Navigation Bar

Monday, June 7, 2010

ZOOM MALAYSIA : TAMAN NEGERI ROYAL BELUM

Taman Negeri Royal Belum berada di Lembah Belum, Grik, Perak. Taman Negeri Royal Belum telah diwartakan sebagai taman negeri oleh Kerajaan Negeri Perak sejak 17 April 2007. Taman Negeri Royal Belum menyimpan 1001 khazanah flora dan fauna yang masih belum diterokai. Usia Royal Belum yang dianggarkan 130 juta tahun, iaitu lebih tua daripada kewujudan Hutan Amazon menjadikan kawasan yang bersempadan dengan Negara Thailand itu kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. Kawasan hutan dara ini meliputi kawasan seluas 117,500 hektar dan berada di bahagian utara Tasik Temengor.

Tasik Temengor merupakan empangan bagi menjana hidroelektrik di utara Negeri Perak yang mempunyai keluasan 15,200 kilometer persegi. Empangan ini dibina pada tahun 1970 dan siap empat tahun kemudian. Tasik ini berada kira-kira 45 kilometer daripada Grik, iaitu di pertengahan jalan raya timur-barat yang menghubungkan Baling, Kedah dengan Jeli, Kelantan. Tasik Temengor kaya dengan pelbagai spesis ikan dan menjadi taman permainan burung-burung enggang yang terbang bebas di udara.

Peluang untuk melawat ke Taman Negeri Royal Belum sememangnya tidak akan dilepaskan. Berikut merupakan secebis ceritera ketika saya berkunjung ke sana baru-baru ini.

Pulau Tali Kail

Sepanjang berada di Taman Negeri Royal Belum, saya menginap di Pulau Tali Kail. Perjalanan ke pulau ini mengambil masa kira-kira 15 minit dari Jeti Awam Pulau Banding dengan menggunakan bot laju. Bot laju merupakan satu-satunya pengangkutan untuk datang ke pulau ini kerana tidak dihubungkan dengan jalan raya. Pulau Tali Kail dilengkapi dengan kemudahan yang lengkap seperti chalet, bilik mandi, tandas, dewan, alatan rekreasi dan sebagainya.

Bersantai di sekitar Tasik Temengor

Lawatan hari kedua saya dimulakan dengan bersiar-siar di sekitar Tasik Temengor. Keadaan air tasik berwarna kehijau-hijauan yang dingin dan tenang sememangnya boleh mendamaikan jiwa. Keindahan Tasik Temengor yang diserikan lagi dengan pokok mati di atas permukaan tasik juga amat memukau.

Melawat Bunga Rafflesia

Melawat Bunga Rafflesia iadalah aktiviti yang paling mengujakan saya. Mana tidaknya, satu-satunya tempat untuk melihat Bunga Rafflesia di Semenanjung Malaysia ialah di Taman Negeri Royal Belum. Terdapat tiga spesis Bunga Rafflesia boleh dijumpai di sini dan salah satunya dinamakan Azlan II sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Ketika berada disana, saya bernasib baik kerana hajat untuk melihat Bunga Rafflesia yang baru kembang sepenuhnya termakbul. Walaupun perlu melalui denai berair dan mendaki tebing yang agak curam untuk melihat bunga ini, namun kepuasan yang diperolehi sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Sungai Kejar, Taman Negeri Royal Belum

Sungai Kejar merupakan tempat pertemuan anak sungai dengan Tasik Temengor. Saya cuma berhenti sekitar 20 minit disini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan sebelum meneruskan ekspedisi ke perkampungan orang asli.

Perkampungan Orang Asli (Kampung Bongor Seberang & Hilir)

Saya berkesempatan untuk melawat ke dua buah kampung orang asli iaitu Kampung Bongor Seberang dan Kampung Bongor Hilir. Kedua-dua perkampungan ini menempatkan penduduk berjumlah kira-kira 200 orang yang terdiri daripada Kaum Jahai. Walaupun mereka telah menerima angin kemodenan, majoriti daripada penduduk kampung masih berpegang kuat dengan adat-resam nenek moyang mereka. Sumber pendapatan penduduk di sini adalah bergantung kepada sumber alam yang banyak diperolehi di kawasan sekitar Taman Negeri Royal Belum.

Jenut Papan Utara

Sungai Papan merupakan pintu masuk kepada pelancong yang ingin ke Jenut Papan Utara. Di sepenjang perjalanan dari Sungai Papan ke Jenut Papan Utara, saya ditunjukkan beberapa jenis tumbuhan seperti Pokok Damar Hitam, Pokok Gaharu dan herba-herba yang lain. Di Jenut Papan Utara, saya berpeluang untuk melihat sira binatang, iaitu lokasi yang sering dikunjungi harimau, kijang dan binatang lain menjilat air di situ yang kaya dengan nutrien. Saya mencuba untuk menghidu sira tersebut dan saya dapati baunya seperti belerang.

Air Terjun Sungai Ruok

Sebaik menjejakkan kaki ke tebing tasik, saya dapat melihat kesan tapak kaki dan tompokan najis gajah bertaburan disana-sini. Segala kepenatan mendaki denai berbukit hilang sebaik sahaja mendengar hempasan air terjun Sungai Ruok. Saya kemudiannya di bawa ke Santuari Ikan Sungai Ruok yang menempatkan beberapa jenis ikan seperti Kelah, Temoleh dan Tengas. Saya tidak melepaskan peluang untuk memberi makan kepada ikan-ikan yang berkumpul di gigi air. Nasib kurang menyebelahi saya pada petang ini. Belum puas bermesra dengan ikan-ikan tersebut, hujan yang pada mulanya rintik bertukar menjadi semakin lebat. Di atas nasihat pemandu pelancong, saya berpatah balik ke bot dengan segera untuk pulang semula ke Pulau Tali Kail.

Riadah di Tasik Temengor

Pelbagai aktiviti rekreasi seperti berakit, berkayak serta bermandi-manda di Tasik Temengor boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Sesekali menghabiskan masa dengan beriadah di tasik ini adalah begitu menyeronokkan. Sekiranya bernasib baik, pelancong berpeluang untuk melihat burung-burung Enggang terbang di sekitar tasik ketika beriadah.


Tanpa disedari, tiga hari berada di Taman Negeri Royal Belum berlalu dengan pantas. Tibalah masa untuk saya pulang semula ke Pulau Pinang walaupun hati masih menyimpan harapan untuk berada di sini lebih lama. Keindahan dan kedamaian yang saya perolehi di sini amatlah sukar didapati di tempat-tempat lain. Dengan jalinan kehijauan tumbuh-tumbuhan, kebiruan langit, kesegaran udara dan kesejukan air tasik menjadikannya satu tempat yang sangat istimewa untuk dikunjungi. Justeru, kita sewajarnya mengekalkan tempat ini daripada tercemar untuk memastikan kelestariannya dapat dikekalnya untuk generasi masa hadapan.

2 comments:

Anonymous said...

salam...

saye plan nk ke sana thn depan tp xde clue lgsg regarding accomodation kt sane and aktiviti ape yg ditawarkan..if ade pakej..and if ade website yg boleh di offer kpd saye..amat dihargai..

nie emel saye
norfadilah@ikram.com.my

far_red said...

Terima kasih di atas kunjungan ke blog ini. Saya telah e-mail maklumat yang dikehendaki. Semoga dapat membantu :)

Related Posts with Thumbnails