Navigation Bar

Wednesday, July 14, 2010

APA TERUK PEGANG ANJING?

Tersenyum sendiri saya apabila membaca ruangan bukannakkata dalam Pancaindera (akhbar sisipan Mingguan Malaysia) bertarikh 11 Julai 2010 bertajuk apa teruk pegang anjing?.

Saya salin satu-persatu komen yang dilemparkan oleh seorang pembaca yang dikenali sebagai PETA dari Kuala Lumpur untuk tatapan kita bersama :

TERGERAK hati saya nak menulis ke Pancaindera setelah melihat gambar Baby Erin Res-2 pegang anjing. Apa yang teruk sangat dia pegang anjing? Adakah kerana dia artis maka jadi isu? Dia cuma nak menunjukkan belas kasihan terhadap haiwan yang juga dicipta oleh-Nya. Penulis terus kutuk Baby, sedangkan ajaran Islam tidak pernah melarang hambanya bersikap kejam terhadap haiwan meskipun anjing. Bagimana pula dengan polis menggunakan anjing untuk menyiasat. Adakah ia haram? Nampak sangat penulis tak arif agama. Kalau itu haram, haram lagi penulis yang suka buat fitnah cerita artis.

PETA,Kuala Lumpur.

Hmm.. mungkin sesiapa yang membaca pendapat PETA ni juga akan senyum sendirian seperti saya. Bukan senyum kegembiraan, tetapi senyum dalam duka melihat sikap orang yang mempertahankan hak tidak bertempat. Biarlah saya menjawab serba ringkas persoalan yang dilemparkan oleh PETA ni :


1. Apa yang teruk sangat dia pegang anjing? Adakah kerana dia artis maka jadi isu?
Bukan sebab artis perkara ni dijadikan isu. Kalau Paris Hilton (Contoh je) yang pegang anjing, tak siapa pun yang heran walaupun dia pun artis juga. Masalahnya kat sini, orang Melayu beragama Islam yang suka sangat nak meniru gaya artis barat. Sejak kecil kita dah diajar yang anjing dan babi tergolong dalam najis berat. Nak nafi apa lagi?


2. Dia cuma nak menunjukkan belas kasihan terhadap haiwan yang juga dicipta oleh-Nya
Dah tak ada binatang lain ke kita nak tunjuk rasa belas kasihan?. Banyak lagi binatang macam kucing, arnab dan lain-lain binatang yang HALAL dipegang boleh dipeluk dan dibelai..

3. Sedangkan ajaran Islam tidak pernah melarang hambanya bersikap kejam terhadap haiwan meskipun anjing
Pandangan ni nak kena perbetul sikit sebab ayat ni bunyi macam penulis menyokong binatang dizalimi. Islam sebenarnya melarang kita daripada bersikap kejam terhadap binatang tapi biar la bertempat. Perlu diingat, Islam tak suruh pun kita pegang anjing semata-mata nak tunjuk yang kita mengasihi anjing tu. Cukup la setakat "menghormati" mereka selagi tidak mengancam nyawa..

4. Bagimana pula dengan polis menggunakan anjing untuk menyiasat. Adakah ia haram?
Niat polis tu lain sebab nak jalankan tugas menyiasat jenayah. Lagipun pernah ke penulis ni nampak polis ni suka-suka peluk anjing?. Niat artis yang didakwa penulis ni pulak macam nak menunjuk-nunjuk.. Kan berbeza tu?


5. Nampak sangat penulis tak arif agama
Aku sendiri tak faham siapa sebenarnya sekarang yang tak arif agama... Kita sendiri boleh nilai.

Ini hanyalah pandangan saya sebagai orang biasa yang hanya dapat memberi pandangan berlandaskan undang-undang yang telah digariskan. Namun sebagai manusia yang telah diberikan akal fikiran, mengapa tidak kita gunakan anugerah ini untuk memilih yang mana baik, yang mana buruk. Janganlah hanyalah untuk mengejar pujian di dunia, kita tersungkur di alam yang kekal abadi. Sukalah saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan sekalian, sesungguhnya matlamat itu tidak menghalalkan cara. Walau apa jua dosa yang telah dilakukan, masih belum terlambat untuk bertaubat selagi belum dijemput ke alam baqa.

