula dibuka pada 19 Ogos 2009 bagi menarik pelancong ke kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang semakin berkurangan. Pelancong lazimnya menjadikan Komtar Walk sebagai lokasi untuk berehat sambil melihat keindahan panorama 65 tingkat Menara KOMTAR daripada jarak dekat.
Padang Kota Lama (Esplanade)
Jika ingin menikmati angin sepoi-sepoi bahasa sambil menikmati keindahan alam semulajadi, Padang Kota Lama atau dikenali juga sebagai Esplanade adalah jawapannya. Namun begitu, saya secara peribadi tidak menggalakkan para pelancong untuk makan di Medan Selera di kawasan ini kerana harganya agak mahal dan kadangkala tidak setanding dengan apa yang dihidangkan. Terdapat beberapa lokasi menarik untuk dilawati di kawasan ini seperti Town Hall, City Hall, Fort Cornwallis dan Menara Jam Queen Victoria.
Gambar a : Town Hall
Gambar b : City Hall
Town Hall merupakan pusat pertemuan kepada golongan elit di Pulau Pinang satu ketika dahulu. Town Hall telah mula dibuka secara rasminya pada tahun sekitar tahun1880-An oleh Sir Fedderick Weld. Manakala, City Hall dibina pada tahun 1903 dengan kos 100,000 Dolar Negeri-Negeri Selat. City Hall kini dijadikan Ibu Pejabat Majlis Pembandaran Pulau Pinang sejak George Town mendapat pengiktirafan sebagai bandaraya pada 01 Januari 1987.
Fort Cornwallis
Fort Cornwallis merupakan sebuah kubu lama berbentuk bintang yang dibina oleh Kapten Francis Light selepas mengambil alih pulau ini dari Sultan Kedah pada 11 Ogos 1786. Pada asalnya, kubu ini diperbuat daripada batang Pokok Nibong dan dibina sebagai sebuah kubu pertahanan kepada tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris daripada serangan tentera Perancis. Pada bulan Januari 1809, kubu ini telah dibina semula menggunakan konkrit dengan kos 4621.45 Spanish. Kota ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama Dan Tapak Tanah Bersejarah pada 08 September 1977.
Menara Jam Queen Victoria
Menara Jam Queen Victoria telah dibina pada tahun 1897 dan kos pembinaanya adalah disumbangkan oleh Encik Cheah Chen Eok sebagai peringatan kepada sambutan Jubli Intan Queen Victoria. Menara ini telah dibina setinggi 60 kaki sempena 60 tahun pemerintahan Queen Victoria.
Pasar Malam Batu Feringghi
Aktiviti malam di kawasan Batu Feringghi dihidupkan dengan Pasar Malam Batu Feringgi yang beroperasi setiap hari dari sekitar jam 7.00 malam hingga 11.30 malam. Barangan yang dijual disini lebih tertumpu kepada perhiasan rumah, barangan berjenama tiruan, cenderamata dan sebagainya. Berdasarkan pemerhatian saya, harga produk yang dijual adalah lebih mahal memandangkan Batu Feringgi adalah kawasan tumpuan pelancong, terutama pelancong asing.
Pantai Tanjung Bungah dan Batu Feringghi
Diantara lokasi perkelahan terkenal yang sering dikenali para pelancong adalah Pantai Tanjung Bungah dan Batu Feringghi. Selain berkelah bersama keluarga, aktiviti lain yang dijalankan di sini adalah mandi-manda, parasailing, berkuda di persisiran pantai dan menaiki bot pisang. Selain Pantai Tanjung Bungah dan Batu Feringghi, Pantai Shamrock, Pantai Miami dan Pantai Pasir Panjang juga tidak kurang menariknya dan sesuai dikunjungi bersama keluarga.
