Navigation Bar

Thursday, December 30, 2010

ZOOM MALAYSIA : MERSING

Baru-baru ini, saya berkesempatan berkunjung ke Mersing, Johor. Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki ke sini selepas kali pertama pada tahun 2007. Dalam tempoh tiga tahun, saya dapati ada banyak perubahan yang berlaku di sini. Menempuh perjalanan selama 12 jam dari Pulau Pinang amatlah memenatkan. Namun semangat meneroka keunikan Mersing yang punya keistimewaannya tersendiri semakin membuak-buak seakan memadamkan keletihan tersebut. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Mersing :

SEJARAH

Mengikut cerita lisan, Mersing mendapat namanya sempena nama seorang Sikh iaitu Amir Singh atau Men Singh. Beliau dikatakan telah melarikan diri dari Pahang kerana membawa gundik Sultan Pahang. Penduduk asal Mersing dikatakan berhijrah dari Terengganu. Mersing telah mula dibuka pada tahun 1892 oleh Dato' Bentara Luar iaitu Mohd Salleh Bin Perang yang menjalankan kerja-kerja mengukur Daerah Mersing.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Mersing merupakan daerah yang terletak di timur laut negeri Johor dan mempunyai keluasan 2836.6 kilometer persegi. Terdapat 10 buah mukim di daerah ini merangkumi Mukim Mersing (termasuk Pulau Batu Cawan), Mukim Triang (termasuk Pulau Lalang), Mukim Tenglu (termasuk Pulau Setindan dan Pulau Gajah), Mukim Penyabong (termasuk Pulau Pelandok, Pulau Mawar dan Pulau Puchong), Mukim Tenggaroh (termasuk Pulau Kerengga dan Pulau Lilang), Mukim Jemeluang (termasuk Pulau Belunak), Mukim Pulau-Pulau, Mukim Padang Endau, Mukim Sembrong dan Mukim Lenggor.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan perangkaan yang dijalankan pada tahun 2004, jumlah penduduk di Daerah Mersing adalah seramai 67,557 orang.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Bandar Mersing

Bandar Mersing hanyalah sebuah bandar yang kecil namun mempunyai kemudahan awam yang lengkap. Kebanyakkan kedai disini menawarkan produk berasaskan hasil laut memandangkan kedudukannya yang menghadap Laut China Selatan. Terdapat beberapa tempat yang menarik di sekitar Mersing seperti Tanjung Leman, Air Papan, Penyabong, Taman Negara Endau-Rompin dan pulau-pulau di sekitar perairan Mersing.


Plaza D'Jeti

Plaza D'Jeti merupakan terminal pintu masuk kepada para pelancong yang ingin ke pulau-pulau di sekitar perairan Mersing seperti Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Tioman. Kepada para pelancong yang ingin ke pulau-pulau tersebut, bolehlah menggunakan perkhidmatan agen pelancongan yang banyak beroperasi di Plaza D'Jeti. Dihadapan plaza ini, terdapat sebuah menara jam yang akan mendendangkan muzik zapin sebelum jam berdeting, menjadikan ia sebuah menara jam yang sungguh unik bagi saya.

Perusahaan Keropok Hj. Puteh

Sepanjang pantai berhampiran muara Sungai Mersing, terdapat banyak kedai yang menjual hasil laut seperti ikan kering, ikan bilis, keropok lekor dan sebagainya. Namun, saya memilih untuk singgah di Perusahaan Keropok Hj. Puteh untuk membeli keropok lekor takkan nak beli basikal pulak atas saranan seorang rakan. Pada pandangan saya, keropok lekor di kedai ini lebih lembut daripada keropok yang biasa saya makan di tempat-tempat lain.



Kunjungan saya ke Mersing kali ini adalah penamat kepada lawatan saya ke tempat-tempat yang menarik di sekitar Malaysia bagi tahun 2010. Walaupun hanya berada di sini selama dua hari satu malam, saya masih berpuas hati kerana sempat melawat ke beberapa destinasi menarik di sekitar Mersing yang ternyata mempunyai keistimewaannya tersendiri. Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mersing, bolehlah melayari portal Majlis Daerah Mersing disini.