Nota kaki : Sekadar gambar hiasan. Dipetik daripada Pancaindera 11 Julai 2010.

Tuesday, June 8, 2010

ZOOM MALAYSIA : KELANTAN

Hmm.. belum hilang kepenatan pulang daripada Royal Belum seperti entri saya sebelum ini, saya sekali lagi menjelajah Jalan Raya Timur-Barat menuju destinasi lebih jauh hingga ke Negeri Kelantan Darul Naim. Jika diikutkan badan yang letih, saya mungkin telah mengubah fikiran. Namun bila mengenangkan rancangan menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat saya yang sudah lama dirancang, saya gagahkan juga diri untuk meneroka keunikan negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Negeri Kelantan.

SEJARAH

Nama Kelantan dikatakan pencemaran daripada perkataan pokok Gelam Hutan atau nama saintifiknya Melaleuca Leucadendron. Nama Kelantan juga dikaitkan dengan perkataan "kilatan". Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi penemuan arkeologi menunjukkan kesan penempatan manusia di Zaman Prasejarah. Kelantan awal mempunyai hubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Sekitar tahun 1411, Raja Kumar iaitu raja Kelantan ketika itu membebaskan negeri itu daripada Siam dan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Shah setelah memeluk Islam. Kelantan kemudiannya menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke 15.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Kelantan yang berkeluasan 14,922 kilometer persegi terletak di timur laut Semenanjung Malaysia. Kelantan bersempadan dengan Negara Thailand di utara, Negeri Terengganu di timur, Negeri Pahang di selatan dan Negeri Perak di barat. Kelantan dibahagikan kepada 10 daerah jajahan iaitu Jajahan Kota Bharu, Jajahan Pasir Mas, Jajahan Tumpat, Jajahan Pasir Puteh, Jajahan Bachok, Jajahan Kuala Krai, Jajahan Machang, Jajahan Tanah Merah, Jajahan Jeli dan Jajahan Gua Musang.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan bancian pada tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar iaitu sebanyak 95 %, diikuti kaum Cina 3.8 %, kaum India 0.3 % dan kaum-kaum lain 0.9 %.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Bank Pitis, Istana Jahar dan Istana Balai Besar

Kesemua lokasi ini berada dalam satu kawasan dan boleh dikunjungi dengan berjalan kaki sahaja dari Pasar Besar Siti Khatijah dan Bazar Buluh Kubu. Terdapat beberapa lagi buah muzium di kawasan ini yang memberi peluang kepada pelancong untuk melihat sendiri koleksi peninggalan yang bersejarah.


Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Rantau Panjang dan Pasar Besar Siti Khatijah

Sudah terlanjur ke Kelantan, semestinya agenda membeli-belah ada dalam senarai aktiviti di Kelantan. Bagi yang ingin mencari buah tangan untuk orang tersayang, bolehlah mendapatkan pelbagai barangan seperti budu, keropok lekor, batik dan sebagainya disini. Kepada yang pandai tawar-menawar pastinya boleh mendapat harga yang lebih berbaloi. Daripada ketiga-tiga lokasi ini, saya lebih menggemari Wakaf Che Yeh kerana konsep pasar malamnya yang lebih santai dan barangan yang dijual lebih murah.

Bukit Bunga

Bukit Bunga adalah satu lagi destinasi membeli-belah yang boleh dikunjungi sekiranya belum puas berbelanja di Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Rantau Panjang dan Pasar Besar Siti Khadijah. Barangan yang ditawarkan di sini kebanyakkannya adalah sama sahaja dengan tempat-tempat yang lain. Bukit Bunga sesuai disinggah oleh para pelancong yang ingin menghabiskan duit membeli cenderahati terakhir sebelum pulang ke destinasi masing-masing.


Pantai Cahaya Bulan

Tidak lengkap kunjungan ke Kelantan jika tidak berkunjung ke pantai-pantainya. Saya memilih untuk menghabiskan waktu petang dengan bersantai di Pantai Cahaya Bulan. Sesekali menghirup udara pantai yang menghadap Laut China Selatan sambil menikmati sata amatlah mengasyikan.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Mencari makanan yang unik, murah dan sedap di Kelantan amatlah mudah. Sebut sahaja variasi makanan yang diingini, pasti ada di sini. Pada hemat saya, makanan di sini rasanya agak manis dan banyak dipengaruhi dengan masakan Thailand. Ketika sampai di Pasar Besar Tanah Merah, saya sempat mencuba nasi kerabu dan ayam percik. Sedap, itu sahaja perkataan yang boleh menggambarkannya kelazatannya sedap sampai lupa nak ambil gambar. Selain nasi kerabu dan ayam percik, Kelantan juga terkenal dengan beraneka kuih-muih yang beraneka warna. Berikut merupakan beberapa menu yang saya cuba sepanjang berada di Kota Bharu.

Sate ikan dan cendol

Sate ikan di sini dicicah dengan menggunakan dua jenis sos iaitu sos manis dan sos pedas. Jika inginkan kelainan, bolehlah mencuba campuran kedua-dua jenis sos untuk membangkitkan lagi rasanya. Pengalaman mencuba cendol versi Kelantan yang mengandungi agar-agar bagi saya merupakan satu pengalaman baru kerana saya tidak pernah mencubanya sebelum ini

Nasi Sup Ayam Bakar

Sebelum pulang ke Pulau Pinang, saya berkesempatan mencuba nasi ayam versi Kelantan yang dinamakan Nasi Sup Ayam Bakar. Walapun hidangannya ringkas iaitu nasi putih, ayam tandoori dan sup kosong tetapi rasanya amat sedap. Kepada yang ingin mencuba bolehlah mengunjungi kedai ini di alamat Jalan Seri Cemerlang 8/27, Kota Bharu, Kelantan.


Pengalaman berkunjung ke Kelantan selama dua hari satu malam sebenarnya masih belum cukup untuk saya. Banyak lagi warisan, budaya dan peninggalan sejarah yang tidak sempat saya terokai. Jika ada rezeki dapatlah kiranya saya bertandang ke sini lagi. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Negeri Kelantan, bolehlah melayari Portal Kerajaan Negeri Kelantan di sini.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar sisipan

Selamat pengantin baru diucapkan kepada pasangan Mohd Jazli Bin Mat Nor dan Nur Adina Bt Ahmadi. Semoga perkahwinan yang dibina kekal hingga akhir hayat.

Monday, June 7, 2010

ZOOM MALAYSIA : TAMAN NEGERI ROYAL BELUM

Taman Negeri Royal Belum berada di Lembah Belum, Grik, Perak. Taman Negeri Royal Belum telah diwartakan sebagai taman negeri oleh Kerajaan Negeri Perak sejak 17 April 2007. Taman Negeri Royal Belum menyimpan 1001 khazanah flora dan fauna yang masih belum diterokai. Usia Royal Belum yang dianggarkan 130 juta tahun, iaitu lebih tua daripada kewujudan Hutan Amazon menjadikan kawasan yang bersempadan dengan Negara Thailand itu kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. Kawasan hutan dara ini meliputi kawasan seluas 117,500 hektar dan berada di bahagian utara Tasik Temengor.

Tasik Temengor merupakan empangan bagi menjana hidroelektrik di utara Negeri Perak yang mempunyai keluasan 15,200 kilometer persegi. Empangan ini dibina pada tahun 1970 dan siap empat tahun kemudian. Tasik ini berada kira-kira 45 kilometer daripada Grik, iaitu di pertengahan jalan raya timur-barat yang menghubungkan Baling, Kedah dengan Jeli, Kelantan. Tasik Temengor kaya dengan pelbagai spesis ikan dan menjadi taman permainan burung-burung enggang yang terbang bebas di udara.

Peluang untuk melawat ke Taman Negeri Royal Belum sememangnya tidak akan dilepaskan. Berikut merupakan secebis ceritera ketika saya berkunjung ke sana baru-baru ini.

