Navigation Bar

Sunday, July 31, 2011

ZOOM MALAYSIA : SARAWAK

Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke tanah Borneo dan destinasi pilihan saya adalah Sarawak Bumi Kenyalang. Walaupun rancangan untuk melawat ke Sarawak tidak berjalan lancar seperti yang dirancang, saya tetap tekad untuk meneruskan perjalanan memandangkan segala persiapan telah dilakukan lebih awal. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai negeri Sarawak :

SEJARAH

Menurut sejarah, Sarawak pernah berada di bawah naungan Kesultanan Brunei pada awal abad ke-19. Terdapat beberapa andaian yang mengaitkan asal-usul Negeri Sarawak iaitu :
  1. Nama Sarawak diambil daripada nama sejenis galian yang dikenali sebagai Serawak, iaitu sejenis batu galian yang mengandungi belerang dan antimoni. Ini bertepatan sekali dengan sejarah Sarawak yang kaya dengan antimoni.
  2. Nama Sarawak turut dikaitkan dengan nama Batang Sarawak atau Sungai Sarawak yang meliputi kawasan yang digelar sebagai "Sarawak Prosper" mengajur dari Pedalaman Kuching di Bau hingga ke Samarahan.
KEDUDUKAN GEOGRAFI

Negeri Sarawak terletak di wilayah barat Pulau Borneo dan 70 peratus muka buminya masih diliputi hutan hujan tropika. Negeri yang berkeluasan 124,449.51 kilometer persegi ini merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Negeri yang juga dikenali sebagai bumi kenyalang ini dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan di sebelah barat, bersempadan dengan Negeri Sabah di timur laut, Negara Brunei di utara dan Kalimantan, Indonesia di sebelah timur. Negeri Sarawak mempunyai 11 bahagian keseluruhannya merangkumi Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Serikei, Kapit, Kota Samarahan, Bintulu, Mukah dan Betong.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan statistik yang dijalankan pada tahun 2005, jumlah penduduk Negeri Sarawak adalah seramai 2.07 juta orang. Terdapat 27 entik asli yang terdapat di Sarawak iaitu Iban, Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Penan, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Berawan, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Baketan, Ukit, Sihan, Tagal, Tabun, Saban, Lisum dan Longkiput.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI
Sri Aman

Lawatan ke Sri Aman sebenarnya tiada dalam perancangan saya. Namun setelah menerima jemputan daripada rakan saya, saya mengambil keputusan untuk ke sana. Secara kebetulan, Pesta Benak Sri Aman 2011 sedang berlangsung di Sri Aman ketika itu dan pastinya peluang tersebut tidak patut dilepaskan. Walaupun hasrat asal untuk mengunjung Rainforest World Music Festival di Kampung Budaya Sarawak tidak tercapai, lawatan ke sini setidak-tidaknya telah berjaya mengubati kedukaan itu. Benak atau air pasang besar terjadi daripada fenomena pasang surut air di Sungai Batang Lupar. Ketika Pesta Benak berlangsung, ketinggian ombak benak yang terjadi boleh mencecah ketinggian hingga enam meter. Secara tidak langsung, pesta ini telah menarik peluncur daripada seluruh dunia untuk menunjukan kemahiran meluncur masing-masing.

Kubu Lily, Betong

Terletak kira-kira empat jam perjalanan dari Kuching, Betong juga mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antara lokasi yang sempat dilawati ketika berada di sini adalah Kubu Lily. Kubu Lily telah dibina pada tahun 1885 dan berfungsi sebagai kubu pertahanan semasa penentangan Pahlawan Iban bernama Rentap terhadap Rajah Brooke. Selain daripada Kubu Lily, antara kubu-kubu lain yang terdapat di Sarawak adalah Kubu Alice di Sri Aman (1864), Kota Margherita di Kuching (1879), Kubu Sylvia di Kapit (1897) dan Kubu Lama Limbang di Limbang (1897).