Tuesday, December 21, 2010

KEMALANGAN BAS : SAMPAI BILA ?


Majoriti akhbar perdana pagi ini memaparkan satu lagi kemalangan bas yang berlaku di Jalan Cameron Highland - Simpang Pulai semalam. Nahas jam 11.10 pagi itu telah mengorbankan 25 orang nyawa pelancong dari Thailand dan dua orang warga tempatan, sekaligus menjadikannya kemalangan terburuk dalam sejarah negara. Berikut merupakan rentetan kemalangan bas yang berlaku sepanjang tahun 2003 hingga 2010 yang saya petik daripada akhbar The Star pagi ini:

16 DISEMBER 2010
Empat kakitangan Jabatan Penjara Tawau maut selepas bas jabatan yang dinaiki terjunam ke dalam gaung di Jalan Tambunan - Kota Kinabalu, Sabah.

29 OKTOBER 2010
Bas yang membawa 44 penumpang dari Gerakan 4B Kampung Siong, Baling yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Genting Highland terlibat dalam kemalangan di KM 38 Jalan Genting Sampah mengorbankan tujuh orang penumpang.

10 OKTOBER 2010
13 penumpang maut dan 40 cedera apabila sebuah bas ekpres terlibat dalam kemalangan di KM 233 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat - Rembau.

25 DISEMBER 2009
10 orang penumpang maut dan dua orang cedera parah selepas bas dua tingkat yang dinaiki melanggar pembahagi jalan di KM 272.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan menuju ke utara.

07 DISEMBER 2008
10 orang penumpang bas ekspres maut setelah terlibat dalam nahas di KM 146.5 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh, Johor.

13 OGOS 2007
Satu kemalangan ngeri berlaku di KM 229 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat Bukit Gantang, Perak dan mengorbankan 22 orang penumpang.

09 MAC 2007
Enam orang penumpang dan 20 orang yang lain cedera selepas bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di KM 254 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat Sungai Perak, Perak.

02 MAC 2007
Dua orang penumpang maut dan 18 orang penumpang lagi cedera selepas bas yang membawa ahli UMNO bahagian Maran terlibat dalam satu kemalangan di KM 89.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gurun, Kedah.

30 JULAI 2006
Sebuah bas yang disewa terbabas lalu terhumban ke dalam parit di KM 160.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Jawi, Pulau Pinang mengakibatkan tujuh orang mangsa terbunuh.

23 NOVEMBER 2003
14 orang penumpang maut selepas berlaku pelanggaran diantara dua buah bas di KM 63 Jalan Lipis - Merapoh, Pahang.



Persoalannya sekarang, sampai bila tragedi tragis seperti ini akan berterusan?. Saya sendiri yang sering menggunakan bas untuk perjalanan yang jauh kadangkala rasa tidak selamat untuk menggunakan bas walaupun kosnya lebih rendah berbanding jika saya menggunakan kenderaan sendiri. Biarpun segala kejadian adalah qada dan qadar, namun kebimbangan tersebut kadangkala sukar untuk disembunyikan. Apa yang pasti, ternyata sekarang bukanlah masa untuk kita menuding jari untuk mencari kesalahan. Justeru, satu penyelesaian konkrit perlulah segera dicari untuk mengelakkan tragedi ini terus berulang pada masa hadapan.

Saturday, December 18, 2010

SETAHUN SUDAH BERLALU...


Masa terus berlalu pergi meninggalkan kita. Hari-hari yang dilalui menjadi pedoman dalam meneruskan kehidupan yang serba mencabar. Tanpa disedari hari ini genap sudah setahun (mengikut kiraan tahun hijrah) saya menceburkan diri dalam dunia blog. Pengalaman suka-duka dalam menyiapkan sesebuah entri semakin mematangkan saya dalam arena penulisan dunia maya ini. Bermula daripada proses mencari idea, mengarang, " blog walking" hinggalah menyiarkan entri memerlukan komitmen yang berterusan. Dalam kesibukan saya menyiapkan tugasan seharian, saya berjaya juga menyiarkan sebanyak 30 entri seperti berikut :

01. LANGKAH PERTAMA BERMULA...

02. BERBALOI-BALOI...
03. NOSTALGIA...
04. AKUKAH TANGGANG ?
05. JANGAN KITA LUPA...
06. DESA TERCINTA...
07. ZOOM MALAYSIA : PERLIS
08. aku kecil... KAU BESAR...
09. ZOOM MALAYSIA : TAMAN NEGERI ROYAL BELUM
10. ZOOM MALAYSIA : KELANTAN
11. APA TERUK PEGANG ANJING ?
12. SELAMATKAN HUTAN KITA...
13. OH RAMADHAN... OH SYAWAL...
14. RAMADHAN DATANG LAGI...
15. ITU BARU HUKUMAN DUNIA...
16. FALSAFAH DULU DAN SEKARANG...
17. BILA SUSU DIBALAS TUBA...
18. TIKA BUNGA-BUNGA RINDU BERGUGURAN...
19. MERDEKAKAH KITA ?
20. RAYA DULU... RAYA SEKARANG...
21. AIDILFITRI TIBA LAGI...
22. SEUNTAI KATA UNTUK DIRASA...
23. FACEBOOK OH FACEBOOK...
24. ZOOM MALAYSIA : MELAKA
25. 10.10.10 : SEPULUH YANG SEMPURNA...
26. REFLEKSI PERASAAN...
27. 20.10.2010 : ADAKAH INI HARI TERAKHIR KITA ?

28. AYAH DAN IBU...
29. ZOOM MALAYSIA : PULAU LANGKAWI
30. ZOOM MALAYSIA : PULAU AMAN

Walaupun entri yang saya siarkan kurang mendapat komen daripada pembaca, itu bukanlah penghalang untuk saya menghasilkan lebih banyak entri yang lebih segar, matang dan berinfomasi pada tahun-tahun mendatang. Melalui komen-komen positif yang diterima di ruangan bicara kata, saya amat optimis untuk berkongsi pengalaman saya dengan masyarakat. Sekurang-kurangnya pengalaman saya ini dapat dimanfaatkan oleh kita semua kerana pengkongsian blog ini adalah memberi kepuasan kepada diri saya. Sesungguhnya apa yang baik itu datang daripada Allah, dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri saya sendiri.


Salam Maal Hijrah 1432 H.

Wednesday, December 1, 2010

ZOOM MALAYSIA : PULAU AMAN

Rentetan kunjungan saya ke pulau-pulau di Malaysia diteruskan lagi dengan lawatan ke Pulau Aman, Pulau Pinang. Sepanjang hampir empat tahun saya menetap di Pulau Pinang, ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke sana membuatkan rasa berkobar-kobar untuk menjelajahi pulau yang penuh dengan sejarah dan punya keunikkannya tersendiri itu. Berikut merupakan info yang saya perolehi berkenaan Pulau Aman :

SEJARAH

Mengikut cerita lisan penduduk tempatan, Pulau Aman mula diterokai oleh penduduk Kedah pada tahun 1783 dan menjadi tempat perlindungan selepas tercetusnya peperangan diantara Kedah dan Siam. Sekitar tahun 1940-an hingga 1960-an, terdapat sekitar 1000 orang penduduk yang terdiri daripada berbilang kaum tinggal di sini. Namun, penghijrahan besar-besaran ke tanah besar telah berlaku pada tahun 1960-an menyebabkan jumlah penduduk semakin berkurangan.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Pulau Aman terletak kira-kira 16 kilometer nautika dari tanah besar Seberang Perai dan berada dalam daerah Seberang Perai Selatan. Secara amnya, Pulau Aman merupakan salah satu pulau kecil paling hampir dengan Pulau Pinang selain daripada Pulau Jerejak dan Pulau Gedung. Namun, Pulau Aman merupakan satu-satunya pulau yang mempunyai penghuni. Sebanyak 95 peratus Pulau Aman yang berkeluasan 115.2 hektar masih diseliputi hutan. Kepada para pelancong yang ingin ke pulau ini bolehlah menggunakan perkhidmatan bot dari Jeti Batu Musang, Batu Kawan dengan kadar RM 6.00 bagi perjalanan pergi-balik.

