Navigation Bar

Wednesday, October 20, 2010

20.10.2010 : ADAKAH INI HARI TERAKHIR KITA ?


Entri ini merupakan sambungan kepada entri saya pada 10.10.2010 yang lalu. Hari ini 20.10.2010, merupakan satu lagi tarikh menarik yang kali pertama dan kali terakhir kita melaluinya. Tiada lagi tarikh 20.10.2010 selepas ini dalam kelendar kehidupan manusia. Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan untuk bernafas pada hari ini. Apa yang ingin saya bicarakan dalam entri kali ini adalah mengingati kematian. Pernahkah kita terfikir, mengapa kita hanya mengingati mati hanya seketika di saat menziarahi kenalan atau ahli keluarga yang pergi terlebih dahulu meninggalkan kita?. Mungkin sebagai manusia biasa kita mudah lupa dan alpa dengan kehidupan dunia. Itulah yang menyebabkan saya rasa terpanggil untuk membicarakan perkara ini sekali lagi sebagai peringatan kepada diri saya dan semua orang mengenai kematian yang akan datang tidak cepat atau lewat sesaatpun tanpa kita jangka.

Seperti apa yang kita semua tahu, kematian adalah satu peristiwa yang pasti berlaku dalam kehidupan kita. Suka atau tidak suka, kematian tidak dapat dielakkan sama sekali. Cuma waktu kematian makhluk-makhluk Allah adalah berbeza di antara satu dengan yang lain. Ada yang sudah mati sebelum Hari Kiamat dan ada yang akan mati sebaik tiupan pertama sangkakala. Allah telah jelas mengingatkan kita mengenai kematian dalam Surah Al-Imran ayat 185 yang bermaksud :

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada Hari Kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan"

Pada hakikatnya, kematian muncul tanpa boleh dijangkakan bilakah masanya. Apabila masanya telah tiba, tiada apa-apa senjata atau perisai yang dapat menghalang apabila tiba saat Malaikat Israil datang untuk mencabut nyawa kita. Perkara ini juga telah jelas dinyatakan dalam Surah An-Nisaa ayat 78 yang bermaksud :

"Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh, dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan : ini adalah daripada sisi Allah, dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan : ini (datangnya) daripada sisi kamu (Muhammad). Katakanlah : semuanya datang daripada sisi Allah. Maka mengapa orang-orang itu (Orang Munafik) hampir-hampir tidak memahami perbicaraan sedikitpun?"

Justeru, persediaan untuk menghadapi mati adalah sangat penting kerana kita tidak mengetahui bilakah hari kita akan pulang bertemu-Nya. Peluang untuk bernafas di hari yang baru bermakna peluang untuk kita terus berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Sementara masih ada masa, berusahalah melakukan kebaikan sedaya yang mungkin. Walaupun kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan, sentiasalah mohon keampunan daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Semoga kita semua akan beroleh kebaikan di Dunia dan di Akhirat.


Nota kaki : Gambar di atas diambil daripada tingkap rumah saya. Kedudukan rumah saya yang kebetulan terletak bersebelahan tanah kubur menjadi inspirasi kepada saya supaya sentiasa mengingati mati.

No comments:

Related Posts with Thumbnails