Bandaraya Kuching

Bandaraya Kuching merupakan ibu negeri Sarawak. Bandaraya Kuching ditadbir oleh dua pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Dewan Bandaraya Kuching Selatan (DBKS). Terdapat banyak lokasi menarik yang boleh dilawati di Bandaraya Kuching seperti Tugu Kucing, Kuching Waterfront, Main Bazaar, Taman Orkid DBKU dan sebagainya. Namun, pengalaman menaiki perahu tambang menyeberangi Sungai Sarawak adalah pengalaman yang paling mengujakan semasa saya berada di sini.

Main Bazaar

Sebut sahaja Main Bazaar, pastinya yang terlintas di fikiran adalah deretan kedai yang menjual pelbagai cenderamata untuk dibawa pulang. Sebut sahaja apa produk Sarawak yang dimahukan samaada makanan ringan, tekstil, perhiasan rumah, mutiara, Gambir Sarawak dan sebagainya, pastinya boleh didapati disini. Main Bazaar adalah lokasi yang paling ideal untuk pelancong yang ingin membeli cenderamata memandangkan lokasinya mudah dikunjungi. Pada pendapat saya, harga produk yang dijual di Main Bazaar adalah paling rendah jika dibandingkan dengan lokasi lain seperti Serikin dan Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok). Harga produk juga masih boleh dirunding dengan para peniaga di sini. Sebagai contoh, ada peniaga di sini yang menjual kek lapis cap ayam dengan harga serendah RM 45.00 untuk lima biji kek lapis. Namun, kepada pelancong yang ingin membeli kek lapis yang telah terkenal seperti Kek Lapis Mira dan Kek Lapis Dayang Salhah perlulah menyeberangi Sungai Sarawak ke Kampung Gersik.

Mira Cake House & Kek Lapis Dayang Salhah

Mira Cake House dan Kek Lapis Dayang Salhah adalah antara pengeluar kek lapis yang paling dikenali di Sarawak. Kedua-dua buah kedai terletak di Kampung Gersik, iaitu di seberang Sungai Sarawak. Terdapat dua cara untuk sampai di Kampung Gersik iaitu menggunakan jalan darat iaitu melalui jalan raya atau jalan air dengan menaiki perahu tambang dengan kos RM 0.50 sehala. Saya sendiri telah mencuba kedua-dua jalan untuk makan kek lapis percuma untuk sampai ke sini dan ternyata menggunakan perahu tambang lebih mudah dan dekat. Pelancong pastinya akan rambang mata melihat beraneka jenis kek lapis yang dijual di sini. Selain daripada boleh menikmati kek lapis yang dijual, para pelancong juga boleh melihat sendiri kaedah pembuatan kek lapis ini. Sekiranya menginginkan kelainan pula, para pelancong boleh memilih untuk membeli kek lapis di beberapa buah lagi kedai yang beroperasi di kampung ini.

Taman Orkid DBKU

Taman Orkid DBKU telah dirasmikan pada 5 Mac 2010 oleh Ketua Menteri Sarawak, Y.A.B Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud. Taman orkid yang berkeluasan 15.4 ekar ini terletak bersebelahan Astana, iaitu kediaman rasmi Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak. Taman Orkid DBKU mula dibina pada bulan November 2007 dan siap sepenuhnya pada bulan Mei 2009. Taman Orkid DBKU menghimpunkan koleksi 40,000 orkid daripada jenis hybrid Epiphytic (gantung) dan Terrestrial (tanah), sekaligus menjadi lokasi tumpuan pelancong yang meminati bidang hortikultur dan botanikal.

Serikin

Serikin terletak di sempadan Malaysia - Kalimantan, Indonesia dan hanya dibuka pada hari Sabtu serta Ahad sahaja. Suasana di pasar minggu ini persis suasana di Wang Kelian, Perlis atau Rantau Panjang, Kelantan kerana majoriti peniaga di sini adalah terdiri daripada warganegara asing. Berdasarkan pemerhatian saya, hampir 95 peratus peniaga di sini berasal dari Indonesia. Produk yang dijual juga kebanyakkan diimport daripada Indonesia terutamanya pakaian dan perhiasan rumah. Pada mulanya, saya menjangkakan harga barangan di sini dijual lebih murah tetapi ternyata sangkaan saya meleset kerana harganya hampir sama atau lebih mahal daripada Bandaraya Kuching.

Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok)

Saya hampir tersesat ketika mencari Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok) ini kerana menyangka kedua-dua pasar ini adalah berbeza. Seperti pasar-pasar yang lain, pasar ini juga menjual makanan basah dan kering seperti udang kara, rumpai laut, sayur-sayuran, buah-buahan serta lain-lain. Apa yang menjadikan pasar ini unik adalah terdapat ramai peniaga Ikan Terubuk Masin di sini. Harga ikan yang dijual adalah bergantung kepada saiz ikan yang dipilih. Semakin besar saiz ikan, maka semakin mahal harganya. Berdasarkan pemerhatian saya, harga yang ditawarkan oleh peniaga di sini adalah sama antara satu sama lain dan kadangkala dijual lebih murah daripada harga yang dipamerkan. Ikan Terubuk Masin yang dijual juga akan dibungkus di dalam kotak bagi memudahkan para pelancong membawanya menaiki pesawat.

Kampung Budaya Sarawak

Terletak di kaki Gunung Santubong, Kampung Budaya Sarawak antara lokasi yang menjadi target saya ketika berkunjung ke Kuching. Terletak dalam kawasan seluas 17 ekar, Kampung Budaya Sarawak menghimpunkan tujuh buah rumah tradisional yang mewakili etnik-etnik asli utama di Sarawak iaitu Rumah Panjang Bidayuh, Rumah Panjang Iban, Rumah Penan, Rumah Orang Ulu, Rumah Tinggi Melanau, Rumah Tradisional Melayu dan Rumah Cina. Tanpa perlu bersusah-payah menjelajah ke seluruh Negeri Sarawak, para pelancong boleh mengenali dengan mendalam dan mencuba aktiviti harian etnik asli di setiap rumah yang dilawati dalam masa sekitar satu jam setengah sahaja. Namun pada pendapat saya, persembahan kebudayaan pada jam 11.30 pagi dan 4.00 petang setiap hari tidak harus dilepaskan dan pasti membuat para pelancong terpegun dengan ketangkasan aksi para penari. Walaupun tiket masuk ke sini berharga RM 60.00 seorang untuk dewasa lebih mahal daripada tiket penerbangan pergi-balik saya, namun pada saya pengalaman berada disini amat berbaloi terutama ketika melihat persembahan kebudayaan yang dipentaskan. Memandangkan saya datang ke sini secara bersendirian, kos yang dikeluarkan adalah minima berbanding para pelancong yang datang bersama keluarga. Jadi tepuk dada. tanyalah poket.

Gambar A : Muzium Sejarah Semulajadi
Gambar B : Muzium Seni

Gambar C : Muzium Sarawak

Gambar D : Muzium Islam Sarawak


Muzium Sejarah Semulajadi, Muzium Seni, Muzium Sarawak dan Muzium Islam Sarawak berada dalam kawasan yang sama dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sahaja. Setiap muzium mempunyai mempunyai koleksi artifak yang berbeza dan masing-masing mempunyai keistimewaannya tersendiri. Selain daripada muzium-muzium ini, terdapat beberapa lagi buah muzium di sekitar Kuching yang boleh dilawati seperti Muzium Tekstil, Muzium Sejarah Cina, Kubu Margherita dan Muzium Kucing.

