Navigation Bar

Friday, August 13, 2010

ITU BARU HUKUMAN DUNIA ...

Harian Metro hari ini di muka surat 53 melaporkan...

DAKWA IKUT SEKSYEN 302
Kabinet arah kes buang bayi disiasat atas pertuduhan membunuh membawa hukuman gantung sampai mati


Mungkinkah hukuman ini akan MENAKUTKAN bakal-bakal pelaku???



Manakala di muka surat 57 akhbar yang sama...

BAYI DALAM PEMBETUNG
Kanak-kanak main mercun jumpa mayat tertiarap

PERINGATAN KEPADA SI PELAKU YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB :
(dan juga kepada diri sendiri supaya menjauhi perbuatan tidak bermoral seperti ini)


Anda mungkin pesalah-pesalah (sebab lelaki & perempuan) pertama yang dikenakan hukuman gantung sampai mati. Bersedialah anda kerana keadilan akan muncul jua akhirnya. Segeralah insaf di atas kesalahan anda membunuh nyawa yang tidak berdosa. Hukuman ini hanya hukuman di dunia semata-mata. Jangan lupa hukuman berat di akhirat yang menanti..

Pesanan penaja : Kepada adik dalam gambar kedua di atas , main la mercun banyak-banyak. Katil hospital masih banyak kalau adik nak duduk masa hari raya nanti...

Wednesday, August 11, 2010

RAMADHAN DATANG LAGI...

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (Surah Al-Baqarah : 183-184)

Bulan Ramadhan, bulan yang penuh rahmat dan keberkatan datang lagi. Kedatangannya setahun sekali memang dinantikan oleh sekalian umat Islam. Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka manakala pintu-pintu neraka ditutup membuktikan keistimewaannya berbanding bulan-bulan yang lain. Justeru, bersama-samalah kita mengimarahkan bulan Ramadhan dengan aktiviti yang dianjurkan oleh agama. Bulan ini sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin kerana kita sendiri tidak pasti adakah kita masih berpeluang menemuinya pada tahun hadapan...
Nota kaki : Gambar hiasan semata-mata. Sumber daripada Google.

Tuesday, August 10, 2010

OH RAMADHAN ... OH SYAWAL ...

Sumber : Google
Bulan Syaaban baru hendak malabuhkan tirainya. Biarpun perjalanan menuju Aidilfitri masih jauh, kehangatan untuk menyambut Syawal lebih terasa dibandingkan dengan semangat untuk menanti kehadiran bulan Ramadhan. Apa tidaknya, dua minggu sebelum Ramadhan para peniaga sudah berlumba-lumba menjual aneka persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sebut sahaja kuih-muih, hiasan rumah mahupun pakaian, semuanya telah siap dijual di kedai-kedai. Malahan, sudah ada pasaraya yang rancak memulakan jualan hari raya. Alasan yang diberikan amat mudah iaitu untuk memudahkan pelanggan berbelanja. Daripada satu sudut, alasan tersebut memang dapat diterima kerana ada sebilangan daripada kita yang lebih suka membuat persiapan awal. Namun daripada sudut yang lain, jualan seperti ini sepatutnya dijalankan pada waktu yang lebih bersesuaian. Tidak salah rasanya untuk kita memulakan jualan Aidilfitri ini selepas memasuki bulan Ramadhan. Apa yang dibimbangi, semangat untuk menyambut kehadiran Ramadhan kian hilang disebalik aura Aidilfitri yang masih belum dijamin kita dapat merayakannya..

Friday, August 6, 2010

SELAMATKAN HUTAN KITA...


Hutan di negara kita merupakan antara hutan hujan tropika yang tertua di dunia. Namun sayangnya, pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semakin memusnahkan khazanah alam ini.

Justeru, tanggungjawab memelihara hutan adalah dipikul oleh kita bersama. Bersama kita menghargai hutan kerana apa yang kita ada hari ini hanyalah pinjaman daripada Allah yang satu...

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar sisipan


Teringat kenangan ketika berada di Royal Belum, Tasik Temengor beberapa bulan lalu. Apa yang pasti, keindahannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Jika ingin membaca pengalaman saya berada di sana, bolehlah klik di sini.


Nota kaki :
Iklan Save Our Forests di atas dipetik daripada laman web bonuslink sempena kempen pemeliharaan hutan yang dianjurkan. Maklumat lanjut boleh klik di sini

Wednesday, July 14, 2010

APA TERUK PEGANG ANJING?