Pulau Tali Kail

Sepanjang berada di Taman Negeri Royal Belum, saya menginap di Pulau Tali Kail. Perjalanan ke pulau ini mengambil masa kira-kira 15 minit dari Jeti Awam Pulau Banding dengan menggunakan bot laju. Bot laju merupakan satu-satunya pengangkutan untuk datang ke pulau ini kerana tidak dihubungkan dengan jalan raya. Pulau Tali Kail dilengkapi dengan kemudahan yang lengkap seperti chalet, bilik mandi, tandas, dewan, alatan rekreasi dan sebagainya.

Bersantai di sekitar Tasik Temengor

Lawatan hari kedua saya dimulakan dengan bersiar-siar di sekitar Tasik Temengor. Keadaan air tasik berwarna kehijau-hijauan yang dingin dan tenang sememangnya boleh mendamaikan jiwa. Keindahan Tasik Temengor yang diserikan lagi dengan pokok mati di atas permukaan tasik juga amat memukau.

Melawat Bunga Rafflesia

Melawat Bunga Rafflesia iadalah aktiviti yang paling mengujakan saya. Mana tidaknya, satu-satunya tempat untuk melihat Bunga Rafflesia di Semenanjung Malaysia ialah di Taman Negeri Royal Belum. Terdapat tiga spesis Bunga Rafflesia boleh dijumpai di sini dan salah satunya dinamakan Azlan II sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Ketika berada disana, saya bernasib baik kerana hajat untuk melihat Bunga Rafflesia yang baru kembang sepenuhnya termakbul. Walaupun perlu melalui denai berair dan mendaki tebing yang agak curam untuk melihat bunga ini, namun kepuasan yang diperolehi sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Sungai Kejar, Taman Negeri Royal Belum

Sungai Kejar merupakan tempat pertemuan anak sungai dengan Tasik Temengor. Saya cuma berhenti sekitar 20 minit disini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan sebelum meneruskan ekspedisi ke perkampungan orang asli.

Perkampungan Orang Asli (Kampung Bongor Seberang & Hilir)

Saya berkesempatan untuk melawat ke dua buah kampung orang asli iaitu Kampung Bongor Seberang dan Kampung Bongor Hilir. Kedua-dua perkampungan ini menempatkan penduduk berjumlah kira-kira 200 orang yang terdiri daripada Kaum Jahai. Walaupun mereka telah menerima angin kemodenan, majoriti daripada penduduk kampung masih berpegang kuat dengan adat-resam nenek moyang mereka. Sumber pendapatan penduduk di sini adalah bergantung kepada sumber alam yang banyak diperolehi di kawasan sekitar Taman Negeri Royal Belum.

Jenut Papan Utara

Sungai Papan merupakan pintu masuk kepada pelancong yang ingin ke Jenut Papan Utara. Di sepenjang perjalanan dari Sungai Papan ke Jenut Papan Utara, saya ditunjukkan beberapa jenis tumbuhan seperti Pokok Damar Hitam, Pokok Gaharu dan herba-herba yang lain. Di Jenut Papan Utara, saya berpeluang untuk melihat sira binatang, iaitu lokasi yang sering dikunjungi harimau, kijang dan binatang lain menjilat air di situ yang kaya dengan nutrien. Saya mencuba untuk menghidu sira tersebut dan saya dapati baunya seperti belerang.

Air Terjun Sungai Ruok

Sebaik menjejakkan kaki ke tebing tasik, saya dapat melihat kesan tapak kaki dan tompokan najis gajah bertaburan disana-sini. Segala kepenatan mendaki denai berbukit hilang sebaik sahaja mendengar hempasan air terjun Sungai Ruok. Saya kemudiannya di bawa ke Santuari Ikan Sungai Ruok yang menempatkan beberapa jenis ikan seperti Kelah, Temoleh dan Tengas. Saya tidak melepaskan peluang untuk memberi makan kepada ikan-ikan yang berkumpul di gigi air. Nasib kurang menyebelahi saya pada petang ini. Belum puas bermesra dengan ikan-ikan tersebut, hujan yang pada mulanya rintik bertukar menjadi semakin lebat. Di atas nasihat pemandu pelancong, saya berpatah balik ke bot dengan segera untuk pulang semula ke Pulau Tali Kail.