Muzium Kucing

Muzium Kucing Cik KTS terletak di dalam bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Bukit Siol, Petrajaya. Muzium ini yang telah ditubuhkan pada tahun 1993 ini merupakan satu-satunya muzium seumpamanya di dunia. Muzium ini menghimpunkan koleksi kucing daripada serata dunia, termasuklah lukisan, porselin, arca, setem dan sebagainya. Selain itu, maklumat berkaitan hubungkait kucing dalam kehidupan manusia juga diperincikan dengan jelas di muzium ini.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Mi Kolok

Mi Kolok adalah menjadi antara menu yang mesti dicuba jika berkunjung ke Sarawak. Saya difahamkan, terdapat dua jenis Mi Kolok iaitu Mi Kolok Ayam dan Mi Kolok Daging yang dimasak secara berkuah (sup) atau digoreng. Saya dapati, bentuk dan rasa Mi Kolok ini hampir sama dengan mi segera yang biasa dijual di Semenanjung Malaysia. Apa yang membezakannya cuma Mi Kolok dimakan bersama sambal istimewa disamping ayam atau daging dihidangkan di atas mi. Kepada para pelancong yang ingin mencuba rasa Mi Kolok ini, bolehlah ke Pak Amit Cafe yang terletak di Jalan Astana.

Laksa Sarawak

Satu lagi hidangan yang sempat saya cuba semasa berada di Pak Amit Cafe adalah Laksa Sarawak. Sebagai seorang penggemar laksa, saya mengakui rasa laksa di sini mempunyai keunikannya tersendiri. Bentuk laksa yang digunakan adalah seperti bihun dan kuahnya pula mempunyai rasa seperti kuah kari. Selain itu, Laksa Sarawak turut dihidangkan bersama sambal yang boleh ditambah jika ingin mendapatkan rasa lebih pedas.

Gambar A : Tebaloi
Gambar B : Kuih Cincin

Gambar C : Kuih Sepit Lemantak


Tebaloi, Kuih Cincin dan Kuih Sepit Lemantak adalah antara snek yang digemari oleh penduduk tempatan Sarawak. Selain sesuai dijadikan makanan ringan, kuih-muih ini juga boleh dijadikan ole-ole untuk dibawa pulang kepada keluarga. Para pelancong yang ingin mendapatkan ketiga-tiga kuih ini bolehlah membelinya di Agrobazaar Kedai Rakyat yang berada belakang Pasar Tamu DBKU (Pasar Satok) atau di sekitar Main Bazaar.

Gambar A : Manok Pangsuh
Gambar B : Sayur Midin


Dalam perjalanan ke Serikin, saya singgah untuk makan tengahari di Siti Corner, Bau, Sarawak. Antara hidangan tradisional Sarawak yang saya cuba di kedai ini adalah Manok Pangsuh dan Sayur Midin. Manok Pangsuh adalah ayam yang dimasak bersama beberapa bahan lain seperti serai, halia dan sebagainya di dalam buluh, sama seperti cara lemang dimasak. Manakala, Sayur Midin pula mempunyai bentuk yang serupa dengan Sayur Pucuk Paku di Semenanjung Malaysia. Sayur Midin biasanya digoreng belacan dan sesuai dimakan bersama nasi putih.

Nasi Aruk Sarawak

Sebelum balik ke Pulau Pinang, saya sempat mencuba Nasi Aruk Sarawak yang dijual di Grill Mama Recipe. Nasi Aruk Sarawak adalah sejenis nasi goreng yang dihidangkan bersama Ikan Terubuk Masin dan Buah Kedondong. Berdasarkan namanya, saya pasti nasi ini hanya terdapat di Sarawak. Justeru, kunjungan ke Sarawak pastinya tidak lengkap jika tidak mencuba keenakan rasa Nasi Aruk ini.