Tersenyum sendiri saya apabila membaca ruangan bukannakkata dalam Pancaindera (akhbar sisipan Mingguan Malaysia) bertarikh 11 Julai 2010 bertajuk apa teruk pegang anjing?.

Saya salin satu-persatu komen yang dilemparkan oleh seorang pembaca yang dikenali sebagai PETA dari Kuala Lumpur untuk tatapan kita bersama :

TERGERAK hati saya nak menulis ke Pancaindera setelah melihat gambar Baby Erin Res-2 pegang anjing. Apa yang teruk sangat dia pegang anjing? Adakah kerana dia artis maka jadi isu? Dia cuma nak menunjukkan belas kasihan terhadap haiwan yang juga dicipta oleh-Nya. Penulis terus kutuk Baby, sedangkan ajaran Islam tidak pernah melarang hambanya bersikap kejam terhadap haiwan meskipun anjing. Bagimana pula dengan polis menggunakan anjing untuk menyiasat. Adakah ia haram? Nampak sangat penulis tak arif agama. Kalau itu haram, haram lagi penulis yang suka buat fitnah cerita artis.

PETA,Kuala Lumpur.

Hmm.. mungkin sesiapa yang membaca pendapat PETA ni juga akan senyum sendirian seperti saya. Bukan senyum kegembiraan, tetapi senyum dalam duka melihat sikap orang yang mempertahankan hak tidak bertempat. Biarlah saya menjawab serba ringkas persoalan yang dilemparkan oleh PETA ni :


1. Apa yang teruk sangat dia pegang anjing? Adakah kerana dia artis maka jadi isu?
Bukan sebab artis perkara ni dijadikan isu. Kalau Paris Hilton (Contoh je) yang pegang anjing, tak siapa pun yang heran walaupun dia pun artis juga. Masalahnya kat sini, orang Melayu beragama Islam yang suka sangat nak meniru gaya artis barat. Sejak kecil kita dah diajar yang anjing dan babi tergolong dalam najis berat. Nak nafi apa lagi?


2. Dia cuma nak menunjukkan belas kasihan terhadap haiwan yang juga dicipta oleh-Nya
Dah tak ada binatang lain ke kita nak tunjuk rasa belas kasihan?. Banyak lagi binatang macam kucing, arnab dan lain-lain binatang yang HALAL dipegang boleh dipeluk dan dibelai..

3. Sedangkan ajaran Islam tidak pernah melarang hambanya bersikap kejam terhadap haiwan meskipun anjing
Pandangan ni nak kena perbetul sikit sebab ayat ni bunyi macam penulis menyokong binatang dizalimi. Islam sebenarnya melarang kita daripada bersikap kejam terhadap binatang tapi biar la bertempat. Perlu diingat, Islam tak suruh pun kita pegang anjing semata-mata nak tunjuk yang kita mengasihi anjing tu. Cukup la setakat "menghormati" mereka selagi tidak mengancam nyawa..

4. Bagimana pula dengan polis menggunakan anjing untuk menyiasat. Adakah ia haram?
Niat polis tu lain sebab nak jalankan tugas menyiasat jenayah. Lagipun pernah ke penulis ni nampak polis ni suka-suka peluk anjing?. Niat artis yang didakwa penulis ni pulak macam nak menunjuk-nunjuk.. Kan berbeza tu?


5. Nampak sangat penulis tak arif agama
Aku sendiri tak faham siapa sebenarnya sekarang yang tak arif agama... Kita sendiri boleh nilai.

Ini hanyalah pandangan saya sebagai orang biasa yang hanya dapat memberi pandangan berlandaskan undang-undang yang telah digariskan. Namun sebagai manusia yang telah diberikan akal fikiran, mengapa tidak kita gunakan anugerah ini untuk memilih yang mana baik, yang mana buruk. Janganlah hanyalah untuk mengejar pujian di dunia, kita tersungkur di alam yang kekal abadi. Sukalah saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan sekalian, sesungguhnya matlamat itu tidak menghalalkan cara. Walau apa jua dosa yang telah dilakukan, masih belum terlambat untuk bertaubat selagi belum dijemput ke alam baqa.

Nota kaki : Sekadar gambar hiasan. Dipetik daripada Pancaindera 11 Julai 2010.