Pulau Aman
Pulau Aman terletak di dalam daerah Seberang Perai Selatan dan boleh dikunjungi dengan menaiki bot daripada Jeti Batu Musang, Batu Kawan. Pulau Aman merupakan salah satu pulau yang berada di sekitar Pulau Pinang selain daripada Pulau Gedung dan Pulau Jerejak. Saya pernah membuat satu entri berkenaan pulau ini di sini
Pulau Jerejak
Pulau Jerejak yang mendapat nama jolokan Alcatraz Malaysia terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar. Selain berfungsi sebagai gerbang pemeriksaan tahap kesihatan imigran asing yang ingin bekerja di Pulau Pinang, Pulau Jerejak yang berkeluasan 362 hektar juga menjadi pusat kuarantin para jemaah haji yang baru pulang dari Mekah. Pada tahun 1930-an, sebuah hospital kusta telah dibina di bahagian timur pulau ini untuk menempatkan pesakit-pesakit kusta dan batuk kering. Pulau Jerejak sekali lagi ditransformasi pada tahun 1948 menjadi sebuah pulau buangan oleh British untuk memenjarakan pejuang-pejuang nasionalisme yang menentang mereka seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestaman dan ramai lagi. Pada 12 Jun 1969 pula, Pulau Jerejak telah diambil alih oleh Jabatan Penjara dijadikan Pusat Pemulihan Akhlak kepada para penjenayah sehingga bulan Ogos 1993. Pulau Jerejak kini telah berubah wajah dengan pembinaan sebuah resort untuk para pelancong yang ingin berlibur dalam suasana hutan hujan yang mendamaikan.
JALAN-JALAN CARI MAKAN
Apabila menyebut nama Pulau Pinang, tentunya yang terlintas di fikiran adalah kepelbagaian citarasa makanannya. Untuk mendapatkan rasa asli makanan yang diinginkan tidaklah sukar kerana banyak restoran yang menjualnya di sekitar bandaraya ini. Berikut merupakan beberapa lokasi yang saya cadangkan untuk dikunjungi :
Nasi Tomato Batu Lanchang
Saya yakin tidak ramai pelancong yang tahu kemujudan Nasi Tomato Batu Lanchang ini. Jika dilihat kepada rupanya, nasi tomato ini kelihatan biasa sahaja. Namun apabila diuji rasanya, ternyata rasa nasi tomato ini sedap dan sangat menyelerakan. Sekiranya ingin mencuba keenakkannya, lokasi gerai nasi tomato ini dijual adalah di perkarangan Blok 25 Taman Seri Damai yang berada bertentangan dengan Pasar Batu Lanchang. Hasil tinjauan saya mendapati, gerai ini hanya dibuka pada waktu malam sahaja.
Nasi Kandar Line Clear
Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana kelazatan nasi kandar di sini sememangnya tidak dapat dinafikan. Walaupun harga nasi kandar di sini agak mahal, nilainya berbaloi dengan rasa lauk-pauk yang beraneka serta cukup rempah-ratusnya. Selain Nasi Kandar Line Clear, satu lagi restoran nasi kandar yang saya cadangkan untuk dikunjungi adalah Nasi Kandar Beratur yang terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling, iaitu bersebelahan dengan Masjid Kapitan Keling. Pada waktu siang, restoran ini diusahakan oleh peniaga yang berbeza, manakala Nasi Kandar Beratur hanya memulakan perniagaan dari jam 10.00 malam setiap hari.
Restorann Roti Canai Jalan Argyll
Jika ingin menikmati sarapan pagi yang sedap, bolehlah berkunjung ke Restoran Roti Canai Jalan Argyll. Keenakkan roti canai di sini sememangnya menjadi sebutan ramai sejak restoran ini memulakan operasi 55 tahun lalu lagi. Sekiranya ingin merasai sendiri roti canai disini, restoran ini dibuka setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
Restoran Terapung Pulau Aman
Jika ingin merasai kelazatan mi udang, bolehlah berkunjung ke Restoran Terapung Pulau Aman. Selain mi udang, turut dijual disini adalah mi goreng udang dan nasi goreng udang. Saya pernah menceritakan perihal restoran ini di
sini
Jeruk Madu Pak Ali
Jeruk buah-buahan merupakan buah tangan yang wajib dibawa pulang dari Pulau Pinang. Berbekalkan motto "keterampilan citarasa menjadi tradisi", Jeruk Madu Pak Ali adalah pelopor pengilang jeruk buah-buahan bumiputra di Pulau Pinang. Penghasilan jeruk ini sudah dimulakan sejak tahun 1985 lagi. Sekiranya pelancong ingin membeli Jeruk Madu Pak Ali, bolehlah mendapatkannya di Medan Suri Sungai Nibong (Bersebelahan Masjid Jamek Sungai Nibong), sebelah Pasar Chawrasta atau Tesco Extra Seberang Jaya.
Sepanjang bertugas di Pulau Pinang, saya mengakui pulau ini adalah pulau yang kaya dengan pertembungan budaya serta warisan disamping menjadi syurga makanan yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Tidak rugi rasanya melancong ke sini kerana Pulau Pinang pastinya menjanjikan seribu satu kenangan manis untuk dikenang.