Perjalanan saya ke Sarawak selama lima hari empat malam berakhir di sini sahaja. Saya amat bersyukur kerana sepanjang berada di Sarawak, saya berpeluang menimba banyak pengalaman dan pengetahuan baru mengenai kehidupan masyarakat setempat. Pada pandangan saya, Sarawak adalah sebuah negeri yang mempunyai budaya yang unik dan penduduknya juga tidak lokek menghulurkan bantuan sekiranya memerlukan. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Abang Mohd Borhan dan Encik Amirul Shazlie yang banyak membantu sepanjang percutian saya di Sarawak.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar Sisipan

Semasa memandu di sekitar Bandaraya Kuching, antara keunikan yang terdapat di sini adalah terdapat begitu banyak bulatan yang perlu dilalui sebelum sampai ke satu-satu destinasi. Bulatan yang terdapat di sini juga menggunakan nama yang panjang dan memerlukan masa yang sedikit panjang untuk membaca keseluruhannya.

Thursday, July 28, 2011

LU LANGSI, LU MATI...

Sumber gambar : Harian Metro 28 Julai 2011

Kata pepatah "buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat". Mungkin itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang telah didenda RM 400.00 selepas didapati bersalah menzalimi tiga ekor kucing di Petaling Jaya, Selangor. Semoga dengan hukuman yang telah dijatuhkan akan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kezaliman terhadap haiwan terutama kucing tanpa sebab yang munasabah...

Nota kaki : Sayangi dan lindungilah haiwan kerana mereka adalah pelengkap kitaran ekosistem bumi kita. Betul tak Cik KTS?

Sunday, June 19, 2011

AYAH...


LAGU : AYAH
ARTIS : AEMAN

Ketika berjauhan
Masih kurasa hangat kasihmu ayah
Betapa ku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku

Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan
Diriku sendirian

Ketikaku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Disaat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku
Erti kekuatan

Terpancaran kebanggaan
Dalam senyummu
Melihatku berjaya
Bilaku kegagalan
Tak kau biarkan
Aku terus kecewa
Dengan kata azimat
Engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan

Tak dapat ku bayangkan
Hidupku ayah
Tanpa engkau disisi
Semua kasih-sayang
Yang kau curahkan
Tersemat di hati



TERIMA KASIH AYAH DI ATAS PENGORBANANMU YANG TIDAK MAMPU KU BALAS. SELAMAT HARI BAPA

Thursday, June 9, 2011

ZOOM MALAYSIA : KOTA BHARU

Saya pernah menceritakan pengalaman saya mengunjungi Negeri Kelantan Daru Naim pada tahun lalu disini. Pada minggu lalu, saya sekali lagi berpeluang untuk mengunjungi Kota Bharu, iaitu ibu negeri kepada negeri ini. Berikut merupakan secebis ceritera sepanjang saya berada di sana :

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan (Istana Jahar)

Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan yang juga dikenali sebagai Istana Jahar telah siap dibina pada tahun 1887. Istana ini asalnya adalah istana Raja Bendahara Tengku Long Kundor Sultan Ahmad yang kemudiaannya dijadikan hadiah perkahwinan kepada cucunda baginda. Istana ini kemudiaannya telah ditukar fungsi menjadi muzium dan telah dirasmikan oleh Sultan Tuanku Ismail Petra pada 27 Julai 1992.

Pintu Gerbang Sultan Ismail Petra

Salah satu ikon Kota Bharu yang perlu dikunjungi adalah Pintu Gerbang Sultan Ismail Petra. Pintu gerbang ini telah dibina sebagai memperingati pengisytiharan Kota Bharu sebagai kota budaya. Keunikan rekabentuk pintu gerbang ini menjadikannya lokasi yang selalu dikunjungi oleh pelancong untuk bergambar kenangan.

Padang Merdeka

Padang Merdeka terletak bertentangan dengan Pintu Gerbang Sultan Ismail Petra dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki dari sana. Padang Merdeka sebelum ini dikenali sebagai Padang Bank dan ditukar nama kepada Padang Merdeka sempena kemerdekaan negara pada tahun 1957. Mengikut sejarah, Padang Merdeka pernah menjadi tempat pahlawan Melayu, Tok Janggut digantung. Padang Merdeka kini menempatkan Tugu Peringatan Perang Dunia Pertama sebagai mengingati wira-wira yang telah terkorban.

Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah terkenal sebagai lokasi membeli-belah sekiranya berkunjung ke Kota Bharu. Pasar Siti Khadijah mempunyai tiga tingkat bangunan dan barangan yang dijual adalah berbeza untuk setiap tingkat, iaitu makanan basah di tingkat bawah, makanan kering di tingkat dua dan tekstil di tingkat tiga. Perletakan batu asas Pasar Siti Khadijah telah dilakukan pada 20 Mei 1983 dan mula dibuka kepada orang awam pada tahun 1985. Pada mulanya, pasar ini dikenali dengan nama Pasar Pusat Buluh Kubu dan kemudiannya ditukar namanya kepada Pasar Siti Khadijah pada tahun 1997 mengambil sempena nama isteri Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh kegigihan wanita dalam perniagaan.

Wakaf Che Yeh

Satu lagi lokasi membeli-belah yang patut dikunjungi jika berkunjung ke Kota Bharu adalah Wakaf Che Yeh.
Wakaf Che Yeh yang berkeluasan suku ekar terletak kira-kira empat kilometer dari Bandar Kota Bharu. Pada pandangan saya, harga produk di sini dijual harga yang jauh lebih murah berbanding produk sama yang dijual di Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu atau pasaraya di sekitar Kota Bharu terutama produk tekstil. Jika ingin mendapatkan nilai yang lebih bolehlah berkunjung ke Nilai 3 membandingkan harga diantara kedai-kedai di sini dan tawar-menawar harga produk yang ingin dibeli.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Nasi Kerabu

Apabila menyebut Nasi Kerabu atau Nasi Ulam, pastinya yang terlintas dalam fikiran adalah Negeri Kelantan Darul Naim. Terdapat banyak kedai yang menjual Nasi Kerabu di sini dan cara penyediaan adalah berbeza antara satu sama lain. Namun, rasa Nasi Kerabu yang terhasil daripada campuran nasi, serunding ikan, sambal, ulam-ulaman dan beberapa jenis lauk sampingan hampir sama dan mempunyai keunikan citarasa tersendiri.

Nasi Tumpang

Selain daripada Nasi Kerabu, satu lagi makanan yang sinonim dengan masyarakat Negeri Kelantan adalah Nasi Tumpang. Saya difahamkan, nama nasi ini diperolehi daripada proses melapiskan lauk-pauk di antara nasi sebelum dibungkus di dalam daun pisang berbentuk kon. Lantaran banyak lauk yang menumpang di dalam nasi tersebutlah yang menyebabkan ia dikenali sebagai Nasi Tumpang. Rasa nasi ini persis ketupat nasi dan sesuai dijadikan hidangan semasa sarapan pagi.

Kuih Belebat

Kuih Belebat adalah salah satu pencuci mulut yang mesti dicuba sekiranya berkunjung ke Kota Bharu. Mungkin ada yang tidak pernah mendengar nama kuih ini seperti saya. Menurut rakan saya, di tempat-tempat lain kuih ini juga dikenali sebagai Kuih Lepat. Pada hemat saya, walaupun Kuih Belebat dan Kuih Lepat dibungkus dalam daun pisang, namun apa yang membezakan kedua-dua jenis kuih ini adalah rasanya. Ini adalah disebabkan Kuih Lepat biasanya dihasilkan daripada satu jenis bahan utama sahaja, misalnya pisang. Manakala, Kuih Belebat pula dihasilkan daripada campuran beberapa jenis bahan utama seperti pisang dan ubi.