Riadah di Tasik Temengor

Pelbagai aktiviti rekreasi seperti berakit, berkayak serta bermandi-manda di Tasik Temengor boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Sesekali menghabiskan masa dengan beriadah di tasik ini adalah begitu menyeronokkan. Sekiranya bernasib baik, pelancong berpeluang untuk melihat burung-burung Enggang terbang di sekitar tasik ketika beriadah.


Tanpa disedari, tiga hari berada di Taman Negeri Royal Belum berlalu dengan pantas. Tibalah masa untuk saya pulang semula ke Pulau Pinang walaupun hati masih menyimpan harapan untuk berada di sini lebih lama. Keindahan dan kedamaian yang saya perolehi di sini amatlah sukar didapati di tempat-tempat lain. Dengan jalinan kehijauan tumbuh-tumbuhan, kebiruan langit, kesegaran udara dan kesejukan air tasik menjadikannya satu tempat yang sangat istimewa untuk dikunjungi. Justeru, kita sewajarnya mengekalkan tempat ini daripada tercemar untuk memastikan kelestariannya dapat dikekalnya untuk generasi masa hadapan.

Tuesday, May 4, 2010

aku kecil.. KAU BESAR...


Mungkin sudah menjadi resam dunia, yang kecil biasanya akan ditindas oleh yang besar (tapi jangan fikir yang kecil tak boleh melawan). Tergerak hati saya untuk berkongsi pengalaman yang berlaku sewaktu saya balik ke rumah petang tadi. Lokasi kejadian berlaku di lampu isyarat Jalan Utama, Pulau Pinang. Kisah krisis antara dua buah motosikal (yang kecil) dan tiga buah kereta (YANG BESAR).

Semua orang sudah tahu makna isyarat warna yang dikeluarkan :


Kuning = Bersedia untuk memberhentikan kenderaan
Merah = Memberhentikan kenderaan
Hijau = Menggerakkan kenderaan

Tapi hakikatnya yang terjadi...

Kuning = Tekan minyak dan bawalah kenderaan anda selaju mungkin hingga lepas lampu isyarat dengan selamat (Kalau orang tak langgar la..)
Merah = Berhanti sebab takut kena langgar. Tapi kalau ada peluang untuk cilok tetap jalan..
Hijau = Menggerakkan kenderaan dengan selaju-lajunya. Kalau ada orang cuba nak masuk hon dengan kuat..

Berbalik kepada kisah pengalaman yang saya ingin kongsikan, masih berkait dengan lampu isyarat . Sewaktu berhenti di lampu isyarat petang tadi, ada kereta Produa Kancil dan Proton Saga di depan saya. Memandangkan saya malas nak menyelit ke depan, saya berhenti sahaja di belakang sebelum datang sebuah BMW yang berhenti di belakang motosikal saya. Mungkin hari ni lampu isyarat tu nyanyuk sikit sebab ambil masa yang lama untuk bertukar warna. Hmm.. bila ada peluang, kereta Produa Kancil dan Proton Saga di depan saya terus jalan walaupun lampu isyarat masih bewarna merah. Mungkin sebab cemburu kereta di depan sudah berjaya melepaskan diri, BMW di belakang aku hon dengan kuat mengajar ajaran sesat supaya saya dan seorang lagi penunggang motosikal bergerak.. Entahlah, mungkin sebab memandu kerata mahal, mata terus jadi buta warna...

Tindakan saya dan seorang lagi penunggang motosikal, kami pekakkan saja telinga sampai lampu bertukar warna hijau. Hahaha.. baru puas hati.. Saya memang tabik kepada abang di sebelah saya tu sebab berani marah pemandu BMW tu supaya mematuhi undang-undang. Kisah ni walaupun nampak biasa, tetapi mencerminkankan sikap pemandu di Malaysia yang rata-ratanya sering melanggar undang-undang.

