Navigation Bar

Friday, October 8, 2010

ZOOM MALAYSIA : MELAKA

Pada minggu lalu, saya sempat mengunjungi Melaka Bandaraya Bersejarah untuk makan angin atas urusan kerja. Sebelum pulang ke Pulau Pinang, saya mengambil peluang bersantai di sekitar Melaka. Walaupun hanya berada di bumi Hang Tuah selama dua hari satu malam, saya masih rasa teruja untuk meneroka intipati "Melawat Melaka Bersejarah Ibarat Melawat Malaysia" yang dipaparkan sebaik sahaja keluar daripada tol Ayer Keroh. Berikut merupakan info yang diperolehi berkenaan Negeri Melaka.

SEJARAH

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang. Parameswara memerintah dari tahun 1400 hingga 1424. Nama Melaka diambil sempena nama pohon Melaka tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh telah berlaku dimana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu, Parameswara berasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka. Melaka pernah menjadi perlabuhan yang terkenal di rantau ini berikutan kedudukannya yang stratagik. Legasi Kesultanan Melayu Melaka memerintah Melaka selama 110 tahun sebelum ditewaskan oleh pihak Portugis pada tahun 1511.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Melaka terletak di pantai barat daya Semenanjung Malaysia dan berkeluasan 1658 kilometer persegi atau 0.5% daripada keluasan Malaysia. Melaka bersempadan dengan Negeri Sembilan di utara dan Johor di timur. Melaka dibahagikan kepada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

POPULASI PENDUDUK

Jumlah penduduk Melaka pada tahun 2003 adalah 687,000 orang yang terdiri daripada 50 % kaum Melayu, 40 % bangsa Cina dan Peranakan, dan bakinya terdiri daripada bangsa India, Serani dan lain-lain bangsa.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI


Kompleks Muzium Stadhuys

Saya mengunjungi kompleks ini sebanyak dua kali untuk melihat perbezaan panorama waktu siang dan waktu malam. Cantik, itu sahaja perkataan yang dapat saya ucapkan untuk menggambarkan keindahan tempat ini. Kompleks Muzium Stadhuys merupakan tempat penarik beca berkumpul untuk membawa pelancong ke Kota A' Famosa dengan tambang RM 10.00 untuk sebuah beca.

Kota A ' Famosa

Saya beberapa kali berpusing di sekitar Banda Hilir untuk ke sini. Kedudukan Kota A ' Famosa yang kini dikelilingi Pahlawan Mall dan Hotel Equatorial Melaka agak sukar untuk dicari kerana tiada sebarang papan tanda diletakkan. Walaupun pendakian anak tangga ke Bukit St Paul di belakang Pintu Gerbang Parta De Santiago agak memenatkan, semua keletihan hilang sebaik melihat panorama Bandaraya Melaka daripada puncak bukit.

Gambar a : Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan
Gambar b : Melaka River Cruise
Gambar c : Kompleks Muzium Maritim ( Flor De Lamar)


Saya hanya sempat bergambar di ketiga-tiga lokasi ini memandangkan masa yang terhad. Cukuplah sebagai kenangan ke Melaka. Jika ada peluang untuk mengunjungi Melaka sekali lagi, dapatlah agaknya saya melawat lebih lama di lokasi-lokasi ini.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Medan Ikan Bakar Umbai

Selain terkenal dengan ikan bakar, Umbai merupakan jeti penumpang untuk pelancong yang ingin ke Pulau Besar. Saya tidak melepaskan peluang untuk mencuba ikan bakar dan asam pedas di sini. Saya memilih untuk makan di Restoran Ikan Bakar Parameswara kerana kedudukannya yang berhampiran muara sungai berbanding restoran lain. Namun pada pandangan saya, ikan bakar di sini tidaklah sesedap seperti yang dijangka bakar sendiri lagi sedap tetapi rasa kuah asam pedas agak berbeza dan lebih pekat daripada biasa.

Asam Pedas Claypot

Tidak puas menikmati asam pedas di Umbai, saya sempat mencuba pula asam pedas di Restoran Asam Pedas Claypot. Kepekatan kuah asam pedas di sini hampir sama dengan yang saya nikmati ketika berada di Umbai, namun rasanya persis kepada rasa tomyam. Namun, keunikan yang saya lihat di sini adalah asam pedasnya disajikan dalam mangkuk tanah untuk mengekalkan kehangatannya. Setiap asam pedas yang dipesan didatangkan bersama set nasi putih, ikan masin, telur masin, sambal belacan dan ulam-ulaman. Kepada rakan-rakan yang ingin mencuba menu ini, bolehlah berkunjung ke Restoran Asam Pedas Claypot yang terletak di Lebuh AMJ.

Nasi Lemak Kangkung

Saya rasa tertarik untuk mencuba Nasi Lemak Kangkung yang dijual di sebuah kedai yang terletak di Lorong Haji Bachee, Kampung Bukit Cina, tidak jauh daripada Perigi Hang Li Po. Rasa nasi lemak yang dijual tidak banyak berbeza dengan nasi lemak yang pernah saya makan, namun sayur kangkung yang diletakkan bersama menjadikan menu ini unik. Saya amat menyarankan kepada rakan-rakan untuk makan sampai dua pinggan seperti saya mencuba Nasi Lemak Kangkung di sini kerana rasanya sambalnya sedap dan tidak terlalu pedas.

Perjalanan saya ke Melaka berakhir di sini sahaja. Jika ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Melaka, bolehlah berkunjung ke Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka di sini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails