Navigation Bar

Wednesday, October 13, 2010

REFLEKSI PERASAAN...

Tidak dapat dinafikan, setiap masa kita akan melalui perasaan yang berlainan, bergantung kepada situasi kehidupan yang sedang dilalui. Ada kalanya kita mengalami perasaan positif, ada kalanya kita mengalami perasaan negatif dan ada kalanya kita mengalami perasaan yang bercampur-baur dalam satu masa. Tepuk dada tanya selera, apa perasaan anda ketika ini samaada :

Gembira

Sedih

Marah

Kecewa

Syukur

Bosan

Tertekan

Cinta

Teruja

Takut


Atau ada perasaan yang lain yang sedang anda alami?


Biar apapun perasaan yang anda sedang alami sekarang , ketahuilah bahawa perasaan adalah satu anugerah Allah kepada kita. Jika perasaan yang dialami adalah perasaan positif, teruskan mengharungi kehidupan dengan penuh kesederhanaan dan kesyukuran. Jika perasaan yang dialami adalah perasaan negatif pula, carilah penawar untuk mengubatinya dan usah terus meratapi ujian Allah terhadap kita. Sesungguhnya ada sebab yang tersirat terhadap perasaan samaada perasaan positif atau perasaan negatif yang dikurniakan untuk kita fikirkan...

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Iklan tidak berbayar


Tajuk buku ini Jangan Bersedih - Setelah Kesulitan Pasti Ada Kesenangan. Sesuai dibaca sebagai salah satu terapi minda untuk mereka yang sedang berada dalam kesedihan. Saya telah membacanya, anda bila lagi?


Nota kaki : Sumber gambar diperolehi daripada Google

Sunday, October 10, 2010

10.10.10 : SEPULUH YANG SEMPURNA...


Hari ini 10 Oktober 2010. Bagi sebilangan daripada kita, tarikh ini tiada apa-apa erti dan hanya menjadi satu lagi hari baru yang perlu dilalui. Bagi sebilangan daripada yang lain pula, tarikh ini merupakan hari yang istimewa kerana hanya mungkin ditemui sekali sepanjang hayat mereka. Bagi saya, tidak salah menjadikan hari ini sebagai hari untuk mengabadikan sejarah dalam hidup, namun perlulah diingat bahawa setiap hari sepatutnya dijadikan hari yang bermakna untuk dilalui.

Setiap detik yang dilalui tidak pernah menunggu kita walaupun sesaat. Jika kita menghargai masa, setiap waktu yang berlalu sekurang-kurangnya menjadi pedoman untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Manakala jika kita alpa, natijahnya kita akan terus ketinggalan di belakang. Hal ini telah jelas dinyatakan dalam Surah Al-Asr ayat 1-4 yang bermaksud :

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, serta nasihat-menasihati di atas kebenaran dan kesabaran"

Tiada sesiapa yang mampu menduga apa yang bakal berlaku ke atas kita sesaat selepas ini kecuali Allah yang maha mengetahui. Maka, kita haruslah sentiasa bersedia untuk menerima apa jua takdir yang telah ditetapkan. Selagi masih ada waktu, rebutlah segala peluang untuk melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan mengikut tahap kemampuan dan disulami dengan hati yang ikhlas. Mohonlah doa daripada-Nya moga dipermudahkan segala urusan kita dalam mengharungi kehidupan.

Friday, October 8, 2010

ZOOM MALAYSIA : MELAKA

Pada minggu lalu, saya sempat mengunjungi Melaka Bandaraya Bersejarah untuk makan angin atas urusan kerja. Sebelum pulang ke Pulau Pinang, saya mengambil peluang bersantai di sekitar Melaka. Walaupun hanya berada di bumi Hang Tuah selama dua hari satu malam, saya masih rasa teruja untuk meneroka intipati "Melawat Melaka Bersejarah Ibarat Melawat Malaysia" yang dipaparkan sebaik sahaja keluar daripada tol Ayer Keroh. Berikut merupakan info yang diperolehi berkenaan Negeri Melaka.

SEJARAH

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang. Parameswara memerintah dari tahun 1400 hingga 1424. Nama Melaka diambil sempena nama pohon Melaka tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh telah berlaku dimana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu, Parameswara berasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka. Melaka pernah menjadi perlabuhan yang terkenal di rantau ini berikutan kedudukannya yang stratagik. Legasi Kesultanan Melayu Melaka memerintah Melaka selama 110 tahun sebelum ditewaskan oleh pihak Portugis pada tahun 1511.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Melaka terletak di pantai barat daya Semenanjung Malaysia dan berkeluasan 1658 kilometer persegi atau 0.5% daripada keluasan Malaysia. Melaka bersempadan dengan Negeri Sembilan di utara dan Johor di timur. Melaka dibahagikan kepada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

POPULASI PENDUDUK

Jumlah penduduk Melaka pada tahun 2003 adalah 687,000 orang yang terdiri daripada 50 % kaum Melayu, 40 % bangsa Cina dan Peranakan, dan bakinya terdiri daripada bangsa India, Serani dan lain-lain bangsa.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI


Kompleks Muzium Stadhuys

Saya mengunjungi kompleks ini sebanyak dua kali untuk melihat perbezaan panorama waktu siang dan waktu malam. Cantik, itu sahaja perkataan yang dapat saya ucapkan untuk menggambarkan keindahan tempat ini. Kompleks Muzium Stadhuys merupakan tempat penarik beca berkumpul untuk membawa pelancong ke Kota A' Famosa dengan tambang RM 10.00 untuk sebuah beca.

Kota A ' Famosa

Saya beberapa kali berpusing di sekitar Banda Hilir untuk ke sini. Kedudukan Kota A ' Famosa yang kini dikelilingi Pahlawan Mall dan Hotel Equatorial Melaka agak sukar untuk dicari kerana tiada sebarang papan tanda diletakkan. Walaupun pendakian anak tangga ke Bukit St Paul di belakang Pintu Gerbang Parta De Santiago agak memenatkan, semua keletihan hilang sebaik melihat panorama Bandaraya Melaka daripada puncak bukit.

Gambar a : Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan
Gambar b : Melaka River Cruise
Gambar c : Kompleks Muzium Maritim ( Flor De Lamar)


Saya hanya sempat bergambar di ketiga-tiga lokasi ini memandangkan masa yang terhad. Cukuplah sebagai kenangan ke Melaka. Jika ada peluang untuk mengunjungi Melaka sekali lagi, dapatlah agaknya saya melawat lebih lama di lokasi-lokasi ini.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Medan Ikan Bakar Umbai

Selain terkenal dengan ikan bakar, Umbai merupakan jeti penumpang untuk pelancong yang ingin ke Pulau Besar. Saya tidak melepaskan peluang untuk mencuba ikan bakar dan asam pedas di sini. Saya memilih untuk makan di Restoran Ikan Bakar Parameswara kerana kedudukannya yang berhampiran muara sungai berbanding restoran lain. Namun pada pandangan saya, ikan bakar di sini tidaklah sesedap seperti yang dijangka bakar sendiri lagi sedap tetapi rasa kuah asam pedas agak berbeza dan lebih pekat daripada biasa.

Asam Pedas Claypot

Tidak puas menikmati asam pedas di Umbai, saya sempat mencuba pula asam pedas di Restoran Asam Pedas Claypot. Kepekatan kuah asam pedas di sini hampir sama dengan yang saya nikmati ketika berada di Umbai, namun rasanya persis kepada rasa tomyam. Namun, keunikan yang saya lihat di sini adalah asam pedasnya disajikan dalam mangkuk tanah untuk mengekalkan kehangatannya. Setiap asam pedas yang dipesan didatangkan bersama set nasi putih, ikan masin, telur masin, sambal belacan dan ulam-ulaman. Kepada rakan-rakan yang ingin mencuba menu ini, bolehlah berkunjung ke Restoran Asam Pedas Claypot yang terletak di Lebuh AMJ.

Nasi Lemak Kangkung

Saya rasa tertarik untuk mencuba Nasi Lemak Kangkung yang dijual di sebuah kedai yang terletak di Lorong Haji Bachee, Kampung Bukit Cina, tidak jauh daripada Perigi Hang Li Po. Rasa nasi lemak yang dijual tidak banyak berbeza dengan nasi lemak yang pernah saya makan, namun sayur kangkung yang diletakkan bersama menjadikan menu ini unik. Saya amat menyarankan kepada rakan-rakan untuk makan sampai dua pinggan seperti saya mencuba Nasi Lemak Kangkung di sini kerana rasanya sambalnya sedap dan tidak terlalu pedas.

Perjalanan saya ke Melaka berakhir di sini sahaja. Jika ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Melaka, bolehlah berkunjung ke Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka di sini.

Monday, October 4, 2010

FACEBOOK OH FACEBOOK...


Teknologi komunikasi masa kini adalah ibarat PISAU tak bermata
Boleh digunakan untuk memotong apa saja benda
Dan boleh digunakan untuk membunuh tak mengenal mangsa
Andai digunakan dengan baik, baiklah hasilnya
Andai menjadi saluran ilmu, pandailah semua
Andai menjadi jambatan silaturahim, berbahagialah kita
Andai digunakan dengan salah, maka hancurlah jiwa
Andai berniat buruk, fitnah kan melata
Andai dendam membuak di dada, diri kan merana
Allah telah memberi kita akal fikiran yang sempurna
Pilih sahaja mahu GEMBIRA atau DERITA...

Nota kaki : Gambar dipetik daripada Harian Metro 04 Oktober 2010



Thursday, September 16, 2010

SEUNTAI KATA UNTUK DIRASA...


SEUNTAI KATA UNTUK DIRASA
(A.Samad Said, Jendela 1988, TEKS Publishing Sdn Bhd)

Panas usah membakar dada
Suara usah menggegar sahaja
Kalau benar membawa cita
Di dalam senyap kumpulkan tenaga

Ayam bertelur sekampung tahu
Mengapa mesti kita begitu?
Falsafah ubi diam berisi
Mengapa tidak kita turuti?

Sekarang singkirkan semua bicara
Sekarang kumpulkan tenaga raksasa
Tiba saat berbunga merah
Serentak mara kita bersama


Tuesday, September 7, 2010

AIDILFITRI TIBA LAGI...

Bila Aidilfitri adalah lantera, izinkan membuka tabirnya dengan maaf agar cahaya menembus jiwa fitrah daripada tiap khilaf. Bila ada kata terselit dusta, ada sikap membekas lara dan langkah menoreh luka, semoga masih ada maaf yang tersisa...

SALAM AIDILFITRI 1431H
Maaf Zahir Dan Batin

Friday, September 3, 2010

RAYA DULU.. RAYA SEKARANG...


RAYA DULU...
Kesemua juadah hari raya disediakan sendiri daripada kuih-muih hinggalah ketupat dan rendang
RAYA SEKARANG...

Kalau malas nak masak boleh beli saja di kedai yang dijual segera

.
.


RAYA DULU...
Tradisi bertukar-tukar juadah dipraktikkan

RAYA SEKARANG...
Masing-masing buat hal sendiri

.
.


RAYA DULU...
Lagu raya yang dihasilkan menyentuh kalbu dan masih malar segar sehingga kini

RAYA SEKARANG...
Eh, ni lagu raya ke?

.
.

RAYA DULU...
Malam tujuh likur sentiasa dinantikan. Pelita minyak tanah, pelita buluh, pelita tin dan menara tempurung kelapa menyeri kegelapan malam

RAYA SEKARANG...
Lampu kelip-kelip lebih diminati

.
.

RAYA DULU...
Kad raya dihantar sebagai pengganti diri

RAYA SEKARANG...
Ucapan dihantar dihujung jari. Pilih saja samaada SMS, e-mail atau laman wab sosial. Sekarang kalau dapat sekeping kad pun dah kira bertuah

.
.

RAYA DULU...
Kalau dapat duit raya 50 sen pun kira bersyukur

RAYA SEKARANG...
Kalau tuan rumah beri RM 1.00 mula buat muka

.
.

RAYA DULU...
Berjalan beramai-ramai ke rumah jiran untuk beraya

RAYA SEKARANG...
Masing-masing tonton TV di rumah. Rancangan menarik katanya

.
.

RAYA DULU...
Ais batu yang dijual dikedai diletak habuk kayu supaya lambat cair (menurut cerita ayah saya)
RAYA SEKARANG...

Boleh dikatakan setiap rumah ada peti sejuk

.
.

RAYA DULU...
Baju sekolah dibeli sebagai baju raya (menurut cerita ayah saya lagi)

RAYA SEKARANG...
Ada beraneka corak dan warna baju raya. Kalau tak mahu tempah boleh beli yang sudah siap dijahit

.
.

Berdasarkan pengalaman saya menyambut RAYA DULU... RAYA SEKARANG...
Saya tertanya sendiri, adakah kemodenan dunia kini semakin menghakis kemeriahan hari raya?

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar sisipan

Bertuahnya saya kerana masih menerima kad raya melalui pos. Ini merupakan kad raya pertama dan mungkin yang terakhir yang saya terima untuk tahun ini.Terima kasih kepada Puan Noorazian Binti Lop dari Tanjong Karang, Selangor di atas kiriman ini


Nota kaki : Entri ini adalah berdasarkan pengalaman saya menyambut hari raya. Alangkah seronoknya jika suasana hari raya seperti zaman kanak-kanak dapat diulang kembali...
Related Posts with Thumbnails