Satu perkara yang saya kesali, bila dah berlaku kemalangan baru nak rasa menyesal.. bila dah kena saman, baru nak minta maaf.., dan bila dah mati kemalangan baru nak meraung.. Walaupun mungkin perkara ini terjadi sebab dah ditakdirkan, tapi sekurang-sekurangnya kita ada usaha untuk mengelak bencana seperti ini...

"INGATLAH orang yang tersayang.
Anda mampu MENGUBAHNYA"

Nota kaki : Gambar di atas diperolehi daripada Google. Tiada kena mengena dengan motosikal atau kereta dalam entri ini.

Monday, March 22, 2010

ZOOM MALAYSIA : PERLIS

Perjalanan tanpa dirancang, itulah yang menggambarkan perjalanan saya ke Perlis Indra Kayangan. Rancangan asal saya hanyalah untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat saya di Jitra. Namun memandangkan jarak yang sudah dekat, saya meneruskan perjalanan ke Perlis untuk melihat sendiri keistimewaan negeri yang terkanal dengan Mempelam Harumanis ini. Berikut merupakan info berkenaan Negeri Perlis :

SEJARAH

Berdasarkan sejarah, Perlis merupakan negeri di bawah naungan Negeri Kedah. Terdapat beberapa andaian yang mengaitkan asal-usul nama Negeri Perlis iaitu :
  1. Nama Perlis berasal daripada perkataan Siam iaitu "Phrau Loi" yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipendekkan dan dipelatkan oleh Orang Melayu menjadi "Pereleh" atau Perlis
  2. Sumber kedua menyatakan nama Perlis berasal daripada perkataan "peroleh" yang bermaksud kurnia daripada Sultan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis
  3. Sumber ketiga pula menyebut Perlis mendapat nama bersempena seorang tokoh ulama yang terkenal di Nusantara iaitu Tok Perlis
  4. Sumber yang keempat mengatakan nama Negeri Perlis berasal daripada perkataan "perlus". Kebanyakkan tanah di Perlis merupakan tanah sawah yang akan merekah pada musim kemarau dan menyebabkan sesiapa yang melaluinya akan terperlus. Daripada perkataan perlus itulah lahirnya nama Perlis
  5. Nama Negeri Perlis diperolehi daripada sejenis pokok iaitu Pokok Perlis. Pokok ini dahulunya banyak tumbuh di negeri tersebut, terutama di kawasan pinggir sungai. Kini, pokok ini telah pupus.
KEDUDUKAN GEOGRAFI

Perlis merupakan negeri yang terkecil di Malaysia dengan keluasan 810 kilometer persegi. Negeri Perlis bersempadan dengan Negara Thailand di utara dan berjiran dengan Negeri Kedah di Selatan. Terdapat enam jajahan di Perlis iaitu Arau, Kaki Bukit, Kangar, Kuala Perlis dan Simpang Empat.

POPULASI PENDUDUK

Populasi penduduk Negeri Perlis pada tahun 2010 ialah seramai 217,480 orang, iaitu 78 % Kaum Melayu, 17 % Kaum Cina, 1.8 % Kaum India, dan bakinya terdiri daripada lain-lain kaum.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Ladang Tebu Chuping

Saya melalui Ladang Tebu Chuping ketika dalam perjalanan ke Padang Besar. Ladang Tebu Chuping berkeluasan 22,000 hektar dan merupakan ladang tebu yang terbesar di Malaysia. Walaupun ada kawasan ladang yang telah digantikan dengan tanaman getah, kawasan penanaman tebu daripada jalan kelihatan masih menghijau saujana mata memandang.

Padang Besar

Padang Besar terletak 37 kilometer dari bandar Kangar. Padang Besar bersempadan dengan Negara Thailand dan merupakan salah satu pintu keluar-masuk utama ke negara jiran. Kebanyakkan barangan yang dijual di Bazar Padang Besar diimport daripada Negara Thailand. Saya berkesempatan mencuba tomyam di salah sebuah restoran di sini. Rasa tomyam di sini agak pedas dan dipengaruhi masakan Thailand.