Lawatan saya ke Kota Bharu sudah sampai ke penghujungnya. Sudah tiba masa untuk saya kembali ke Pulau Pinang untuk melaksanakan tugas-tugas yang masih belum selesai. Pengalaman berada di negeri yang kaya dengan seni budaya ini pastinya akan terus dikenang sepanjang hayat. Jika ada kelapangan, InsyaAllah saya pasti akan menjejakkan kaki lagi ke Kota Bharu nan indah ini.

Wednesday, May 25, 2011

ZOOM MALAYSIA : NEGERI SEMBILAN

Pada minggu lalu, saya telah berkunjung ke Negeri Sembilan Darul Khusus. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Port Dickson agak meletihkan kerana saya bertolak pada lewat malam dan hanya sampai di sana keesokkan harinya. Namun begitu, saya tetap teruja untuk melawat Negeri Adat Pepatih memandangkan ini merupakan kunjungan kali pertama saya ke sini. Setibanya di bandar Seremban, saya terkasima seketika apabila melihat senibina bangunan seperti hotel, plaza tol dan sebagainya yang masih mengekalkan ciri-ciri Minangkabau. Secara peribadi, saya berasa kagum dengan suasana ini yang dianggap sungguh unik dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Berikut merupakan info yang saya perolehi berkenaan Negeri Sembilan :

SEJARAH

Negeri Sembilan dikaitkan dengan perkataan Nagari yang dibawa oleh orang Minangkabau dan kemudiaannya diubahsuai apabila mereka berhijrah ke sini. Negeri Sembilan pada asalnya terdiri daripada sembilan buah negeri yang telah digabungkan pada tahun 1898 iaitu Sungai Ujong, Rembau, Johol, Jelebu, Naning, Segamat, Ulu Pahang, Jelai dan Kelang. Namun, perjanjian demi perjanjian yang telah dilakukan menyebabkan ada sebahagian kawasan telah bertukar tangan kepada pihak pentadbiran Negeri Melaka, Johor, Pahang dan Selangor.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Negeri sembilan yang berkeluasan 6,645 kilometer persegi terletak bersempadan dengan Negeri Selangor di utara, Pahang di sebelah timur dan Melaka serta Johor di sebelah selatan. Negeri Sembilan terdiri daripada sembilan daerah iaitu Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau.

POPULASI PENDUDUK

Mengikut bancian penduduk yang telah dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk di Negeri Sembilan pada tahun 2010 seramai 1,005,486 orang.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Pantai Teluk Kemang

Port Dickson sememangnya terkenal dengan keindahan pantai-pantainya. Salah satu pantai yang menjadi tumpuan para pelancong adalah Pantai Teluk Kemang. Pantai Teluk Kemang berkeluasan 1.6 kilometer, iaitu bermula dari Kemang Indah hingga Baitul Hilal. Nama Teluk Kemang berasal daripada Pokok Kemang yang telah dijumpai oleh lima orang bersaudara iaitu Niat (Penghulu), Bahir dan anak-anaknya Limat, Neemat dan Abd Samad di sebuah kawasan teluk. Memandangkan kawasan tersebut belum mempunyai nama, mereka bersepakat menamakan kawasan ini sebagai Teluk Kemang. Selain Pantai Teluk Kemang, pantai-pantai lain yang biasa dikunjungi adalah Tanjung Biru, Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Cermin dan Pantai Purnama.

Kota dan Muzium Lukut

Kota Lukut telah dibina oleh Raja Jumaat Bin Raja Jaafar, iaitu menantu Sultan Muhammad (Sultan Selangor ketiga) di puncak Bukit Gajah Mati atau Bukit Raja. Kota Lukut dibina pada tahun 1847 bertujuan untuk melindungi kepentingan perdagangan bijih timah pada masa itu. Kota ini berukuran 607 kaki panjang, 505 kaki lebar dan mempunyai parit sedalam 15 kaki yang mengelilingi kota. Pada masa ini, beberapa kesan peninggalan kota masih dilihat dengan jelas. Sebuah muzium juga telah dibina di kaki bukit untuk menyebarkan maklumat dan bukti sejarah mengenai Lukut khususnya.