Tuesday, June 8, 2010

ZOOM MALAYSIA : KELANTAN

Hmm.. belum hilang kepenatan pulang daripada Royal Belum seperti entri saya sebelum ini, saya sekali lagi menjelajah Jalan Raya Timur-Barat menuju destinasi lebih jauh hingga ke Negeri Kelantan Darul Naim. Jika diikutkan badan yang letih, saya mungkin telah mengubah fikiran. Namun bila mengenangkan rancangan menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat saya yang sudah lama dirancang, saya gagahkan juga diri untuk meneroka keunikan negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Negeri Kelantan.

SEJARAH

Nama Kelantan dikatakan pencemaran daripada perkataan pokok Gelam Hutan atau nama saintifiknya Melaleuca Leucadendron. Nama Kelantan juga dikaitkan dengan perkataan "kilatan". Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi penemuan arkeologi menunjukkan kesan penempatan manusia di Zaman Prasejarah. Kelantan awal mempunyai hubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Sekitar tahun 1411, Raja Kumar iaitu raja Kelantan ketika itu membebaskan negeri itu daripada Siam dan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Shah setelah memeluk Islam. Kelantan kemudiannya menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke 15.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Kelantan yang berkeluasan 14,922 kilometer persegi terletak di timur laut Semenanjung Malaysia. Kelantan bersempadan dengan Negara Thailand di utara, Negeri Terengganu di timur, Negeri Pahang di selatan dan Negeri Perak di barat. Kelantan dibahagikan kepada 10 daerah jajahan iaitu Jajahan Kota Bharu, Jajahan Pasir Mas, Jajahan Tumpat, Jajahan Pasir Puteh, Jajahan Bachok, Jajahan Kuala Krai, Jajahan Machang, Jajahan Tanah Merah, Jajahan Jeli dan Jajahan Gua Musang.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan bancian pada tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar iaitu sebanyak 95 %, diikuti kaum Cina 3.8 %, kaum India 0.3 % dan kaum-kaum lain 0.9 %.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Bank Pitis, Istana Jahar dan Istana Balai Besar

Kesemua lokasi ini berada dalam satu kawasan dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sahaja dari Pasar Besar Siti Khatijah dan Bazar Buluh Kubu. Terdapat beberapa lagi buah muzium di kawasan ini yang memberi peluang kepada pelancong untuk melihat sendiri koleksi peninggalan yang bersejarah.


Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Rantau Panjang dan Pasar Besar Siti Khatijah

Sudah terlanjur ke Kelantan, semestinya agenda membeli-belah ada dalam senarai aktiviti di Kelantan. Bagi yang ingin mencari buah tangan untuk orang tersayang, bolehlah mendapatkan pelbagai barangan seperti budu, keropok lekor, batik dan sebagainya disini. Kepada yang pandai tawar-menawar pastinya boleh mendapat harga yang lebih berbaloi. Daripada ketiga-tiga lokasi ini, saya lebih menggemari Wakaf Che Yeh kerana konsep pasar malamnya yang lebih santai dan barangan yang dijual lebih murah.

Bukit Bunga

Bukit Bunga adalah satu lagi destinasi membeli-belah yang boleh dikunjungi sekiranya belum puas berbelanja di Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Rantau Panjang dan Pasar Besar Siti Khadijah. Barangan yang ditawarkan di sini kebanyakkannya adalah sama sahaja dengan tempat-tempat yang lain. Bukit Bunga sesuai disinggah oleh para pelancong yang ingin menghabiskan duit membeli cenderahati terakhir sebelum pulang ke destinasi masing-masing.


Pantai Cahaya Bulan

Tidak lengkap kunjungan ke Kelantan jika tidak berkunjung ke pantai-pantainya. Saya memilih untuk menghabiskan waktu petang dengan bersantai di Pantai Cahaya Bulan. Sesekali menghirup udara pantai yang menghadap Laut China Selatan sambil menikmati sata amatlah mengasyikan.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Mencari makanan yang unik, murah dan sedap di Kelantan amatlah mudah. Sebut sahaja variasi makanan yang diingini, pasti ada di sini. Pada hemat saya, makanan di sini rasanya agak manis dan banyak dipengaruhi dengan masakan Thailand. Ketika sampai di Pasar Besar Tanah Merah, saya sempat mencuba nasi kerabu dan ayam percik. Sedap, itu sahaja perkataan yang boleh menggambarkannya kelazatannya sedap sampai lupa nak ambil gambar. Selain nasi kerabu dan ayam percik, Kelantan juga terkenal dengan beraneka kuih-muih yang beraneka warna. Berikut merupakan beberapa menu yang saya cuba sepanjang berada di Kota Bharu.

Sate ikan dan cendol

Sate ikan di sini dicicah dengan menggunakan dua jenis sos iaitu sos manis dan sos pedas. Jika inginkan kelainan, bolehlah mencuba campuran kedua-dua jenis sos untuk membangkitkan lagi rasanya. Pengalaman mencuba cendol versi Kelantan yang mengandungi agar-agar bagi saya merupakan satu pengalaman baru kerana saya tidak pernah mencubanya sebelum ini

Nasi Sup Ayam Bakar

Sebelum pulang ke Pulau Pinang, saya berkesempatan mencuba nasi ayam versi Kelantan yang dinamakan Nasi Sup Ayam Bakar. Walapun hidangannya ringkas iaitu nasi putih, ayam tandoori dan sup kosong tetapi rasanya amat sedap. Kepada yang ingin mencuba bolehlah mengunjungi kedai ini di alamat Jalan Seri Cemerlang 8/27, Kota Bharu, Kelantan.


Pengalaman berkunjung ke Kelantan selama dua hari satu malam sebenarnya masih belum cukup untuk saya. Banyak lagi warisan, budaya dan peninggalan sejarah yang tidak sempat saya terokai. Jika ada rezeki dapatlah kiranya saya bertandang ke sini lagi. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Negeri Kelantan, bolehlah melayari Portal Kerajaan Negeri Kelantan di sini.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar sisipan

Selamat pengantin baru diucapkan kepada pasangan Mohd Jazli Bin Mat Nor dan Nur Adina Bt Ahmadi. Semoga perkahwinan yang dibina kekal hingga akhir hayat.

Monday, June 7, 2010

ZOOM MALAYSIA : TAMAN NEGERI ROYAL BELUM

Taman Negeri Royal Belum berada di Lembah Belum, Grik, Perak. Taman Negeri Royal Belum telah diwartakan sebagai taman negeri oleh Kerajaan Negeri Perak sejak 17 April 2007. Taman Negeri Royal Belum menyimpan 1001 khazanah flora dan fauna yang masih belum diterokai. Usia Royal Belum yang dianggarkan 130 juta tahun, iaitu lebih tua daripada kewujudan Hutan Amazon menjadikan kawasan yang bersempadan dengan Negara Thailand itu kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. Kawasan hutan dara ini meliputi kawasan seluas 117,500 hektar dan berada di bahagian utara Tasik Temengor.

Tasik Temengor merupakan empangan bagi menjana hidroelektrik di utara Negeri Perak yang mempunyai keluasan 15,200 kilometer persegi. Empangan ini dibina pada tahun 1970 dan siap empat tahun kemudian. Tasik ini berada kira-kira 45 kilometer daripada Grik, iaitu di pertengahan jalan raya timur-barat yang menghubungkan Baling, Kedah dengan Jeli, Kelantan. Tasik Temengor kaya dengan pelbagai spesis ikan dan menjadi taman permainan burung-burung enggang yang terbang bebas di udara.

Peluang untuk melawat ke Taman Negeri Royal Belum sememangnya tidak akan dilepaskan. Berikut merupakan secebis ceritera ketika saya berkunjung ke sana baru-baru ini.

Pulau Tali Kail

Sepanjang berada di Taman Negeri Royal Belum, saya menginap di Pulau Tali Kail. Perjalanan ke pulau ini mengambil masa kira-kira 15 minit dari Jeti Awam Pulau Banding dengan menggunakan bot laju. Bot laju merupakan satu-satunya pengangkutan untuk datang ke pulau ini kerana tidak dihubungkan dengan jalan raya. Pulau Tali Kail dilengkapi dengan kemudahan yang lengkap seperti chalet, bilik mandi, tandas, dewan, alatan rekreasi dan sebagainya.

Bersantai di sekitar Tasik Temengor

Lawatan hari kedua saya dimulakan dengan bersiar-siar di sekitar Tasik Temengor. Keadaan air tasik berwarna kehijau-hijauan yang dingin dan tenang sememangnya boleh mendamaikan jiwa. Keindahan Tasik Temengor yang diserikan lagi dengan pokok mati di atas permukaan tasik juga amat memukau.