POPULASI PENDUDUK

Pulau Aman kini dihuni oleh 249 orang penduduk daripada 40 buah keluarga. Kesemua penduduk adalah terdiri daripada Kaum Melayu. Majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan pantai. Ada juga dikalangan mereka yang mengusahakan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) seperti memproses hasil laut, perusahaan membuat Kerepek Sukun dan Homestay.

ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI

Restoran Terapung Pulau Aman

Selain daripada terkenal dengan hasil laut seperti belacan dan ikan kering, Pulau Aman juga dikenali dengan keenakkan Mi Udangnya. Salah sebuah restoran yang menyajikan Mi Udang di Pulau Aman adalah Restoran Terapung Pulau Aman. Pada pandangan saya, rasa Mi Udang di sini sedap dan memenuhi selera tekak saya. Namun, saya kurang berpuas hati dengan servis pelayan restoran yang tidak mesra pelanggan dan lebih beorentasikan kepada keuntungan semata-mata.

Pokok Sukun tertua di Malaysia

Antara pokok buah-buahan yang mendominasi kawasan penempatan di Pulau Aman ialah Pokok Sukun kerana hampir setiap rumah penduduk ditanam dengan pokok jenis ini. Dalam perjalanan saya ke Telaga Emas, saya secara tidak sengaja menemui sebatang Pokok Sukun yang diiktiraf sebagai Pokok Sukun tertua di Malaysia. Pokok Sukun ini telah ditanam pada tahun 1890 oleh seorang guru Al-Quran di Pulau Aman, Tok Awang Bin Akib. Walaupun usia pokok ini telah mencapai 120 tahun, ia masih mampu untuk mengeluarkan buah dalam kuantiti yang banyak.

Telaga Emas

Telaga Emas mula ditemui pada tahun 1789 setelah seorang penduduk yang sedang menggali telaga mendakwa telah menemui sebuah tempayan emas yang kemudiannya bertukar menjadi batu berwarna emas. Namun, analisis yang dilakukan pemerintahan British ketika itu mendapati batu tersebut hanyalah batu biasa yang berwarna emas (Sila klik pada gambar jika ingin membaca sejarah lanjut Telaga Emas). Antara keunikan telaga ini adalah, air tawar dalam telaga dengan air masin daripada laut tidak bercampur walaupun kedudukannya hanya bersebelahan diantara satu sama lain.

Bersiar-siar di sekitar Pulau Aman

Kedudukan lokasi-lokasi menarik yang berdekatan menjadikan berjalan kaki adalah cara terbaik untuk bersiar-siar di sini. Sekiranya para pelancong mempunyai masa yang panjang, bolehlah berjalan kaki melalui beting batu ke Pulau Gedung di sebelah Pulau Aman ketika air surut dan mengutip siput yang banyak membiak di sini.


Secara peribadi, saya berpendapat masih ada ruang untuk membangunkan Pulau Aman sebagai sebuah destinasi pelancongan terunggul. Berbekalkan lokasi bersejarah, keindahan alam semulajadi dan keenakkan makanannya, Pulau Aman mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan. Namun begitu, pembangunan ini haruslah seimbang dengan usaha memelihara persekitaran Pulau Aman yang masih belum tercemar. Walaupun pulau ini hanyalah sebuah pulau yang kecil, ia tetap menjanjikan pengalaman yang menarik dan setanding dengan pulau-pulau yang lain.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gambar sisipan

Semasa kunjungan saya ke Pulau Aman baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu dengan produksi drama Seribu Kali Cinta yang kini sedang disiarkan di TV3. Saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan para pelakon drama tersebut sebagai kenangan.
Related Posts with Thumbnails