Tasik Timah Tasoh

Tasik Timah Tasoh merupakan salah satu daripada tujuh Pesona Perlis. Tasik ini merupakan empangan yang dibina untuk menampung keperluan air mentah di Negeri Perlis. Tasik ini juga dijadikan tempat pemeliharaan ikan air tawar yang digunakan untuk membuat pekasam. Empangan Timah Tasoh mula dibina pada tahun 1987 dan mula beroperasi pada tahun 1992.


Walaupun hanya sempat melawat beberapa lokasi menarik di Perlis, saya masih berpuas hati memandangkan saya datang ke Perlis secara tidak dirancang. Tambahan pula, saya mempunyai masa yang agak terhad untuk berada di sini kerana perlu menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat saya di Jitra, Kedah. Namun, saya berharap akan dapat datang lagi ke sini sekiranya masih ada peluang pada masa hadapan. Untuk maklumat lanjut berkenaan Negeri Perlis, bolehlah melayari Portal Kerajaan Negeri Perlis di sini.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar Sisipan

Selamat Pengantin Baru buat pasangan Ahmad Nizomuddin Bin Ahmad Sodri dan Nazirah Binti Othman. Semoga perkahwinan yang dibina akan kekal hingga ke akhir hayat.

Monday, March 15, 2010

DESA TERCINTA...


Hmm... Kadang-kadang kita pun tak tahu semua nama kampung yang ada dalam daerah tempat tinggal kita, termasuk saya. Bila saya teliti satu-persatu nama kampung dalam daerah Sik, rupa-rupanya ada nama kampung yang serupa dengan nama tempat di negeri lain. Mungkin nama-nama kampung ni sekadar kebetulan. Namun apa yang pasti, ia mencetuskan satu keunikan yang mungkin tiada di tempat lain. Antaranya :

a) Kampung Padang Besar (Padang Besar - Perlis)
b) Kampung Sri Aman (Sri Aman - Sarawak)
c) Kampung Pasir Puteh (Pasir Puteh - Kelantan)
d) Kampung Jelutong (Jelutong - Pulau Pinang)
e) Kampung Bandar Hilir (Bandar Hilir - Melaka)
f) Kampung Jurong (Jurong - Singapura)

Mengikut rekod, terdapat 121 buah kampung utama dalam Daerah Sik merangkumi 41 buah kampung dalam mukim Jeneri, 43 buah kampung dalam mukim Sik, 23 buah kampung dalam mukim Teloi dan 14 buah kampung dalam mukim Sok

MUKIM JENERI

01. Kampung Bukit Hangus
02. Kampung Kura
03. Kampung Dusun Pengapit
04. Kampung Gajah Puteh
05. Kampung Padang Besar
06. Kampung Padang Chicar
07. RTP Padang Besar
08. Kampung Kuala Temin
09. Kampung Seri Aman
10. Kampung Lubang Lintah
11. Kampung Banggol
12. Kampung Sungai Setar
13. Kampung Betong Dalam
14. Kampung Kenangan
15. Kampung Padang Pulut
16. Kampung Parit
17. Kampung Pasir Puteh
18. Kampung Kuala Hai
19. Kampung Pokok Jerai
20. Kampung Kota Bukit
21. Kampung Kuala Ruman
22. Kampung Bukit Cham
23. Kampung Kuala Jeneri
24. Kampung Langgok
25. Kampung Mambong
26. Kampung Masjid Jeneri
27. Kampung Tala
28. Kampung Tengah
29. Kampung Kalai
30. Kampung Tok Aris
31. Kampung Sungai Semiar
32. Kampung Charok Tala
33. Kampung Desa Jaya
34. Kampung Beruna Kanan
35. Kampung Beruna Kiri
36. Kampung Beruna Kiri Dalam
37. Kampung Changhai
38. Kampung Kuala Beris
39. Kampung Sungai Senang
40. Kampung Kura Melayu
41. Kampung Relong (Tambahan)