Melawat Bunga Rafflesia

Melawat Bunga Rafflesia iadalah aktiviti yang paling mengujakan saya. Mana tidaknya, satu-satunya tempat untuk melihat Bunga Rafflesia di Semenanjung Malaysia ialah di Taman Negeri Royal Belum. Terdapat tiga spesis Bunga Rafflesia boleh dijumpai di sini dan salah satunya dinamakan Azlan II sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Ketika berada disana, saya bernasib baik kerana hajat untuk melihat Bunga Rafflesia yang baru kembang sepenuhnya termakbul. Walaupun perlu melalui denai berair dan mendaki tebing yang agak curam untuk melihat bunga ini, namun kepuasan yang diperolehi sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Sungai Kejar, Taman Negeri Royal Belum

Sungai Kejar merupakan tempat pertemuan anak sungai dengan Tasik Temengor. Saya cuma berhenti sekitar 20 minit disini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan sebelum meneruskan ekspedisi ke perkampungan orang asli.

Perkampungan Orang Asli (Kampung Bongor Seberang & Hilir)

Saya berkesempatan untuk melawat ke dua buah kampung orang asli iaitu Kampung Bongor Seberang dan Kampung Bongor Hilir. Kedua-dua perkampungan ini menempatkan penduduk berjumlah kira-kira 200 orang yang terdiri daripada Kaum Jahai. Walaupun mereka telah menerima angin kemodenan, majoriti daripada penduduk kampung masih berpegang kuat dengan adat-resam nenek moyang mereka. Sumber pendapatan penduduk di sini adalah bergantung kepada sumber alam yang banyak diperolehi di kawasan sekitar Taman Negeri Royal Belum.

Jenut Papan Utara

Sungai Papan merupakan pintu masuk kepada pelancong yang ingin ke Jenut Papan Utara. Di sepenjang perjalanan dari Sungai Papan ke Jenut Papan Utara, saya ditunjukkan beberapa jenis tumbuhan seperti Pokok Damar Hitam, Pokok Gaharu dan herba-herba yang lain. Di Jenut Papan Utara, saya berpeluang untuk melihat sira binatang, iaitu lokasi yang sering dikunjungi harimau, kijang dan binatang lain menjilat air di situ yang kaya dengan nutrien. Saya mencuba untuk menghidu sira tersebut dan saya dapati baunya seperti belerang.

Air Terjun Sungai Ruok

Sebaik menjejakkan kaki ke tebing tasik, saya dapat melihat kesan tapak kaki dan tompokan najis gajah bertaburan disana-sini. Segala kepenatan mendaki denai berbukit hilang sebaik sahaja mendengar hempasan air terjun Sungai Ruok. Saya kemudiannya di bawa ke Santuari Ikan Sungai Ruok yang menempatkan beberapa jenis ikan seperti Kelah, Temoleh dan Tengas. Saya tidak melepaskan peluang untuk memberi makan kepada ikan-ikan yang berkumpul di gigi air. Nasib kurang menyebelahi saya pada petang ini. Belum puas bermesra dengan ikan-ikan tersebut, hujan yang pada mulanya rintik bertukar menjadi semakin lebat. Di atas nasihat pemandu pelancong, saya berpatah balik ke bot dengan segera untuk pulang semula ke Pulau Tali Kail.

Riadah di Tasik Temengor

Pelbagai aktiviti rekreasi seperti berakit, berkayak serta bermandi-manda di Tasik Temengor boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Sesekali menghabiskan masa dengan beriadah di tasik ini adalah begitu menyeronokkan. Sekiranya bernasib baik, pelancong berpeluang untuk melihat burung-burung Enggang terbang di sekitar tasik ketika beriadah.


Tanpa disedari, tiga hari berada di Taman Negeri Royal Belum berlalu dengan pantas. Tibalah masa untuk saya pulang semula ke Pulau Pinang walaupun hati masih menyimpan harapan untuk berada di sini lebih lama. Keindahan dan kedamaian yang saya perolehi di sini amatlah sukar didapati di tempat-tempat lain. Dengan jalinan kehijauan tumbuh-tumbuhan, kebiruan langit, kesegaran udara dan kesejukan air tasik menjadikannya satu tempat yang sangat istimewa untuk dikunjungi. Justeru, kita sewajarnya mengekalkan tempat ini daripada tercemar untuk memastikan kelestariannya dapat dikekalnya untuk generasi masa hadapan.
Related Posts with Thumbnails