Pasar Borong Nilai 3

Pasar Borong Nilai 3 merupakan pasar borong yang terbesar di Malaysia. Terdapat lebih daripada 400 unit kedai yang berada di sini yang menjual pelbagai produk seperti pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Semasa berada di sini, saya terasa seperti berada di Pakistan mendapati kebanyakkan peniaga adalah terdiri daripada orang Pakistan. Pada pandangan saya, harga barangan di pasar borong ini murah sedikit berbanding harga di tempat lain dan jika pandai tawar-menawar, harga yang diperolehi pastinya lebih berbaloi.

Kompleks Taman Seni Budaya (Muzium Negeri Sembilan)

Seperti kebanyakkan muzium negeri yang lain, Kompleks Taman Seni Budaya (Muzium Negeri Sembilan) juga berperanan mengimbas kembali sejarah kegemilangan Negeri Sembilan serta tokoh-tokohnya dalam peristiwa sejarah negara untuk tatapan generasi seterusnya. Terdapat tiga buah binaan utama dalam kawasan kompleks ini iaitu Teratak Pepatih, Istana Ampang Tinggi dan Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Ketika lawatan saya di sini, saya berkesempatan melawat Pameran Kebudayaan Megalitik yang sedang berlangsung. Pada saya kebudayaan ini adalah unik kerana tidak terdapat di tempat saya. Secara tidak langsung, pameran ini telah memberi maklumat yang lebih mendalam berkenaan kebudayaan Masyarakat Minangkabau.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Benteng Malam

Jika berkesempatan ke bandar Port Dickson. Benteng Malam ini berada di Jalan Raja Aman Shah dan berhadapan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Port Dickson. Kawasan ini dinamakan Benteng Malam kerana hanya beroperasi pada waktu malam sahaja. Terdapat deretan beberapa gerai yang berniaga di sini, tetapi saya memilih untuk mencuba tauhu bakar dan otak-otak ketika berada di sana. Pada pendapat saya, makanan di sini sedap dan banyak pilihan. Jadi adalah menjadi satu kerugian jika tidak singgah di sini ketika berada di Port Dickson.

Nasi Beringin

Jika dilihat dengan mata kasar, rupa Nasi Beringin ini tiada bezanya dengan Nasi Dagang yang terkenal di Terengganu kerana beras putih dimasak bersama pulut hitam. Jika Nasi Dagang dimakan bersama kari ikan, Nasi Beringin pula dimakan bersama lauk-pauk biasa. Berdasarkan rasanya, Nasi Beringin juga hampir sama dengan Nasi Dagang. Saya tidak pasti adakah kedua-dua hidangan ini hanya berbeza pada nama atau sebaliknya.




Kunjungan saya ke Negeri Sembilan selama tiga hari dua malam telah mencoretkan satu lagi pengalaman baru dalam hidup saya. Mungkin jangkamasa tersebut terlalu singkat untuk saya melawat ke seluruh Negeri Sembilan. Walaupun hanya sempat melawat ke bandar Seremban dan Port Dickson, saya tetap gembira membawa cebisan kenangan ke Pulau Pinang

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Sub-entri

Ketika melawat Kota dan Muzium Lukut, saya tertarik dengan lapan rangkap pebilangan adat yang menjadi tunjang kepada undang-undang Adat Pepatih :

Alam beraja
Luak berpenghulu
Suku bertuan
Anak buah berbuapak

Pusaka undang
Berkhalifah
Berterombo berlembaga
Bersabda di balai

Walaupun ringkas, tetapi maksud yang ingin disampaikan amat padat dan mendalam.

Monday, May 16, 2011

GURU O GURU...

GURU O GURU
(Usman Awang, 1979)

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pembeli paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sesebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin beerti tugasnya kepada negara
Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat cikgu kekal terpahat
menjadi kenangan ke akhir hayat
Related Posts with Thumbnails