MUKIM SIK

01. Kampung Sungai Batang
02. Kampung Kuala Sungai Batang
03. Kampung Ternas
04. Kampung Kuala Sungai Batang
05. Kampung Ternas
06. Kampung Telaga Batu
07. Kampung Chong
08. Kampung Paya Terendam
09. Kampung Durian Burung
10. Kampung Sik Dalam
11. Kampung Tua
12. Kampung Banggol
13. Kampung Charok Kit
14. Kampung Taman Seri Enggang
15. Kampung Dusun
16. Kampung Kuala
17. Kampung Tanjong
18. Pekan Sik
19. Kampung Sena
20. Kampung Simpang Hospital
21. Kampung Batu Lapan
22. Kampung Kemelong
23. Kampung Banggol Derdap
24. Kampung Banggol Kiat
25. Kampung Sadu
26. Kampung Namek Tua
27. Kampung Namek
28. Kampung Tandop
29. Kampung Lubuk Bedil
30. Kampung Tanjong Belit
31. Kampung Charok Damar / Gua
32. Kampung Tanjong Setar
33. Kampung Charok Puyuh
34. Kampung Lubuk Tualang
35. Kampung Belimbing
36. Kampung Bendang Tebal
37. Kampung Jering
38. Kampung Radek
39. Kampung Charok Sireh
40. Kampung Jelutong
41. Kampung Bendang Man
42. Kampung Charok Padang Dalam
43. Kampung Charok Padang Luar

MUKIM TELOI

01. Kampung Hujung Bandar
02. Kampung Charok Tok Uban
03. Kampung Bandar Hilir
04. Kampung Tanjong Besar / Charok Pelanduk
05. Kampung Batu Lima
06. Kampung Lubuk Pagar
07. Kampung Merbau Kudung
08. Kampung Teloi Tua
09. Kampung Tupai
10. Kampung Kerawai
11. Kampung Sri Belukar
12. Kampung Selamat
13. Kampung Batu Besar
14. Kampung Baru Sri Dacing
15. Kampung Batu Dua Sungai Pau
16. Kampung Charok Tualang
17. Kampung Begia
18. Kampung Simpang Tiga Begia
19. Kampung Kuala Begia
20. Kampung Baru Padang Ragut
21. Kampung Lahar
22. Kampung Chemara
23. Kampung Kilang Ubi Tambahan

MUKIM SOK

01. Kampung Batu Seketul
02. Kampung Batu Seketul Dalam
03. Kampung Charok Tenang
04. Kampung Gulau
05. Kampung Landai / Melaka
06. Kampung Charok Senduk
07. Kampung Surau
08. Kampung Belantik Luar
09. Kampung Belantik Dalam
10. Kampung Bukit Berangan
11. Kampung Kota Aur
12. Kampung Charok Pisang / Sedau
13. Kampung Jurong
14. Kampung Danglau


Thursday, February 11, 2010

JANGAN KITA LUPA...


LAGU : JANGAN KITA LUPA

ARTIS : IN-TEAM

Hai manusia yang hidup di dalam dunia ini
Jangan kita lupa pada godaan dunia
Hidup ini adalah kurniaan dari tuhan
Dan hidup ini janganlah dibuang percuma

Jalan yang sempit yang membawa kepada kehidupan
Jalan yang luas yang membawa kepada kehancuran
Ramai orang yang melalui jalan luas itu
Sedikit orang yang melalui jalan sempit itu

Hai manusia yang hidup di dalam dunia ini
Jangan kita lupa pada godaan dunia
Hidup ini adalah untuk sementara waktu
Apa yang ditanam itulah nanti yang dipetik



Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri untuk menilai dimanakah diri kita sekarang berada :

JALAN SEMPIT > Jalan menuju ke Syurga yang penuh berliku dan sukar untuk diredah

ATAU

JALAN LUAS > Jalan pintas ke Neraka yang dihampar permaidani merah

Kita telah dikurniakan akal fikiran untuk menilai mana yang baik, mana yang buruk. Kita ada hak untuk memilih jalan mana yang ingin kita lalui. Kalau kita berada di jalan yang tidak diredhai, segeralah kembali ke pangkal jalan. Kalau sudah berada di jalan yang benar, teruskan melangkah mengharungi segala cabaran yang datang. Semoga kita semua berjaya dan diredhai...

Nota kaki : Gambar diperolehi daripada Google
Related Posts with Thumbnails